Saturday, February 27, 2010

Scomi Marine kerugian RM61.56 juta



KUALA LUMPUR 26 Feb. - Scomi Marine Bhd. telah mencatatkan kerugian sebelum cukai RM61.56 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2009, berbanding keuntungan sebelum cukai RM78.018 juta dalam tahun sebelumnya.

Pendapatan merosot 4.0 peratus kepada RM448.3 juta daripada RM467.058 juta sebelumnya, kata syarikat dalam kenyataannya di sini hari ini.

Scomi Marine berkata, pendapatan yang menurun itu terutamanya disebabkan oleh daya muatan arang batu yang rendah yang diangkut untuk pengguna Indonesia memandangkan separuh pertama telah terjejas oleh permintaan yang lembap tetapi kembali pulih dalam separuh kedua.

Meskipun dengan pendapatan yang rendah, margin keuntungan kasar meningkat kepada 28 peratus dalam tahun 2009 daripada 19.6 peratus dalam tahun sebelumnya, katanya yang mengaitkan peningkatan ini kepada kos pengurusan keseluruhan yang lebih baik.

"Daripada perkara-perkara penting ini, perbelanjaan bunker turun ekoran pengurangan dalam penggunaan dan harga komoditi. Perbelanjaan 'melabuh' (docking) juga rendah kerana kami memanfaatkan srategi kapal dok secara tempatan di Indonesia," kata presiden Scomi Marine, Mukhnizam Mahmud.

"Dengan mengambil pandangan jangka panjang di sektor-sektor yang kami beroperasi, fundamental untuk kedua-dua sektor arang batu dan minyak dan gas luar pesisir kekal tidak berubah sekali gus memberikan keyakinan kepada syarikat," kata beliau.

Mukhnizam berkata, permintaan global untuk arang batu dijangka kukuh dengan Indonesia terus menjadi pengeluar dan pengeksport utama arang batu.

"Kedua-dua Indonesia dan India akan menyaksikan peningkatan dalam penjanaan elektrik menerusi loji kuasa arang batu yang telah dirancang dan dibina dalam tempoh tiga hingga lima tahun ini," kata beliau.

Menurut Mukhnizam, ini memberikan peluang untuk syarikat dalam usaha mengembangkan pasarannya dalam logistik arang batu.

Mukhnizam juga berkata, aktiviti cari gali dan pengeluaran untuk sektor minyak dan gas di sekitar rantau ini terus mendesak permintaan untuk kapal tetapi penghantaran kapal-kapal baharu dalam tempoh dua tahun akan datang juga boleh memberikan tekanan ke atas kadar.

Bagaimanapun, syarikat menjangkakan kadar carter akan kekal stabil di rantau ini pada tahun 2010, kata beliau.

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails