Saturday, January 23, 2010

Pro-Mahasiswa kekalkan kuasa MPP di UIA


Kumpulan Pro-Mahasiswa mengekalkan “kerajaan” Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) malam tadi, buat tahun ke-12 berturut-turut.

Bagaimanapun dalam pilihan raya kampus itu yang diadakan semalam, kumpulan Pro-Mahasiswa mengalami kemerosotan lima kerusi berbanding sesi pengajian sebelum ini.

Dalam pemilihan MPP sesi pengajian 2009/10 ini, mereka memperoleh 15 kerusi daripada 29 kerusi yang dipertandingkan.

Baki dimenangi oleh calon kumpulan yang mengelar diri mereka Pro-Mahasiswa, Bebas dan pelajar asing menerusi lima kerusi yang diperuntukkan kepada mereka.

Sesi lalu mereka memperoleh 20 daripada 29 kerusi di MPP.

Wakil kumpulan Pro-Mahasiswa di peringkat UIAM, Mohd Zaki Shukri memberitahu The Malaysian Insider bahawa calon-calon pihaknya berjaya mengekalkan kemenangan dan penguasaan berturut-turut sejak tahun pengajian 1998/99.

“Walaupun menang 15 kerusi, kami yakin boleh memperoleh sokongan calon-calon Bebas dalam pentadbiran MPP,” katanya.

Ditanya sebab penurunan kerusi yang dimenangi kali, Zaki menjelaskan ia kemungkinan berkaitan dengan kempen “agresif” kumpulan Pro-Aspirasi, antaranya menggunakan cara-cara berkempen yang tidak diizinkan oleh pengurusan universiti.

“Mungkin pelajar tertarik dengan cara-cara kempen mereka dan mungkin mereka lebih menonjol dengan cara kempen mereka... bagaimanapun kami akan membuat kajian untuk memperbaiki kedudukan kami tahun depan.

“Kami juga akan membuat aduan kepada pengurusan universiti mengenai cara kempen kumpulan Pro-Aspirasi,” kata beliau lagi.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan ia juga berkaitan dengan penurunan peratusan keluar mengundi di peringkat MPP.

“Maklumat yang kami terima peratusan keluar mengundi cuma 59 peratus berbanding 87 peratus sesi lalu.... ini juga mungkin salah satu punca.

“Mengapa peratusan keluar mengundi ini terlalu rendah, juga satu situasi yang perlu dikaji,” katanya.

UIAM juga mengadakan sudut pidato umum, julung kali, menjelang pilihan raya kampus semalam.

Kumpulan Pro-Mahasiswa juga telah menguasai MPP Kolej Universiti Islam Antarabangsa (KUIS) Selangor.

Pada hari penamaan calon tiga hari lalu barisan calon Pro-Mahasiswa memenangi 12 daripada 21 kerusi MPP yang dipertandingkan tanpa cabaran. Ia yakin akan memperoleh empat lagi kerusi pada hari pengundian 27 Jan ini.

Minggu lalu kumpulan Pro-Mahasiswa melibatkan 14 institusi pengajian tinggi awam melancarkan Misi-10 untuk menguasai MPP.

Kumpulan Pro-Mahasiswa juga telah menguasai MPP Universiti Malaysia Terengganu Ahad lalu.

Khamis depan sebanyak enam universiti awam lagi akan mengadakan pilihan raya.


No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails