Sunday, June 12, 2011

Sejumlah kereta jutaan dolar rosak

SEBUAH kereta Ferrari (kiri) dan Lamborghini (kanan) turut terjejas akibat banjir kilat yang melanda tempat letak kereta apartmen St. Regis di Singapura pada Ahad lalu.

SINGAPURA - Sejumlah kereta sport bernilai jutaan dolar seperti Ferrari rosak selepas tempat letak kereta bawah tanah di sebuah apartmen mewah di sini dilanda banjir, lapor beberapa buah akhbar semalam.


Tempat letak kereta di apartmen itu, St. Regis yang bernilai AS$16.27 juta (RM49.15 juta) menempatkan sejumlah kenderaan mewah semasa banjir kilat berlaku pada Ahad lalu.


Kereta-kereta mewah seperti Ferrari yang bernilai AS$894,979 (RM2.7 juta) rosak teruk akibat ditenggelami air banjir.


Para pemilik kereta tersebut yang menginap di apartmen berkenaan gagal mengalihkan kenderaan mereka dengan segera kerana maklumat mengenai banjir itu gagal diberitahu disebabkan sistem amaran banjir gagal berfungsi.


Pemilik-pemilik kereta itu perlu membayar cukai yang amat tinggi semasa mengimport kenderaan tersebut di Singapura.


Ekoran itu, harga kenderaan mewah amat tinggi di Singapura seperti kereta Rolls-Royce Phantom yang berharga AS$1.43 juta (RM4.3 juta) iaitu AS$813,019 (RM2.45 juta) lebih tinggi daripada yang dijual di United Kingdom.


Antara kereta mewah lain yang turut rosak akibat banjir itu di tempat letak kereta berkenaan ialah Aston Martin yang berharga AS$731,755 (RM2.21 juta) dan Porsche 911 yang berharga AS$406,530 (RM1.22 juta).


Kos bagi membaiki kereta mewah itu akibat banjir kilat dianggarkan melibatkan ratusan ribu dolar jika ruang dalaman dan sistem elektrik kenderaan berkenaan rosak.


Seorang penduduk yang merupakan pekerja pelaburan, Matthew Song, 33, berkata, kereta BMW M3 miliknya juga ditenggelami banjir.


Menurutnya, dia membeli kereta itu dua bulan lalu dengan harga AS$284,012 (RM858,142).


Kereta itu dihantar untuk dibaiki dengan menggunakan sebuah trak tunda pada Rabu lalu.


Seorang penduduk di apartmen itu, John Waggot, 50, yang merupakan seorang jurutera berkata, banjir kilat melanda apartmen tersebut buat kali pertama pada pertengahan Jun lalu.


Menurutnya, banjir kilat kali kedua berlaku dua minggu selepas kejadian pertama berlaku dan yang berlaku pada Ahad lalu merupakan bencana alam yang ketiga.

Agensi

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails