Thursday, February 18, 2010

Ketua Hakim Syarie Terengganu Minta Peguam Main Peranan Bantu Mahkamah



KUALA TERENGGANU, 18 Feb (Bernama) -- Semua peguam syarie di negeri ini hendaklah memainkan peranan masing-masing membantu mahkamah menyelesaikan kes-kes syariah, kata Ketua Hakim Syarie Terengganu Datuk Ismail Yahya.

Beliau berkata sekiranya semua peguam syarie memainkan peranan, kes-kes tertunggak seperti kes harta pusaka, hak penjagaan anak dan penceraian akan dapat diselesaikan dengan cepat.

"Peguam syarie sepatutnya bukan sahaja membantu anak guamnya, tetapi juga membantu mahkamah dalam mempercepatkan kes dan memberi hujah-hujah mengikut hukum syarak, itu sebenarnya.

"Kalau hanya datang untuk memenangkan pihak yang diwakilinya, tak jadi juga kerana kita di mahkamah, garis panduan kita ialah hukum syarak," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Sijil Amalan Persekitaran Berkualiti (QE-Quality Environment/5S) dan hari bertemu pelanggan di sini, pada Khamis.

Katanya terdapat seramai 64 peguam syarie di Terengganu.

Mengenai kes tertunggak, Ismail berkata berdasarkan kajian Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), dua peratus menyumbang kepada kes tertunggak datang daripada mahkamah.

"Biasanya ia terjadi (kes tertunggak) kerana ada pihak belum bersedia dan ada pula yang bicara setengah jalan dan tak habis kerana saksi tidak cukup.

"Kemudiannya adalah peguam. Tak boleh kes dua tiga minggu tangguh, nak tiga bulan kerana ada kes lain lagi dan inilah yang menjadikan (banyak kes) lewat pada hari ini," katanya.

Mengenai penganugerahan sijil QE, Ismail berkata ia akan menyemarakkan komitmen para petugas dalam menaikkan imej yang baik kepada jabatan.

"Kita dapat lihat komitmen petugas kita mengembleng tenaga untuk menaikkan imej jabatan. Sebagai contoh, kita mendapat pujian dari pelanggan kerana berjaya mendaftarkan kes dalam tempoh empat hingga lima minit sahaja dan bagi carian rekod, paling lama 10 minit," katanya.

Persekitaran Berkualiti ialah satu kaedah membina tempat kerja yang kondusif dan platfom untuk menjana idea baru ke arah menambah baik sistem kecekapan bekerja.

Selain Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu, Pejabat Tanah Galian Terengganu (PTG) dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu pernah menerima sijil yang sama.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails