Sunday, June 26, 2011

Himpunan BERSIH: Polis Terus Ugut Untuk Tangkap, Petanda BN Akan Kalah Teruk PRU 13


Waran tangkap jika gagal beri penjelasan

IPOH: Polis akan memohon waran tangkap ke atas penganjur yang bercadang mengadakan perhimpunan haram 9 Julai ini jika mereka gagal hadir memberikan penjelasan berhubung perancangan berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar, berkata pihak berkuasa sebelum ini sudah memanggil semua penganjur terbabit untuk direkodkan keterangan mengikut Seksyen 275 Kanun Keseksaan iaitu percubaan mengadakan perhimpunan haram, tanpa mengira fahaman politik atau kaum tetapi ada yang meminta penangguhan atas alasan sibuk.

“Kita akan gunakan kuasa diperuntukkan mengikut seksyen itu. Bukan saja Datuk Ambiga Sreenevasan (bekas Presiden Majlis Peguam), tetapi yang lain juga termasuk Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA), Datuk Ibrahim Ali dan Pemuda UMNO,” katanya selepas merasmikan majlis penutup Hari Inovasi Polis Diraja Malaysia (PDRM), di sini semalam.

Beliau berkata, jika penganjur perhimpunan enggan memberi kerjasama dan tidak hadir walaupun sudah dipanggil memberi keterangan berhubung kes itu, polis akan mengeluarkan notis mengikut Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah dan jika mereka masih berdegil, boleh memohon waran tangkap.

“Bagaimanapun kita masih memberi tempoh dan notis berkenaan belum dikeluarkan kerana mahu memberi peluang kepada mereka datang memberi keterangan dan bekerjasama dengan polis,” katanya sambil menambah setakat kelmarin, 1,248 laporan polis diterima dari seluruh negara bagi membantah perhimpunan haram berkenaan.

Di KUALA LUMPUR, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, mengulangi peringatannya supaya orang ramai tidak menyertai perhimpunan haram terbabit yang hanya akan menimbulkan masalah kepada ketenteraman awam.

“Saya memantau keadaan ini, sudah beratus-ratus laporan kita terima yang tidak menyokong perhimpunan ini yang saya lihat boleh mengundang kepada ketegangan ketenteraman awam. Sebagai rakyat bertanggungjawab, janganlah kita membuat pilihan yang boleh menyebabkan ketegangan dalam negara kita,” katanya. -BH


Tangkap Bukan Penyelesaian Terbaik: KSU KDN


Putrajaya: Tindakan untuk terus menangkap pihak yang terbabit dalam perhimpunan haram 9 Julai ini bukan merupakan jalan penyelesaian yang terbaik, sebaliknya kerajaan mengambil pendekatan untuk memberi informasi supaya orang ramai tahu mengenai akibatnya.


Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Tan Sri Mahmood Adam, berkata senario pada zaman ini sudah berubah, di mana rakyat tidak boleh lagi menerima tindakan tangkapan oleh pihak berkuasa tanpa sebarang amaran.


"Jadi kita maklumkan kepada orang awam tentang apa yang berlaku. Tangkap-tangkap bukan jalan penyelesaian. Bolehkah kamu terima jika kami terus menangkap kamu," katanya selepas majlis dialog pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kesukarelawanan dengan beliau di KDN di sini, hari ini.


Mahmood diminta mengulas mengenai gesaan sesetengah pihak yang mahu KDN mengambil tindakan tegas terhadap penganjur perhimpunan haram tersebut dan tidak terlalu berlembut dengan mereka.


Beliau berkata, kerajaan juga akan meneliti lebih 1,000 laporan polis yang dikemukakan yang membantah perhimpunan tersebut serta akan mengambil tindakan yang sewajarnya.


Mengulas majlis dialog tersebut, beliau berkata, ia adalah yang pertama seumpamanya pernah diadakan dan akan diteruskan bagi menyelaras pergerakan NGO di negara ini serta meminta pandangan dan idea daripada mereka dalam usaha memajukan negara.


Mahmood berkata, kerajaan juga sedang mempertimbang untuk mewujudkan majlis permuafakatan bagi menyelaras dan memberi sebarang bantuan yang diperlukan oleh NGO tersebut serta menyelesaikan isu-isu yang dihadapi oleh mereka.


Mengikut rekod, katanya, terdapat lebih 119,000 NGO di negara ini dengan lebih 30 juta ahli dan lebih 40,000 daripada jumlah NGO itu merupakan NGO kesukarelawanan.


Beliau turut menafikan bahawa perjumpaan itu adalah langkah kerajaan untuk menguasai NGO terbabit sebaliknya kerajaan tidak mempunyai niat lain selain untuk menyatukan NGO berkenaan yang turut akan menjimatkan kos, masa dan tenaga mereka.


Seramai 100 pemegang jawatan daripada 40 NGO kesukarelawanan dari seluruh negara menghadiri perjumpaan itu. - BERNAMA


Dua senario yang bertentangan.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Tan Sri Mahmood Adam semalam menegaskan bahawa "tangkapan" bukan penyelesaian terbaik, sedangkan Polis bertegas nak gunakan tangkapan.

KSU KDN mengakui bahawa senario pada zaman ini sudah berubah, di mana rakyat tidak boleh lagi menerima tindakan tangkapan oleh pihak berkuasa tanpa sebarang amaran, tetapi bagi polis yang terikat dengan cara dan mentaliti lapok masih terus menggunakan kaedah ugutan untuk menangkap penganjur perhimpunan aman.

Saya yakin kesan daripada tindakan polis ini akan mendapat tentangan hebat daripada majoriti rakyat. Ianya akan dimanifestasikan melalui kertas undi di dalam pilihanraya nanti.

Sepertimana yang bekas Tun Dr Mahathir Mahathir yang cuba lepas tangan begitu sahaja tanggungjawab politiknya dalam "Operasi Lalang" pada tahun 1987, dalam satu wawancaranya yang dibukukan dalam Doctor M: Operation Malaysia - Conversations with Mahathir Mohamad, oleh Tom Plate.

Mahathir mendakwa penangkapan pada 26 Oktober 1987 adalah keputusan polis, dan beliau hanya menerima keputusan itu. Malah, TDM mendakwa konon dirinya pernah berjumpa dan menjamin kepada pembangkang sebelum "Operasi Lalang", bahawa mereka tidak akan ditangkap.

Apa yang berlaku selepas Operasi Lalang?

Keputusan pilihanraya umum ke 8 pada tahun 1990 Barisan Nasional kalah teruk dimana undi popular BN adalah yang terrendah selepas PRU 1969 iaitu hanya memperolehi 53.4% dan jumlah kerusi parlimen yang dimenangi BN pada ketika itu merosot dengan teruk buat kali pertama sehingga ke paras hanya 70%.

Hal yang sama berulang dimana tangkapan dilakukan terhadap pserta BERSIH 1.0 pada 2007. Pada 9 Disember 2007, Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu telah ditahan oleh polis Perak diketuai oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, SAC II Ismail Yatim.

Kereta Naza Ria Mohamad Sabu ditahan berhampiran Pasar Raya Tesco di Kepala Batas, Seberang Perai, Pulau Pinang. Beliau dalam perjalanan pulang dari majlis perkahwinan anak perempuannya di Sunway City, Tambun, Perak. Mohamad Sabu dipercayai terlibat dalam perhimpunan Bersih pada 10 November 2007. Rumah Mohamad Sabu terletak di Guar Petai, Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

Tian Chua yang merupakan Ketua Penerangan KeADILan turut ditahan di bawah Akta Polis, Seksyen 27(5)(a), di Johor Bahru, jam 5.15 petang pada 9 Disember 2007 kerana menjadi penggerak perhimpunan Bersih.

Apa yang berlaku pada PRU 2008?

Pertama kali di dalam sejarah BN gagal memnguasai majoriti 2/3 parlimen sehingga begitu ramai menteri kabinet kecundang dan terkangkang untuk mempertahankan parlimen masing-masing!

Polis perlu menghormati keputusan rakyat. Satu undian telah dilakukan dalam bahasa Inggeris seperti ini, "What is your view on the proposed Bersih 2.0 rally in July 9?" yang bermaksud "Apakah pandangan anda berkenaan pelaksanaan himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini?"

Keputusan yang dapat diambil sehingga 21 Jun lalu menunjukkan 99% pengundi yang terdiri dari 1,312,917 pengundi mengatakan himpunan patut diteruskan. Manakala hanya 1% pengundi pula yang terdiri dari 14,222 pengundi mengatakan himpunan perlu dibatalkan.

Justeru itu, jika polis ingin melihan BN kalah teruk di dalam PZRU13 ini, kamu boleh terus ugut dan tangkap rakyat yang telah menyuarakan hati nurani mereka bahawa BERSIH TETAP DITERUSKAN.

KSU KDN perlu panggil Ketua dan Timbalan Ketua Polis Negara menghadapnya untuk diberikan kaunseling sebelum nasi menjadi bubur! -GB

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails