Friday, February 26, 2010

Apa masalah dengan hukuman sebat secara Islam?

Sebat dalam Islam

Pandangan demi pandangan telah pun diutarakan pelbagai pihak dalam mematangkan hujah bahawa perlunya ada pembaharuan terhadap sistem penghukuman kesalahan-kesalahan jenayah sedia ada.

Polemik terbaru rancak diperbahaskan adalah berkenaan dengan hukuman sebat yang telah pun dijalankan ke atas tiga pesalah wanita salah laku seks haram baru-baru ini.

Terdapat dua andaian yang boleh disimpulkan menerusi tindakan terbaru Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Pertama, beliau mahu mengubah imej kerajaan di mata rakyat, bahawa kerajaan juga amat menitik beratkan dasar-dasar agama dalam pemerintahan.

Seperti mana telah ditonjolkan menerusi perjuangan isu Allah dan Maulidur Rasul. Ia adalah berkenaan rentetan pembaharuan imej perjuangan UMNO, iaitu ke arah bersifat lebih keagamaan berbanding sebelumnya.

Kedua, sengaja diuar-uarkan hukuman ini, adalah umpama satu plot untuk mendapatkan maklum balas rakyat sebenar perihal sensitiviti hukuman sebat ke atas wanita sebelum ia benar-benar dilaksanakan ke atas Kartika.

Sebagai satu eksperimen Sister In Islam, menjuarai hal ini dalam memberi jawapan balas, di mana jawapannya bersifat lebih kepada menentang. Beberapa NGO kemudiannya memberi jawapan sokongan terhadap perkara tersebut di mana ia dilihat sebagai satu langkah positif dalam mengangkat kembali martabat mahkamah syariah biarpun hukuman sebatan yang dilaksanakan tidak lagi bersifat syarie sepenuhnya. Namun, ia adalah permulaan yang menyenangkan.

Menyelusuri hal ini, Gerakan Muslimah Sejagat (GEMS) memuji keberanian Kementerian Dalam Negeri. Bagaimanapun, pandangan-pandangan pihak yang salah faham mengenai konsep sebatan berpaksikan hukum syariah ini terutama di kalangan bukan Islam tidak wajar dilepas pandang. Tohmahan bahawa ia seolah-olah mengembalikan Malaysia ke zaman kelam di bawah kongkongan agama yang mundur seperti mana zaman Eropah suatu ketika dahulu wajar diberi pencerahan kefahaman melalui dialog terbuka.

Pihak kementerian juga disaran melakukan penyelidikan baik daripada aspek sains dan sosial dengan lebih mendalam lagi berkenaan sebat syariah demi memperkemaskan hujah untuk meyakinkan umum akan kesan kebaikan yang bakal dinikmati menerusi hukuman ini sama ada oleh pelaku jenayahnya mahupun komuniti masyarakat amnya.

Sebagai contoh, merujuk laporan Malaysiakini, satu kumpulan penyelidik di Institut Perubatan Novosibirsk, Rusia yang diketuai oleh pakar biologi Dr. Sergei Speransky menemui kaedah baru (baca: lama) merawat ketagihan alkohol dan kegundahan melampau melalui sebatan sebagaimana yang pernah dikuatkuasakan di sekolah Britain pada kurun sebelumnya dan mengesyorkan sesi terapi 30 sesi membabitkan 60 kali sebatan pada punggung seseorang berbadan sederhana.

Menurutnya berdasarkan saintifik, sebatan di punggung mampu merembeskan sejenis bahan kimia semula jadi dalam badan manusia, Endorpin yang bertindak sebagai antibodi terhadap kesan ketagihan arak, dadah dan rokok.

Kepadatan penjenayah yang melampau iaitu 34,060 di dalam 31 penjara seluruh Malaysia telah menyebabkan pihak KDN juga terpaksa memikirkan bebanan baru iaitu berkenaan penempatan mereka. Statistik jenayah dan gejala sosial pula memperlihatkan pertumbuhan kadar jenayah tidak pernah susut.

Intipati yang dapat dirumuskan di sini adalah, masalah penempatan hanyalah presented-problem tetapi isu sebenar di sini adalah mengapa hukuman berteraskan penguatkuasaan undang-undang sedia ada tidak mampu untuk memberi kesan kesedaran dan keinsafan kepada orang lain agar tidak turut melakukan jenayah yang sama?

Di sini letaknya kepada keperluan penyemakan semula hukuman dalam peruntukan undang-undang sivil sedia ada dan perlunya kepada keterbukaan pemikiran masyarakat ke arah yang lebih positif mengenai hukum sebatan dan hukum hudud lainnya di mana selama ini mereka hanya beriman dengan teori negatif yang terawang-awang tanpa pernah berani untuk bereksperimentasi!


Oleh NUR AZLIN MOHAMAD ARIF



No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails