Wednesday, February 17, 2010

PAS mahu SPRM siasat Umno guna UiTM Jengka


KUALA LUMPUR, 17 Feb: PAS mahu Jabatan Audit Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat status penggunaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jengka sebagai lokasi program Konvensyen Umno Pahang.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad juga mempersoalkan tindakan Umno Pahang yang mengunakan fasiliti milik rakyat itu untuk program konvensyen yang bakal dirasmikan oleh Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dijangka 2,000 ahli Umno Pahang akan berkampung di situ.

Katanya, konvensyen itu diadakan dari 19 hingga 21 Februari ini merupakan program politik yang jelas bertentangan dengan Akta UiTM 174 yang tidak membenarkan program politik diadakan di universiti berkenaan.

Menurutnya, walaupun ada peruntukan 'dengan kebenaran menteri' tetapi kebenaran yang diberikan itu boleh dipertikaikan kerana selama ini UiTM begitu keras menolak mahasiswa dan kakitangannya melibatkan diri dalam politik, apalagi membenarkan program politik di dalam kampusnya.

“Kalau dengan alasan sudah mendapat restu menteri, jawapan itu juga boleh dipersoalkan kerana Menteri Pengajian Tinggi juga adalah Ahli Majlis Tertinggi Umno.

“PAS mahu bertanya kepada Naib Canselor UiTM, berapakah Umno bayar untuk menggunakan fasiliti rakyat itu,” katanya.

Menurutnya lagi, sebelum ini sudah ada rekod bahawa Umno merupakan parti yang culas dan suka mengambil kesempatan dalam menggunakan fasiliti rakyat.

Malah pada tahun lepas, katanya Umno pernah diheret ke mahkamah oleh Syarikat Elegant Advisory Sdn Bhd kerana gagal membayar hutang sebanyak RM218 juta semasa pilihan raya 2008.

“Apakah Umno menggunakan fasiliti UiTM secara berbayar atau percuma. Jika berbayar, berapakah nilai sewaan dewan-dewan dan asrama yang mereka gunakan.

“Sampai bilakah UiTM mahu membiarkan dirinya terus menerus menjadi hamba kepada Umno,” tanya beliau.

Beliau berkata, rakyat sudah jelak melihat Umno memperkudakan UiTM, di mana UiTM tanpa segan silu mengarahkan mahasiswanya menjadi petugas semasa persidangan Umno setiap tahun di PWTC.

Katanya, PAS kesal kerana dalam keadaan ekonomi dan dana kerajaan yang gawat ini, Umno masih mahu menambahkan beban perbelanjaan.

Harakahdaily.net/-

1 comment:

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails