KUALA LUMPUR,3 Feb: Bantahan Pro-Mahasiswa (Pro-M) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terhadap penyelewengan yang berlaku dalam proses pilihanraya kampus (PRK) kampus tersebut minggu lalu ditolak dan keputusan tetap berpihak kepada Pro-Aspirasi.
Jawatankuasa Pelaksana Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UKM menolak semua bantahan yang dibuat Pro-M dengan alasan ianya tidak dibuat sewaktu hari pembuangan undi.Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) khususnya Pro-M amat kesal dengan alasan yang diberikan itu kerana semua bantahan telah dibuat sewaktu hari pembuangan hari namun tidak dilayan oleh pihak jawatankuasa.
Seorang jurucakap Pro-M UKM berkata, alasan yang diberikan itu sangat tidak munasabah kerana pihaknya telah membuat bantahan kepada pengetua kolej kediaman yang bertindak sebagai ketua pusat undi setelah mengesan berlakunya kesalahan sewaktu tempoh pembuangan dan pengiraan undi.
"Semua bantahan ditolak atas satu alasan sahaja. Mereka tanya kenapa kita tak buat bantahan sewaktu hari pembuangan undi sedangkan bertimbun-timbun kita buat bantahan tapi tidak diterima. Tiba-tiba mereka cakap bantahan ditolak sebab tidak buat bantahan semasa hari pembuangan undi,"katanya ketika dihubungi Harakahdaily pagi tadi.
Petang semalam, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik (TNC HEPA) Profesor Datuk Dr. Mohamad Abdul Razak mengeluarkan satu surat rasmi menyatakan bantahan GMUKM ditolak dan Aspirasi kekal memenangi 20 kerusi manakala Pro-M 15 kerusi daripada 35 kerusi yang dipertandingkan.
Bantahan berhubung undi bagi Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina yang dikira di kolej kediaman tidak sama dengan yang diumumkan di pusat penjumlahan undi juga ditolak.
Rentetan penolakan bantahan itu, Pro-M UKM akan berkabung bagi menunjukkan 'silent protest' terhadap keputusan tersebut bermula hari ini sehingga hujung minggu ini.
"Kami akan berkabung untuk menunjukkan 'silent protest' kami di hadapan bangunan canselori mulai hari ini sehingga hujung minggu ini.
"Kami sangat kecewa dengan keputusan yang tidak adil ini sedangkan segala bukti penyelewengan kami sudah tunjukkan,"katanya.
Sebelum ini, usaha Pro-M untuk bertemu dengan Dr. Mohamad dan mengadakan sesi dialog dengan pengetua-pengetua kolej kediaman bagi mendapatkan penjelasan berhunung perjalanan PRK yang tidak telus juga gagal.
Hazayani Zakaria
No comments:
Post a Comment