Soalan; Akum. Sy ada beberapa soalan.
1. Bolehkah suami menggunakan wang isterinya (dlm jumlah yg banyak) hanya utk membayar hutang2nya dan membantu keluarganya di kg?
2. Apakah hukum isteri menyembunyikan jumlah wang simpanan dari pengetahuan suami krn dikuatiri akan diminta oleh suami?
3. Bolehkah isteri menyimpan wang secara senyap utk tujuan menunaikan haji?
Syukran jazilan atas jawapan yg diberikan
Jawapan;
1. Harta isteri adalah milik penuh isteri. Harus ia membelanjakannya mengikut kehendaknya asalkan perbelanjaan itu bukan munkar dan maksiat (jika tidak, harus suami menegahnya atas dasar kewajipan mencegah isteri dan keluarga dari melakukan munkar dan maksiat, bukan atas dasar harta itu miliknya). Begitu juga, tidak harus suami mengambil harta milik isteri melainkan dengan kerelaan dari isteri. Sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam; “Tidak halal harta seorang muslim yang lain melainkan dengan kerelaan hatinya” (HR Imam ad-Daruqutni dari Anas bin Malik). Dalam kitab Maratib al-Ijma’ ada ditegaskan; “Para ulamak telah sepakat menegaskan bahawa tidak halal suami bersedekah dari harta milik isterinya melainkan dengan izin isterinya” (Maratib al-Ijma’, Imam Ibnu Hazm, 1/92).
2. Dalam persidangan Fiqh kali ke 16, antara yang diputuskan oleh para ulamak yang bersidang; “Isteri mempunyai hak mutlak –dalam lingkungan hukum-hakam Syariat- bagi harta/wang yang ia perolehi dari pekerjaannya. Kekayaan peribadinya adalah milik penuhnya. Ia mempunyai hak pemilikan dan hak berbelanja bagi harta yang ia miliki dan suami tidak mempunyai kuasa ke atas harta miliknya. Ia juga tidak memerlukan izin dari suami untuk memiliki dan berbelanja dari harta miliknya” (Persidangan pada tarikh 9-14 April 2005, bertempat di Dubai).
3. Dalam penggunaan harta, telah ijmak para ulamak menegaskan bahawa; suami tidak berhak menghalang isterinya yang berakal dan cerdik berbelanja dari hartanya sendiri dalam perbelanjaan yang berbentuk tukaran seperti berjual-beli, memberi upah dan sebagainya. Jika isteri tidak cerdik (yakni ada kemungkinan ia akan ditipu dalam perbelanjaannya), haruslah suami menghalangnya. Mereka (yakni para ulamak) hanya berikhtilaf dalam masalah perbelanjaan yang bukan berbentuk tukaran; iaitu sedekah, hibah/hadiah dan sebagainya (yakni adakah harus isteri memberi sedekah atau hadiah tanpa izin suami?).
a) Jumhur/kebanyakan ulamak (merangkumi mazhab Syafi’ie, Hanbali dan Hanafi) berpendapat; tidak wajib isteri mendapat keizinan suaminya terlebih dahulu untuk bersedekah dari duitnya, yakni diharuskan ia bersedekah dari duitnya sendiri tanpa wajib memohon keizinan suaminya terlebih dahulu atau tanpa memberitahunya. Mereka berdalilkan –antaranya- hadis yang menceritakan; Isteri Nabi iaitu Maimunah binti al-Harith r.a. membebaskan seorang hamba perempuannya tanpa memberitahu Nabi s.a.w.. Apabila tiba giliran Nabi bersamanya, ia berkata kepada Nabi; “Tidakkah kamu perasan aku telah membebaskan hamba perempuanku?”. Nabi berkata; “Benarkah”. Maimunah menjawab; “Ya”. Nabi lalu berkata kepadanya; “Jika kamu menghadiahkan hamba itu kepada ibu-ibu saudara kamu nescaya pahalanya lebih besar lagi”. (HR al-Bukhari dan Muslim). Berdasarkan hadis ini, jumhur ulamak menyimpulkan; harus isteri berderma atau berbuat kebajikan dari duitnya sendiri tanpa keizinan suaminya. Jika perkara tersebut diharamkan tentu Nabi akan melarang isterinya (Maimunah) dari membebaskan hamba tersebut tanpa pengetahuannya. Oleh kerana tiada larangan dari baginda, itu menunjukkan bahawa perbuatan Maimunah itu adalah harus di sisi Syarak.
b) Ada di kalangan ulamak berpendapat (antaranya Imam Malik dan al-Laith); tidak harus isteri memberi sedekah melainkan setelah mendapat izin suaminya walaupun sedekah itu dari hartanya sendiri. Mereka berdalilkan hadis Nabi s.a.w. yang menyebutkan;
لا يجوز لامرأةٍ عطيةٌ إلاَّ بإِذن زوجها
“Tidak harus bagi seorang wanita memberi hadiah/pemberian kecuali dengan izin suaminya” (Riwayat Imam Abu Daud dari Abdullah bin ‘Amru r.a.).
Namun jumhur ulamak menjawab; hadis tersebut khusus bagi wanita/isteri yang tidak cerdik (yakni tidak dapat menguruskan harta mengikut jalan yang baik) atau arahan hadis supaya meminta izin di atas adalah arahan sunat sahaja, bukan arahan wajib kerana dalam hadis-hadis sebelum ini baginda tidak melarang isteri-isteri bersedekah tanpa keizinan atau tanpa pengetahuan suami.
Merujuk soalan di atas;
1. Suami tidak harus mengambil wang/harta milik isteri untuk membayar hutangnya atau untuk perbelanjaan lain melainkan dengan kerelaan isteri. Adalah harus isteri menghalang suami dari mengambil harta miliknya dan itu tidak dianggap nusyuz.
2. Harta isteri adalah miliknya. Ia berhak menyembunyikannya dari diketahui oleh orang lain –termasuk suami- apatahlagi jika ada maslahah untuk ia berbuat demikian.
3. Menyimpan untuk mengerjakan haji tanpa diketahui suami juga harus jika wang simpanan itu datang dari milik isteri.
Apa yang dinyatakan di atas adalah dari segi keharusan. Adapun yang sebaiknya –untuk menjaga keharmonian rumahtangga- isteri hendaklah seboleh-bolehnya tidak membelakangi suami dalam segala hal kecuali jika tidak dalam dapat dielakkan. Terdapat hadis memceritakan; Rasulullah pernah ditanya; “Apakah ciri-ciri isteri terbaik?”. Baginda menjawab; “Isteri yang menggembirakan suami apabila ia melihatnya, yang mentaati suaminya apabila ia menyuruhnya dan ia tidak menyanggahi suaminya pada dirinya dan hartanya” (HR Imam Ahmad, an-Nasai dan al-Hakim dari Abu Hurairah. Menurut as-Suyuti; hadis ini soheh. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 4045).
Wallahu a'lam.
Rujukan;
1. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, juz. 7, Kitab az-Zakah, bab Fadhl an-Nafaqah wa as-Sodaqah ‘Ala al-Aqrabiin.
2. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, juz. 6, Kitab Solat al-‘Idaiani.
3. Maratib al-Ijma’, Imam Ibnu Hazm.
4. Fatawa Syeikh al-Munajjid (http://www.islam-qa.com/), no. 48952, 4037, 112174.
Thursday, February 10, 2011
WANG ISTERI; ADAKAH HARUS SUAMI MENGAMBILNYA?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment