Wednesday, June 8, 2011

Batu Arang Bandar Bersejarah


Laporan Khas oleh Aziz Muda

BATU ARANG yang terletak di Rawang dan berada di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Selayang (MPS) akan diisytiharkan sebagai Bandar Bersejarah tidak lama lagi.

Peristisyaharan tersebut dijangka akan dibuat tahun depan, tetapi usaha ke arah itu sedang giat dilakukan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Batu Arang.

Setiausaha JKKK Batu Arang, Ahmad Rafie Yob menjelaskan, sebelum peristiyharan itu dilakukan, usaha-usaha bagi memperkenalkan Batu Arang sebagai Bandar Bersejarah perlu dilakukan terlebih dahulu.

(Gambar: Rafie menunjukkan peta lokas kawasan bersejarah di Batu Arang)

Menurut beliau, sehubungan itu, pihaknya sedang berusaha untuk mengadakan majlis pengenalannya terlebih dahulu menerusi program yang akan diadakan khas yang diberi nama Karnival 100 Tahun Batu Arang selama tiga hari.

Katanya, majlis pengenalan itu akan disempurnakan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.

"Mengikut perancangan, Karnival 100 Tahun Batu Arang itu akan diadakan pada bulan September 2011 ini. Dengan pengenalan Batu Arang sebagai Bandar Bersejarah pada majlis itu, bererti pengistisyharan rasminya pasti akan diadakan pula selepas itu bagi membolehkan Batu Arang menjadi Bandar Bersejarah benar-benar menjadi nyata," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pada majlis Karnival 100 Tahun Batu Arang itu, menurut beliau, beberapa acara telah dirancang. Antaranya termasuklah forum, sukan lasak, permainan gasing, pertunjukkan adat-adat Melayu dan beberapa acara lain yang bersesuaian.

Usaha ke arah menjadikan Batu Arang sebagai Bandar Bersejarah dilakukan oleh beliau sendiri dengan dibantu oleh Ahli Majlis MPS Zon 24 yang juga Yang Dipertua PAS (YDP) Selayang, Zaidi Talib, Pengerusi JKKK Batu Arang, Rosli Sharif dan rakan-rakannya yang lain dalam JKKK Batu Arang.

Kertas cadangan untuk membolehkan Batu Arang diwartakan sebagai Bandar Bersejarah telah disiapkan dan dikemukakan oleh beliau pada bulan Mac tahun lalu kepada Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita, Kebajikan, Sains, Teknologi, Inovasi dan Kebudayaan Selangor, Rodziah Ismail, Pejabat Daerah Gombak dan MPS.

(Gambar: Antara artifek bersejarah di Batu Arang)

Selepas itu, beliau juga telah diminta oleh pihak MPS untuk melakukan penerangannya dengan lebih lanjut sebanyak dua kali, iaitu pada bulan Mac dan Mei lalu di pejabat MPS, di samping memberikan taklimat khas kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim pada bulan April lalu.

Sementara ketika ditemui baru-baru ini pula, Ahmad menjelaskan, usaha menjadikan Batu Arang Bandar Bersejarah dilakukan oleh beliau sesuai dengan kedudukan kawasan Batu Arang itu sendiri sebagai kawasan perlombongan arang batu yang utama di tanah air pada masa lalu.

Berdasarkan catatan sejarah, katanya, pada tahun 1915, kawasan Batu Arang dikenali sebagai Bandar Bukit Emas Mini Selangor kerana ia merupakan kawasan perekonomian penting di Selangor, ekoran usaha perlombongan arang batu yang dimulakan di kawasan itu.

"Usaha itu pula berpunca dari penemuan arang batu di Batu Arang oleh Haji Abdul Hadi yang berasal dari Rantau Panjang, Batang Berjuntai, Selangor pada tahun 1910.

"Arang batu yang ditemui oleh Haji Abdul Hadi itu kemudiannya diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan untuk dikaji oleh pakar galian, JB Searveno. Setelah dikaji didapati batu arang yang terdapat di kawasan Batu Arang itu sememangnya bermutu tinggi dan mempunyai nilai kormersial," katanya.

Selepas itu, pihak British dengan diketuai J.A Russlel telah menubuhkan syarikat Malaya Collierries Limited pada tahun 1911, manakala pada tahun 1913 pula syarikat itu telah mendapat pentauliahan rasmi bagi membolehkannya melakukan usaha-usaha perlombongan arang batu di kawasan Batu Arang bermula tahun 1915.

"Di negara kita, selain di Batu Arang, arang batu juga turut terdapat di Bukit Arang di Perlis, Bukit Kepong di Johor, Enggor di Perak. Di antara di kawasan-kawasan itu, arang batu di Enggor turut didapati bermutu tinggi, tetapi perlombongan di Enggor itu juga tidak bertahan lama.

"Hanya perlombongan di Batu Arang sahaja yang bertahan lama sehingga tahun 1960. Kerja-kerja perlombongan dilakukan dengan dua kaedah iaitu dengan terowong dan lombong terbuka.

"Sebab-sebab operasi perlombongan arang batu di Batu Arang dihentikan kerana mulai tahun 1960, batu arang di Batu Arang juga sudah mulai berkurangan.

(Gambar: Balai Polis Batu Arang yang dibina sejak zaman kegemilangan Batu Arang)

"Ini menjadikan pihak syarikat terbabit sudah tidak berminat lagi untuk meneruskannya. Setelah mereka meninggalkan perlombongan arang batu di Batu Arang, mereka berpindah pula kepada perlombongan bijih besi di Bukit Besi, Terengganu," jelasnya.

Di sepanjang perlombongan arang batu di Batu Arang, katanya, Batu Arang merupakan kawasan tumpuan orang ramai di negari Selangor, manakala sebelum penutupannya pula, pekerja-pekerja di perlombongan arang batu di Batu Arang berjumlah 6,000 orang.

"Sebelum penutupannya juga, khususnya pada tahun 1935, turut terjadi mogok besar-besaran yang pertama kali di Malaysia yang ketika itu dikenali sebagai Malaya yang ditaja oleh komunis," katanya.

Sejajar dengan kedudukan Batu Arang sebagai kawasan bekas perlombongan arang batu utama, ia pasti meninggalkan pelbagai kesan sejarah yang amat perlu dinilai, dikenang dan dihargai oleh setiap penduduk di negara ini.

Menyedari hakikat itulah, beliau sanggup bersusah payah berusaha untuk menjadikan Batu Arang sebagai Bandar Bersejarah dengan perisytiharan dan perwartaan rasmi kerajaan, bagi membolehkannya terjaga dengan baik dengan dikekalkan nilai-nilai sejarahnya, tanpa boleh diganggu gugat sebarang pihak.

(Gambar: Antara bangunan bersejarah di Batu Arang yang perlu dipelihara)

Batu Arang diapit oleh Kota Puteri dan Tasik Puteri, manakala penduduk di Batu Arang pula kini berjumlah sekitar 11,000 orang yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India.

"Terdapat pelbagai faedah jika Batu Arang diwartakan sebagai Bandar Bersejarah. Selain akan membolehkan genarasi muda menghayatinya sebagai Bandar Bersejarah di negara kita, ia juga akan membolehkan Batu Arang muncul sebagai kawasan perekonomian penting di tanah air.

"Dengan itu, ia akan menarik tumpuan ramai ke Batu Arang, manakala kawasan-kawasan sekitarnya pula akan turut membangun dengan pesat.

"Contohnya di Kota Puteri, kini hanya mempunyai penduduk sekitar 3,000 orang. Sekiranya Batu Arang muncul sebagai Bandar Bersejarah, Kota Puteri pasti akan dihuni sekitar 50,000 orang.

"Begitu juga di Tasik Puteri yang kini hanya mempunyai 10,000 buah rumah dengan jumlah penduduk seramai 50,000 orang sahaja. Sekiranya Batu Arang menjadi Bandar Bersejarah, penduduk di Tasik Puteri pasti akan mencecah 200,000 orang," katanya.

Mengikut perancangan pihaknya, sekiranya Batu Arang diwartakan Bandar Bersejarah, kawasan itu akan dijadikan pusat perniagaan penting di Selangor dengan jualan barangan murah, dilengkapi tugu besar sebagai mercu tanda Batu Arang dekat Bulatan Batu Arang dan pembinaan muzium geologis.

Rumah-rumah lama yang ditinggalkan dalam usaha perlombongan arang batu di kawasan itu akan dijadikan homestay, di samping pembinaan pasar yang cantik, rangkaian jalan raya yang sempurna, pembinaan pusat sukan yang akan menjadi kunjungan ramai dan pusat rekreasi.

Antara pusat rekreasi yang dirancang untuk diujudkan termasuklah pembinaan pusat sukan lasak, khususnya pusat basikal lasak, pusat permainan kereta control, kapal terbang control yang turut dilengkapi pusat-pusat jualan peralatan berkenaan serta tempat-tempat membaikinya dan pusat memancing.

Manakala pusat-pusat perniagaannya pula termasuklah pusat jualan fabrik, pakaian, pusat makanan dan sebagainya yang pasti akan mempertingkatkan lagi pendapatan para peniaga di kawasan itu khasnya dan seluruh penduduknya amnya.

"Selain itu, kami juga merancang untuk mengadakan tempat berjalan kaki di kawasan ini bagi rekreasi, manakala pada setiap pokok di kawasan ini pula akan dibubuh plat orang-orang berjasa kepada Batu Arang dan sekitarnya," jelasnya.

Sepanjang perlombongan arang batu beroperasi di Batu Arang, beliau menjelaskan, pemilik syarikat yang mengusahakannya, Malaya Collieries Limited, J.A. Russlel telah mengaut hasil yang cukup besar sebanyak RM163 juta 345,181.

"Hasil keuntungan yang diperolehi dari perlombongan arang batu di Batu Arang itulah juga, J.A. Russlel telah membuat jasa-jasa lain termasuk membuka ladang teh di Cameron Hinghland pada tahun 1929 yang sekarang turut terhasilnya Teh Boh.

"Selain itu, beliau turut membina stesyen keretapi di Kuala Lumpur pada tahun 1929 dan membuka kilang simen di Lapos pada tahun 1953," jelasnya.

(Gambar: Pejabat JKKK Batu Arang yang menjadi penggerak kampung bersejarah ini)

Berdasarkan catatan itu semua, tegasnya, memang tepatlah jika usaha menjadikan Batu Arang sebagai Bandar Bersejarah dilakukan dan kini beliau amat gembira apabila usahanya itu semakin menyerlahkan kejayaan.

Sebelum detik itu tiba, Ahmad yang kini sudah berada pada usia persaraan ternyata menjadi orang yang paling sibuk kerana pelbagai perkara perlu dilakukan termasuk mengatur pelbagai program berkenaan, di samping berusaha memastikan segala yang dirancang berjalan mengikut yang dijadualkan.

"Sungguhpun begitu, saya sememangnya amat lega kerana sekarang segalanya berjalan begitu baik mengikut yang dirancang. Tetapi menunggu detik yang bersejarah itu sememangnya begitu mendebarkan," ujar beliau.

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails