ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak menyifatkan tindakan sekumpulan blogger cuba mempolitikkan isu pelajar Malaysia yang sedang menghadapi krisis di Mesir sebagai tidak berperikemanusiaan.
Menurutnya, kenyataan blogger berkenaan yang menyindir Pas supaya membawa pulang sendiri pelajar yang menyokong parti itu dan tidak mengharapkan bantuan Kerajaan Pusat adalah sangat tidak wajar.
“Ini jelas menunjukkan bukan pemimpin atau ahli Pas yang cuba meniupkan sentimen kepartian dalam isu ini seperti disuarakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kelmarin, sebaliknya apa yang berlaku di Mesir cuba dimanipulasi oleh mereka yang menyokong BN untuk memburukkan Pakatan Rakyat (PR),” katanya.
Ustaz Azizan yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat berkata, kesan krisis di Mesir yang melibatkan rakyat Malaysia adalah masalah bersama, tidak kira sama ada pemerintah atau pembangkang.
“Jadi, kita perlu ada kerjasama bagi memastikan rakyat Malaysia di Mesir selamat. Ia tidak wajar diputar belit dan disensasikan,” katanya.
Ustaz Azizan berkata, dakwaan kononnya Mesir adalah kilang untuk Pas melahirkan pelapis parti itu juga adalah tuduhan yang dilempar secara membuta tuli.
“Pelajar ke sana untuk belajar bukan untuk berpolitik, tetapi bila kembali ke tanah air, mereka ada hak memilih parti politik mana sebab selepas itu mereka perlu mengundi. Itu di luar kawalan kita,” katanya.SH
No comments:
Post a Comment