Tuesday, February 9, 2010


Peluang jutaan rakyat jelata untuk menonton Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan nampaknya terancam. Hanya mereka yang berlanggan dengan TV berbayar atau TV langganan sahaja yang akan berpeluang menyaksikan temasya itu.

Sebahagian besar peminat bola sepak akan hanya menggigit jari.

Inilah realiti pahit yang dihadapi oleh peminat bola sepak negara menjelang Pesta Bola Dunia kali ini. Sebabnya: TV percuma (terrestrial TV dan free-to-air) tidak mampu membeli hak penyiaran Piala Dunia. Maka TV1, TV2, TV3 dan lain-lain tidak boleh menyiarkan sepenuhnya mana-mana pertandingan dalam masa sebulan itu. Hanya TV berbayar atau TV langganan sahaja yang akan menyiarkannya.

Ini soal ketidakadilan. Ia bertentangan sama sekali dengan semangat badan yang mengawal bola sepak dunia - Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) - yang menghendaki sekurang-kurangnya sebuah stesen penyiar percuma di mana-mana negara diberikan peluang menunjukkan pertandingan itu.

Ini kerana FIFA mahu memberikan peluang kepada semua penghuni planet ini untuk menikmati temasya "permainan cantik" atau beautiful game itu. Ia merupakan sukan rakyat yang sebenar, bukan golf atau polo yang eksklusif untuk mereka yang mampu dan berada.

FIFA menyedari bahawa bola sepak ialah sukan paling popular di dunia. Berbilion manusia menonton sukan itu. Oleh sebab itu FIFA mahu mendemokrasikan bola sepak.

Setiap penduduk bumi ini sepatutnya berhak menonton bola sepak walau di mana mereka berada. Sukan sahaja yang menyatukan penghuni dunia. FIFA mahukan bola sepak menjadi sukan unggul yang buta bangsa, agama dan kedudukan.

Tetapi apa yang berlaku ialah sebaliknya. Bayaran yuran untuk hak penyiaran melambung dengan hebatnya. Di Malaysia yuran untuk hak menyiarkan Piala Dunia meningkat daripada RM8 juta pada tahun 2002 kepada RM30 juta pada tahun 2006.

Bagi Piala Dunia 2010, jumlahnya meningkat menjadi RM80 juta, tidak termasuk kos masa tayangan yang berjumlah RM15 juta. Ini merupakan tambahan 300 peratus dari tahun 2006.

Entah berapa pula yuran bagi hak penyiaran empat tahun lagi! Dalam keadaan ini TV percuma tidak akan mampu bersaing dengan TV berbayar atau TV langganan.

Terbaharu Radio Televisyen Malaysia (RTM) mendapat hak siaran 35 perlawanan bola sepak Piala Dunia 2010 - 24 perlawanan secara langsung dan 11 lagi siaran tertunda.

Malah kita percaya sekiranya RTM membayar jumlah yuran yang tinggi menggunakan wang rakyat, akan menimbulkan kemarahan pada semua pihak.

Bayangkan sekurang-kurangnya 11 juta rakyat kita dinafikan hak menonton Piala Dunia kali ini. Nasib mereka juga sama malangnya bila berhadapan dengan liga terkenal di Eropah seperti Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Liga Juara-Juara (Piala UEFA).

Yuran untuk hak menyiarkan EPL selama tiga tahun akan datang bagi Malaysia sahaja meningkat daripada RM336 juta kepada RM875 juta atau peningkatan 161 peratus! Bagi Piala UEFA pula adalah dipercayai lebih RM35 juta diperlukan untuk mendapatkan hak penyiarannya.

Siapa yang mengaut laba keuntungan daripada semua ini? Pemilik hak penyiaran? Ejen bola sepak? Rakyat jelata kecewa!

Dalam masa sebulan pesta itu berlangsung, dunia akan melupakan sengketa dan kemiskinan, kesakitan dan kesusahan serta kebuluran dan perang.

Tumpuan diberikan pada permainan cantik, di mana sebiji bola dikejar oleh 22 pemain yang berbakat. Piala Dunia menjadi mercu tanda kehebatan pemain dan permainan bola sepak. Piala Dunia memperkenalkan pemain baru yang berbakat yang kemudiannya mungkin akan menjadi selebriti bola sepak.

Sukan ini menjadikan anak-anak gelandangan di kawasan miskin atau setinggan menjadi hero bola sepak yang disanjung.

Pesta bola bukan sahaja menunjukkan ketangkasan pemain tetapi juga melambangkan impian manusia. Bola sepak menjadi alat untuk anak-anak muda mengejar impian dan kekayaan.

Bayangkanlah anak-anak muda dari negara paling miskin di Afrika menjadi wira EPL dengan pendapatan mingguan melebihi RM500,000! Ini pendapatan seorang pekerja pejabat selama 333 bulan atau 27 tahun!

Di atas padang di mana berlangsung EPL atau Piala UEFA, kesemua pemainnya ialah jutawan. Hampir kesemua mereka datang dari latar belakang yang susah.

Ini peluang keemasan untuk anak-anak muda mengubah kehidupan mereka dan keluarga mereka. Pada hari ini, negara-negara seperti Nigeria, Cameroon, Ghana dan lain-lain di Afrika mengeksport pemain bola ke Eropah dengan banyaknya. Negara perkasa hari ini dinilai daripada keupayaan pasukan bola sepaknya.

Melaysia memerlukan suntikan Piala Dunia. Mutu bola sepak kita berada pada kedudukan yang tidak boleh dibanggakan. Memang kita mendapat nafas baru dengan kemenangan pasukan kita dalam Sukan SEA baru-baru ini.

Tapi banyak lagi yang perlu dilakukan bagi menjaya dan memajukan sukan itu.

Bagi stesen penyiar percuma atau FTA, tentulah sukar untuk mendapat balik wang yang dikeluarkan untuk yuran penyiaran. Syarikat rokok tidak lagi boleh mengiklan. Bagi yuran sebanyak RM80 juta untuk Piala Dunia kali ini, baik RTM atau TV3, tidak mungkin dapat pulangan daripada kos sebanyak itu.

Apa yang menyedihkan ialah ketamakan pemilik hak yang menaikkan yuran sewenang-wenangnya. Apa yang kita harapkan daripada permainan cantik sekarang menjadi gelanggang menunjukkan ketamakan.

Apa yang kita nampak hari ini ialah football greed. Keuntungan segelintir pihak menyebabkan hak rakyat dinafikan.

Sudah sampai masanya FAM menyatakan pendirian jelas dalam soal ini. FAM harus mewakili kepentingan rakyat dalam menyuarakan hak untuk menonton Piala Dunia. FAM tidak boleh berdiam diri kerana mereka akan dituduh membenarkan ketamakan berleluasa dalam sukan ini.

Rakyat Malaysia juga merayu kepada pimpinan negara agar mengambil perhatian serius soal ini. Dalam sukan, rakyat juga harus diutamakan.

Prinsip baru kerajaan yang dibawakan oleh Perdana Menteri kita harus diterapkan dalam sukan. Rakyat mesti diutamakan! Sukan adalah hak rakyat. Sukan harus dikembalikan pada rakyat!

Jangan nafikan hak menonton Piala Dunia pada jutaan rakyat negara ini!


http://ustaznazmi.blogspot.com/

Komen: Ramalan Juara Piala Dunia edisi kali ini adalah Sepanyol

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails