Thursday, June 23, 2011

Allahyarham Ustaz Sham kembali ke rahmatullah

E-Mel Pembaca MARANG: PAS Hulu Terengganu, khususnya Pemuda PAS kawasan kehilangan ‘sebutir’ permata perjuangan yang komited serta istiqamah dalam perjuangan parti.

Allahyarham Ustaz Mohd Sham Abu Bakar, 38, dari Kampung Gelugor Haji Tahir disahkan meninggal dunia pada jam 5.50 petang 20 Jun lalu, setelah empat hari koma di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) akibat kemalangan jalan raya.

Suasana pilu dan sedih menyelubungi ahli keluarga serta sahabat handai apabila melihat isteri serta anak-anaknya hadir di Masjid Gelugor Haji Tahir ketika jenazah Allahyarham disembahyangkan.

Manakala, bapa Allahyarham Ustaz Sham iaitu Abu Bakar Pandak, 68, yang mengidap penyakit angin ahmar hampir sebulan lalu turut hadir di tempat pengkebumian anaknya itu.

Awang dimaklumkan, kemalangan tersebut berlaku ketika menyertai rombongan konvoi motosikal berkuasa tinggi di Rantau Abang, Dungun, pada hari Jumaat 17 Jun lalu.

Menurut sumber yang boleh dipercayai, apabila tiba di hadapan stesyen minyak Petronas Rantau Abang, Allahyarham dari arah Kuala Terengganu ke Dungun cuba masuk ke pam minyak tersebut.

Dalam sekelip mata, tiba-tiba berlaku pertembungan dengan sebuah lagi motosikal dari arah bertentangan yang mengakibatkan berlakunya perlanggaran tersebut.

Allahyarham Ustaz Sham yang cedera parah di kepala ‘koma’ setelah topi keledar yang dipakainya pecah dalam kemalangan yang berlaku sekitar jam 6.00 petang.

Konvoi bermotosikal tersebut dalam perancangan mereka untuk ke Kota Bharu, Kelantan dengan menggunakan motosikal jenis berkuasa tinggi.

Allahyarham merupakan seorang aktivis PAS yang dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa PAS kawasan dan Bendahari Pemuda PAS Hulu Terengganu Sesi 2011/2013 serta bekas Exco Pemuda PAS negeri Terengganu.

Ketika pemerintahan kerajaan PAS Terengganu, Allahyarham Ustaz Sham pernah dilantik sebagai Mubaligh Unit Pembangunan Insan (UPI) dari tahun 2000-2004.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Puan Zanariah Mamat, 38, serta tujuh orang anak berusia 50 hari hingga 12 tahun yang terdiri dua lelaki dan lima perempuan.

Isterinya, Puan Zanariah berkata pemergian Allahyarham Ustaz Sham diterima dengan perasaan redha dan takdir Allah SWT.

Kata beliau, Allahyarham Ustaz Sham telah ‘pergi’ buat selama-lamanya dan jika ada berhutang diminta hubungi keluarga tersebut.

“Jika masa (ketika) arwah suami saya hidup ada buat silap, tolong maafkan dia dan jika dia (Mohd Sham) berhutang dengan dengan sesiapa, sila datang berjumpa dengan kami untuk diselesaikan hutang itu,” ujarnya dengan nada sedih.

Apa yang membuatkan Awang terharu setelah mendengar ucapan isteri Allahyarham ketika memujuk serta memberitahu anak-anaknya yang kesedihan di hadapan jenazah Ustaz Sham.

“Assalamualaikum, abah (arwah)….ini anak-anak abah datang. Abah kita tak ada doh, abah sudah meninggal. Semua orang akan mati tapi kita dok lagi. Ini abah kita…abah kita tak ada doh…” ujar dengan sebak kepada anak-anaknya.

Jenazah Allahyarham Ustaz Sham dimandikan di HSNZ dan dibawa pulang untuk disembahyangkan di Masjid Gelugor Haji Tahir serta diimamkan oleh Mudir Ma’ahad Darul Quran (MDQ) Rusila, Ustaz Mohd Yassin Soleh bersama 200 ahli jamaah.

Selepas itu, Allahyarham dikebumikan pada jam 10.30 malam di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gelugor Haji Tahir bersebelahan dengan masjid berkenaan.

Antara pimpinan PAS negeri yang hadir Timbalan Pesuruhjaya (II) PAS Terengganu, Muhyidin Abdul Rashid, Setiausaha PAS Terengganu, Yahaya Ali serta ramai lagi termasuk Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Terengganu, Dr Bala Chandran.

Mengimbas kembali antara kenangan bersama Allahyarham Ustaz Sham yang masih Awang tidak dapat lupakan, apabila ‘arwah’ sudi hadir ke majlis Malam Anugerah Kewartawanan ExxonMobil (Kawat) yang diadakan pada 5 Januari lalu.

Kehadiran beliau bagi meraikan kemenangan para wartawan media yang menyertai pertandingan penulisan dan kewartawan negeri Terengganu.

Allahyarham duduk semeja sebagai tetamu undangan khas bersama Setiausaha PAS Terengganu, Yahaya Ali, Adun Ladang, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar dan Adun BN Tepoh, Mohammad Ramli Nuh.

http://apaorangkata.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails