Thursday, February 25, 2010

Berebut pembaca Melayu


Perebutan pembaca akhbar berbahasa Malaysia dijangka bertambah sengit tidak lama lagi dengan pengumuman syarikat penerbitan akhbar The Star mengenai pelancaran akhbar berbahasa Malaysianya yang akan muncul di pasaran, yang ketika ini dikuasai oleh Kumpulan Utusan Melayu dan New Straits Times Press (NSTP).

Akhbar baru yang dikenali sebagai Mingguan Star itu pada peringkat permulaan akan diedar secara percuma buat pembaca di Lembah Klang, bagi setiap pembelian akhbar Sunday Star.

Akhbar itu akan mulai diedarkan Ahad ini untuk bersaing dengan akhbar sedia ada seperti Harian Metro (edaran harian berjumlah 338,552) dan Kosmo (edaran harian 129,633).

Satu fakta menarik ialah Harian Metro ketika ini merupakan akhbar kedua paling ramai pembaca di Malaysia dengan edaran hariannya melepasi jumlah edaran harian akhbar The Star yang kini berjumlah 295,479.

Beberapa penganalisis media berkata pelancaran akhbar harian yang baru itu dilihat lebih kepada satu projek percubaan oleh penerbitnya, dan sekiranya ia diterima dengan baik, barulah ia akan dijual berasingan pada masa akan datang.

Ia merupakan strategi sama yang digunakan oleh naskah mingguan The Edge yang menyertakan naskah Personal Money sebagai sisipan pada awal penerbitan, sebelum ia dijual berasingan kemudiannya.

Timbalan pengarah Star Publications (M) Bhd Datuk Clement Hii semasa merujuk kepada penerbitan akhbar itu, tidak menolak kemungkinan Mingguan Star akan dijadikan sebagai akhbar harian 'sekiranya ia mendapat respons baik'.

Sama ada akhbar mingguan atau harian, pemerhati industri percaya Mingguan Star akan memberi saingan hebat kepada Kumpulan Utusan Melayu, NSTP, dan juga lain-lain akhbar berbahasa Malaysia, walaupun semasa pasaran ketika ini sudah dipenuhi dengan banyak pilihan akhbar yang ditawarkan, pendapatan hasil iklan pula dilihat semakin lembap dan jumlah edaran semakin merosot.

Oleh kerana pada peringkat permulaan edarannya adalah percuma, beberapa penganalisis percaya pihak yang berpotensi mengalami kerugian mungkin harian Metro terbitan NSTP, dan Kosmo terbitan Utusan.

Memang diketahui umum bahawa Star publication sentiasa berhasrat menerbitkan sebuah akhbar berbahasa Malaysia dan berjaya membawa masuk beberapa nama besar dalam arena kewartawanan seperti Allahyarham Tan Sri Samad Ismail dan Samani Amin ke dalam syarikatnya untuk menjayakan hasrat itu.

Syarikat itu mula menimbang idea pelaksanaan akhbar tersebut sejak tahun 1980-an, dan walaupun ia mendapat lesen bagi penerbitan sebuah akhbar berbahasa Malaysia, rancangan itu tidak dilaksanakan.

Promosi, pengiklanan dan pegawai-pegawai pemasaran berkata statistik mereka menunjukkan bahawa 35 peratus daripada pembaca akhbar The Star yang berjumlah 1.5 juta adalah dari kalangan kaum Melayu.

Pembaca dari kalangan kaum Melayu dilihat bertambah dengan pantas, selaras dengan populasi dalam negara yang meningkat, dan dengan perkembangan ini penerbitan Mingguan Star pasti dilihat sebagai 'sesuatu yang logik'.

Selain itu ada juga yang berpendapat bahawa Mingguan Star sedang berusaha menjadi lidah utama kepada "suara rakyat Malaysia", memandangkan kebanyakan akhbar berbahasa Malaysia kini dilihat terlalu 'bersifat Melayu'.

Mingguan Star dilihat cuba mensasarkan pembaca yang tinggal di kawasan perbandaran yang pesat membangun termasuk sekitar Bangsar dan Taman Tun Dr Ismail.

Rata-rata tenaga wartawan yang ditugaskan untuk menghasilkan Mingguan Star dikatakan datang dari portal MStar, yang merupakan unit Bahasa Malaysia bagi The Star yang direka khusus untuk pembaca dari kalangan kaum Melayu yang semakin meningkat.

Akhbar itu akan diterajui oleh pengarang bersekutu Star Rozaid Rahman, seorang bekas wartawan Kumpulan Utusan.


KL pos

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails