Saturday, January 23, 2010

Pro-Mahasiswa UM dakwa TNC HEP salah guna kuasa


KUALA LUMPUR, 23 Jan: Pro-Mahasiswa Universiti Malaya (UM) mendakwa beberapa penyelewengan telah berlaku sepanjang tempoh kepimpinan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (TNC HEP) khususnya yang melibatkan kegiatan dan aktiviti mahasiswa.

Menurut pengerusinya, Mohd Shafie Hashim, penyelewengan dan salah guna kuasa itu memburukkan imej dan kredibiliti beliau selaku orang yang bertanggungjawab untuk menjaga dan membimbing mahasiswa.

Dalam kenyataan media kepada Harakahdaily, beliau berkata, apa yang malang, ia berlaku di universiti yang sudah menjangkau tangga ke-180 universiti terbaik dunia.

Berikut kenyataan media beliau berhubung isu-isu pilihan raya kampus UM.

Pilihan raya kampus (PRK) kali ini menyaksikan pertembungan sengit antara dua kelompok di UM.

Keadaan ini ditambah pula dengan tindakan beberapa pihak pentadbiran universiti yang bertanggungjawab dalam urusan PRK ini didapati telah banyak melacurkan kesucian demokrasi kampus kali ini.

Perjalanan PRK daripada awal sudah diragui ketelusannya bermula dengan e-undi, kemudian ditambah pula dengan isu-isu terbaru lebih-lebih lagi melibatkan individu terpenting dalam mengurus pilihan raya kampus kali ini.

Beberapa penyelewengan telah berlaku di sepanjang tempoh kepimpinan TNC HEP khususnya yang melibatkan kegiatan dan aktiviti mahasiswa.

Penyelewengan dan salah guna kuasa ini memburukkan imej dan kredibiliti beliau selaku orang yang bertanggungjawab untuk menjaga dan membimbing mahasiswa.

Apa yang malang, ia berlaku di universiti yang sudah menjangkau tangga ke-180 universiti terbaik dunia.

Penyalahgunaan saluran duit ke kolej kediaman

Berdasarkan maklumat yang di perolehi , pada 15 Januari 2010, Jawatankuasa Tindakan Kolej (JTK) di seluruh kolej kediaman telah mendapat surat rasmi daripada TNC HEP.

Setiap kolej diberikan peruntukan sebanyak RM5,000. Ini bermakna, untuk dua belas kolej kediaman sebanyak RM60,000 diberikan. Apakah tujuan diberikan peruntukan ini? Apakah tujuan diberikan peruntukan ini dalam suasana menjelang PRK?

Festival Konvokesyen Universiti Malaya

Kredibiliti TNC HEP diragui sekali lagi dengan isu seterusnya di mana selaku individu yang bertanggungjawab mengawal program ulung universiti ini didapati telah menyalahgunakan kuasa beliau.

Antaranya berlaku dakwaan berkenaan tender untuk penjualan bunga kepada para graduan telah didapati cuba dipersetujui secara senyap melalui syarikat yang rapat dengan TNC. Ia sekaligus menafikan hak penender-penender yang turut serta melalui prosedur yang sah.

Di samping itu juga, perbelanjaan serta agihan kewangan kepada tender serta program-program di dalam FESKUM juga di dapati tidak menepati sebagaimana bajet yang dikeluarkan oleh pihak universiti. Sebagai contoh HEP telah mengambil syarikat yang paling mahal di antara syarikat yang disenaraikan tanpa tujuan sedangkan perkhidmatan yang diberikan sama seperti syarikat yang jauh lebih murah.

Majlis Debat Universiti Malaya

Dalam isu ini, program ini telah diadakan pada 4 hingga 7 Disember 2009 di UM. Penganjuran debat ini adalah di bawah universiti dan dikelolakan oleh bahagian HEP UM.

Apa yang menyedihkan, program ini telah dimanipulasi dan dijalankan secara tidak sistematik, profesional dan tergesa-gesa. Peruntukan wang diberikan sebanyak lebih RM200,000 dari Majlis Debat UM dan Kementerian Pengajian Tinggi ditambah dengan pemberian RM3,000 bagi setiap pasukan debat dari IPT.

Namun, pendebat terbaik final hanya diberi RM500, sedangkan sebelum ini berdasarkan maklumat mengenai debat lalu, pendebat terbaik mendapat RM1,000.

Begitu juga dengan pengendalian makanan yang hanya menggunakan satu syarikat kafeteria untuk tiga majlis debat yang hanya memiliki tiga kakitangan. Persoalannya adalah, ke mana perginya jumlah duit peruntukan yang banyak itu disalurkan?

Di peringkat mahasiswa melihat isu-isu ini sangat penting dan menyentuh soal kredibiliti pihak HEPA untuk menguruskan perjalanan PRK kali ini. Mahassiswa kecewa dan menyelar dengan tindakan sebegini kerana pihak HEPA sendiri jelas tidak amanah sehingga membabitkan penyelewengan ribuan ringgit.

Sepatutnya untuk mengendalikan pilihan raya perlulah diuruskan oleh mereka yang bersih dan jauh dari sebarang masalah yang boleh diragui tindakannya dalam memilih kepimpinan mahasiswa yang sebenar. Pihak HEPA perlu tampil memberi jawapan terhadap isu ini.


Harakah daily

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails