|
|
DUNIA hiburan tempatan terus diwarnai kisah-kisah manis dan pahit serta hangat antaranya kisah perkahwinan dan penceraian golongan selebriti.
Perkahwinan dan pertunangan
23 Jan. - Selepas hampir dua bulan memeluk Islam, pelakon dan penerbit terkenal, Wendy Wong atau Wani Wendy Wong Abdullah sah menjadi isteri kepada seorang ahli perniagaan, Yacob Chik. Penerbit rancangan bersiri Kisah Benar itu memeluk Islam pada 28 November 2008.
12 Feb. - Penyanyi dan pelakon, Mohd. Faizal Ramly yang juga juara program realiti terkenal Akademi Fantasia musim keempat (AF4) menamatkan zaman bujangnya apabila mengahwini Nur Ashikin Mior.
14 Feb. - Pelakon Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar atau Que Haidar dan guru tari terkenal, Linda Jasmine selamat diijab kabul.
22 Feb. - Penyampai Radio Hot FM, Kartini Kamalul Ariffin atau Tini berkahwin dengan Pengurus Acara Hot FM, Nur Sulhi Jasmin.
8 Mac - Setelah empat tahun hidup bersendirian, penyanyi Leina Hangat sah bergelar isteri kepada Mohd. Zaipul Bahri Ghazali.
29 Mac - Pelakon terkenal, Haryati Hamzah, 29, atau dikenali Yatt, selamat diijabkabulkan dengan pasangannya Abdul Mutalib Abdul Shukor, 29.
10 April - Pelakon dan penyanyi, Arni Nazira Anuar yang juga bekas isteri Awie, menamatkan zaman jandanya apabila sah menjadi isteri kepada Wan Mohd. Hazrie Wan Mokhtar yang merupakan seorang kontraktor.
8 Mei - Pelakon, Didie Alias menamatkan zaman jandanya selepas berkahwin dengan Norisyam Ismail.
16 Mei - Pelakon Zamarulhisham Mohamed berkahwin dengan Diana Rafar.
22 Mei - Pengacara dan penggiat teater, Adlin Aman Ramli selamat diijabkabulkan dengan pelakon, Emelda Rosmila Abdul Hamid.
30 Mei - Bertunang selama dua bulan, pelakon dan penerbit drama, Nasreen Ngasri atau mesra dengan panggilan Darling sah bergelar isteri kepada Nur Azlin Rahmat.
6 Jun - Penyampai radio Era, Nurul Hana Che Mahazan atau Nana akhirnya selamat diijabkabulkan dengan Pengurus Kanan Hitz FM, Mohamed Raqeem Brian Abdullah atau Brian.
26 Jun - Meyanaliza Ruslee atau Maya berkahwin dengan Tengku Shahreza Tengku Abdul Aziz .
26 Jun - Pelakon Catriona Ross selamat dinikahkan dengan penerbit dan pengarah rancangan hiburan televisyen Astro, Shaharuddin Mokhtaruddin.
27 Jun - Setelah hampir lapan bulan mengikat tali pertunangan, akhirnya penyanyi Nikki melangsungkan perkahwinan dengan pasangannya, Audi Mok.
11 Julai - Selepas tiga kali dilamar seorang pemilik restoran makanan Jepun, Khairul Anuar Hussin, penyanyi dan pelakon Erneelya Elyana Emrizal atau Elyana akhirnya selamat ditunangkan dengan jejaka pilihan hatinya itu di sebuah banglo mewah di Bangsar, Kuala Lumpur.
31 Julai - Dramatis terkenal, Noniswara Baharudin selamat diijabkabulkan dengan Datuk Rosman Ridzwan di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur.
7 Ogos - Ikatan cinta yang terjalin sejak dua tahun lalu antara penyanyi kumpulan KRU yang juga usahawan berjaya, Norman Abdul Halim dan pasangannya, Shireen Mardziah Hashim akhirnya termeterai apabila kedua-dua mereka selamat diijabkabulkan di Masjid Saidina Umar al-Khattab, Bukit Damansara, dekat sini dengan mas kahwin RM3,000.
15 Ogos - Komposer terkenal tanah air, Faizal Maas atau lebih dikenali sebagai Ajai, sah menjadi suami kepada Norliza Mohamad Ilias pada satu majlis akad nikah yang diadakan di Masjid Negeri, Pulau Pinang. Ajai sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi terkenal Nurul dan dikurniakan seorang cahaya mata, Ayu Nazirah, 11.
16 Ogos - Penyanyi nasyid terkenal yang juga penceramah bebas, Akhil Hayy atau nama sebenarnya, Abdul Akhil Hai menikahi penyanyi dan pelakon Waheeda.
29 Sept. - Aktres terkenal, Umie Aida bertunang dengan Datuk Khairuddin Abu Hassan.
18 Okt. - Pelakon Sharifah Sofia Syed Hussein berkahwin dengan Syed Ismail Syed Ibrahim Al-Ali .
5 Dis. - Perkenalan selama 10 tahun antara Mohd. Razlan Mohamed Yusof atau lebih dikenali sebagai Lan Kristal dan pasangannya akhirnya membawa mereka ke gerbang perkahwinan.
12 Dis. - Jika tahun lepas, Ekin ditemukan jodoh dengan juara Akademi Fantasia musim kelima (AF5), Mawi, tahun ini, kembarnya Aain pula bertemu jodoh dengan seorang usahawan bergelar Datuk.
Perceraian
20 Jan. - Vokalis Ungu, Pasha dan Okie Agustina Sofyan disahkan bercerai di Pengadilan Agama Bogor.
16 Mac - Pelakon Beego atau nama sebenarnya Mohamad Aszerul Nizam Abdullah melafazkan cerai talak satu terhadap isterinya, Intan Shahira Mohd. Shahru di hadapan Hakim Syarie, Mohd. Yunus Mohamad Zin.
19 Mac - Setelah hampir setahun berahsia tentang pergolakan rumah tangganya, penyanyi jazz kontemporari, Atilia mengesahkan dia kini sudah bercerai dengan bekas suaminya, Ariff Johan Abdul Aziz selepas hidup bersama selama 10 tahun.
7 Jun - Hanya sempat menikmati alam perkahwinan selama tiga tahun, selebriti terkenal Sarimah Ibrahim mengaku sudah bercerai dengan suaminya, Amir Andrew Browning Abdullah sejak Disember tahun lalu selepas beberapa bulan tinggal berasingan.
22 Jun - Pelakon dan pelawak, AR Badul sah bercerai dengan isterinya, Muna Liza Basir secara tebus talak sebanyak RM1 di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur.
15 Julai - Sengketa rumah tangga penyanyi dan pendakwah, Akhil Hayy berakhir apabila dia melafazkan cerai talak satu ke atas isterinya, Maizawati Zainal di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh, Perak.
25 Ogos - Pelakon filem Santau, Putri Mardiana Zainal Abidin dan suami, Shahnaz Norwawi disahkan bercerai secara taklik dengan talak satu selepas Mahkamah Rendah Syariah Kajang mensabitkan talak yang dilafazkan melalui panggilan telefon.
14 Sept. - Penyanyi, Siti Nordiana Alias atau Nana dan suaminya yang juga pelakon drama, Mohd. Faizal Yusop disahkan bercerai dengan talak dua oleh Mahkamah Rendah Syariah Seremban.
2 Sept. - Penyanyi popular dengan lagu Menghitung Hari, Krisdayanti secara rasmi bercerai dengan suaminya, seorang ahli muzik, Anang Hermansyah iaitu tiga hari sebelum ulang tahun ke-13 pernikahan mereka.
Peristiwa
18 Jan. - Anugerah Juara Lagu Ke-23 (AJL23) ini mencipta kejutan apabila Lagu Untukmu nyanyian Meet Uncle Hussain dinobatkan sebagai Juara Lagu. Kemenangan lagu itu ternyata melenyapkan harapan lagu Sampai Syurga nyanyian Faizal Tahir yang disebut-sebut bakal mengungguli anugerah berprestij itu yang diadakan di Stadium Putra, Bukit Jalil.
3 Feb. - Polis terpaksa merujukkan bintang Akademi Fantasia (AF) musim kedua, Asma Ghani atau Mas ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas penyanyi itu berkelakuan pelik ketika berada di Balai Polis Pandan Indah, Ampang, Selangor.
10 Feb. - Konsert penyanyi antarabangsa kelahiran Barbados, Rihanna yang dijadualkan berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil 13 Februari terpaksa ditunda. Penundaan dipercayai berpunca daripada insiden penyanyi itu yang diserang dan dicederakan oleh kekasihnya yang juga penyanyi R&B terkenal, Chris Brown.
23 Feb. - Filem Slumdog Millionaire mencatat sejarah apabila memenangi Anugerah Academy.
12 Feb. - Dua penyanyi popular tanah air, David Arumugam dan Khadijah Ibrahim atau Kathy dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) membawa gelaran Datuk sempena ulang tahun keputeraan ke-78 Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.
30 Mac - Pelakon dan penyanyi popular, Erra Fazira selamat melahirkan cahaya mata perempuan pada pukul 11.40 pagi di Hospital Pakar Damansara, Damansara. Bayi seberat 4.04 kilogram yang diberi nama Engku Aleesya itu merupakan anak sulung Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chik hasil perkahwinannya dengan Engku Emran Engku Zainal Abidin.
19 Mac - Pelakon Diana Danielle menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Kem Princess Haliza, Sepang. Dua artis lain yang turut ditempatkan di kem sama ialah juara One In A Million (OIAM) iaitu Suki atau nama sebenarnya, Low Sook Yee dan finalis OIAM, Muhammad Alif Mohd. Satar atau Alif.
1 Mei - Penyanyi kumpulan New Boyz, Tomok muncul peserta lelaki pertama menjuarai pertandingan nyanyian, One In A Million 3 (OIAM3) pada konsert minggu terakhir program TV realiti itu di Stadium Malawati, Shah Alam.
8 Mei - Kumpulan Black Dog Bone (BDB) mengimbau nostalgia para peminat tempatan apabila mengadakan konsert kedua terbesar selepas 32 tahun di Panggung Sari, Istana Budaya (IB).
16 Mei - Mohd. Hafiz Mohd. Suip atau Hafiz muncul sebagai juara Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7). AF7 juga mencipta sejarah apabila buat pertama kali melantik wanita sebagai pengetua iaitu Datin Seri Tiara Jacquelina.
18 Jun - Penghibur tersohor negara, Allahyarham Sudirman Arshad dianugerahkan Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang membawa gelaran Datuk oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.
11 Sept. - Suami kepada penghibur tersohor, Anita Sarawak iaitu Mahathir Abdullah cedera di kepala akibat ditetak ketika cuba melawan empat penjenayah bersenjatakan parang yang cuba menyamun pasangan itu di Taman Melawati, Hulu Klang, Selangor.
8 Ogos - Filem Papadom arahan Afdlin Shauki diumumkan Filem Terbaik dalam Festival Filem Malaysia ke 22 (FFM22) di Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Sabah.
19 Okt. - Penganjur konsert Beyonce Knowles, syarikat Marctensia Sdn. Bhd. mengumumkan bahawa konsert sulung penghibur antarabangsa itu yang dijadual berlangsung 24 Oktober di Stadium Nasional, Bukit Jalil ditunda kerana menerima bantahan pelbagai pihak.
20 Nov. - Oprah Winfrey yang popular dengan The Oprah Winfrey Show, sebuah rancangan ikon dan paling berpengaruh mengumumkan akan menamatkan program itu pada 2011 selepas 25 tahun disiarkan.
13 Dis. - Teater Natrah yang dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) bermula 30 November dan berakhir 13 Disember lalu mencatat sejarah apabila ia secara keseluruhannya ditonton lebih 18,000 penonton.
15 Dis. - Pelakon terkenal tanah air, Zizie Izette, 31, mengakui dia sudah dilamar oleh seorang wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dari Sabah dan bersedia bergelar isteri.
Komen: menjadi perkara biasa kepada depa....
No comments:
Post a Comment