Wednesday, June 15, 2011

Negara Berkebajikan mengikut feqah politik Islam

SEPANJANG pimpinan Dr. Burhanuddin al-Hilmy dalam PAS banyak yang disaranhttp://3.bp.blogspot.com/-ZG0z2HuDs80/TehtDfInA_I/AAAAAAAAO24/VyxbaIk5THE/s400/4.19.jpgkannya tentang pengisian sebuah negara merdeka Islam mengikut konsep Baldatun Toyibatun Warrabun Ghaffur yang diterjemahkannya sebagai membentuk negara berkebajikan yang mendapat restu – keredhaan – Allah.

Dalam Muktamar PAS ke 57 awal Jun lalu Presidennya Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang menyarankan sasarannya dalam muafakat Pakatan Rakyat bagi Membangun Negara Berkebajikan sebagai thema Ucapan Dasarnya.



Sarjana lepasan Oxford yang memimpin Pemuda UMNO mengira saranan negara kebajikan yang PAS hidupkan semula itu telah lari dari pejuangan asalnya bagi mendirikan negara Islam.

Menteri Nazri Aziz mengiranya ia meniru apa yang UMNO/BN laksanakan selama ini. Perdana Menteri Najib mengira ia bukan suatu yang bagi kerajaan dan parti yang diwarisinya, manakala Muhyiddin Yassin pula mengira PAS cuba buat yang sama dengan yang UMNO buat.

Ustaz Haji Hadi berjaya menarik perhatian semua pemimpin Barisan Nasional apabila sekaliannya segera memberi reaksi yang berbagai-bagai mengikut pengajian dan fahaman mereka.

Sarjana lepas Oxford ternyata gagal memahami ajaran Islam tentang kenegaraan dan pemerintahan. Atau cetek pengetahuannya mengenai subjek itu sekali pun dia pernah berkhidmat dengan ISIS, satu istitusi yang menghilang semua pemikiran dan perkembangan dunia.

Tidak sampai pengajian orang di Universiti Oxford bahawa pengisian negara berkebajikan itu adalah antara isi negara Islam. Kalau negara Islam itu ditakuti oleh orang-orang jahil kerana disangka kerjanya adalah untuk memotong tangan pencuri dan merejem penzina tetapi dengan tertegaknya negara kebajikan mengikut feqah politik Islam dapat menambah jelaskan bentuk dan corak negara Islam itu.

Yang takut kepada Islam selama ini mulai melucutkan perasaan itu hingga ramai yang mendaftar diri menjadi anggota Dewan Himpunan Penyokong PAS. Masyarakat bukan Islam dunia sendiri kian bersungguh menerima konsep makanan halal dan sistem perbankan Islam.

Semuanya itu adalah sebahagian dari pengisian muamalat Islam dalam cara pemerintahan Islam. Bukanlah Islam itu sekadar solat, jihad, puasa dan menutup aurat bagi wanitanya saja, tetapi dalam negara Islam itu ada konsep negara kebajikannya.

Kalau negara Islam itu menyukarkan orang memahaminya tetapi negara kebajikan itu menyenangkan orang menyukainya. Kafir Quraisy Mekah enggan menerima perdamaian Hudaibiyyah yang dibuat dengan Muhammad Rasulullah tetapi bersetuju dengan perjanjian yang dibuat dengan Muhammad saja sekali pun isi perjanjian itu sama.

Kalau Islam digeruni oleh kebanyakannya tetapi kebajikan itu disukai oleh semuanya. Dalam pendekatan dakwah, apa saja kaedah yang menarik orang ramai yang tidak bercanggah dengan sunnah Allah dan sunnah RasulNya adalah wajar dan dikehendaki.

Tidak berbangkit kebajikan yang disarankan PAS meniru mana-mana politik dunia kerana kebajikan yang hendak diserlahkan adalah bersandar kepada feqah politik Islam.

Negara berkebajikan yang mendapat restu-keredhaan Allah adalah ajaran al-Quran yang sudah disebutkan oleh Dr. Buhanuddin sejak sebelum negara merdeka dan sebelum bonda dan ayahanda Khairy Jamaluddin kahwin. Demikianlah tuanya konsep negara berkebajikan itu pada PAS.

Tiadalah meniru PAS akan konsep itu dari UMNO kerana kebajikan yang difahami dan diamalkan oleh UMNO ialah mengikut politik dunia dan sekular yang menghalalkan cara sedang kebajikan PAS itu adalah mengikut kehendak feqah politik Islam.

Kalau ulama yang tidak berpijak kepada feqah politik Islam boleh terjerumus dalam UMNO maka apa lagilah yang sekadar mengaji di Oxford dan Cambridge serta yang sekadar bersekolah atap dan tidak pernah menjejak kaki di tangga sekolah pondok.

Amat dibimbangi ulama yang tidak memahami feqah politik Islam lebih lemah fahamannya tentang politik Islam dari anggota Dewan Himpunan Penyokong PAS. Mungkin yang layak berdebat dengan ulama UMNO adalah anggota kelab menyokong PAS – bukan ulama PAS.

Tentang perintahan kebajikan yang Ustaz Hadi sarankan itu ialah ‘PAS wajib menghapuskan budaya mendapat hasil secara membebankan rakyat yang menjadi amalan kerajaan UMNO/BN sehingga mengambil kesempatan mendapatkan hasil melalui rukun hidup rakyat. Rakyat yang berniaga terpaksa berdepan dengan kerajaan yang berniaga. Kerajaan yang berniaga melalui GLC pula mengagihkan keuntungan kepada pemegang saham kroni tertentu, manakala kerugian peniagaan ditanggung oleh kerajaan, yang akhirnya dibebankan kepada rakyat menerusi sistem cukai yang menekan mata pencarian hidup rakyat biasa.’

Sistem kebajikan UMNO membawa kepada duiawi dan rasuah, sistem negara berkebajikan yang PAS mahu bagi membawa pahala dan menjauhkan dosa.

Oleh Subky Latif

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails