Friday, February 19, 2010

PKR tidak tahu Zulkifli ke Korea, kata Syed Husin


KUALA LUMPUR, Feb 18 — Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dr Syed Husin Ali hari ini berkata pemergian anggota Parlimen Kulim Bandar-Baharu Zulkifli Nordin ke Korea selatan adalah atas urusan sendiri dan bukan dihantar oleh parti.

Malah katanya, parti juga tidak dimaklumkan mengenai perkara itu.

“Ini nampaknya menjadi cara biasa Zulkifli. Dalam kes lalu beliau member alasan tidak berada di Kuala Lumpur juga untuk mengelak hadir mengikut tarikh yang ditetapkan Lembaga Disiplin ketika itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Syed Husin turut menafikan dakwaan Zulkifli bahawa PKR sengaja memilih tarikh beliau berada di luar negara untuk mengadakan perbicaraan berhubung kes beliau membuat laporan polis terhadap anggota Parlimen Shah Alam Khalid Samad dari parti PAS.

Katanya Lembaga Disiplin PKR telah menghantar surat tunjuk sebab kepada Zulkifli pada 8 Feb lepas meminta anggota Parlimen itu memberi jawapan selewat-lewatnya 15 Feb mengenai tarikh sesuai untuk pendengaran iaitu sama ada pada 18 Feb atau 23 Feb.

“Lembaga Disiplin tidak mendapat apa-apa jawapan daripada Zulkifli apabila tarikh itu luput. Pada 16 Feb 2010 Zulkifli memberitahu melalui media beliau tidak dapat hadir kerana ke Korea,” katanya.

Kenyataan Zulkifli itu katanya kemudian disampaikan kepada Setiausaha Agung parti Saifuddin Nasution. Syed Husin juga menafikan Zulkifli pernah mencadangkan tarikh lain untuk pendengaran kesnya itu kepada Lembaga Disiplin.

“Zulkifli memilih untuk lebih mementingkan urusan peribadinya ke Korea daripada hadir di hadapan Lembaga Disiplin untuk penyiasatan dan membela diri. Beliau tidak harus menyalahkan mana-mana pihak,” katanya.

Beliau seterusnya meminta Lembaga Disiplin parti agar mengambil kira segala kenyataan yang dibuat Anggota Parlimen itu selepas diberi surat tunjuk sebab sebelum memutuskan tindakan sewajarnya ke atas Zulkifli. — Bernama

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails