Friday, January 29, 2010

E-Voting 'pilot test' kecenderungan pengundi muda PRU-13




KUALA LUMPUR, 29 Jan: Pro-Mahasiswa (Pro-M) mendakwa pengenalan sistem e-undi di Universiti hanya bertujuan membantu kerajaan membaca trend politik pengundi muda pada Pilihanraya Umum ke-13 kelak.

Menurut Pengerusi Pro-M Nasional, Mohd Shafie Hashim, strategi sedemikian dengan menjadikan Universiti sebagai ‘pillot test’ telah lama dilakukan oleh parti-parti pemerintah di negara maju.

“Ini baru kebarangkalian...Saya tidak mahu katakan pasti atau sebaliknya motif e-Undi ini sebenarnya untuk membantu Umno BN membaca trend pengundi muda,” jelasnya.

“Tetapi, parti-parti pemerintah di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat sendiri sudah lama menggunakan cara ini, jelasnya.

Sekiranya kebarangkalian tersebut benar, beliau yang juga Pengerusi Pro-M Universiti Malaya (UM) memuji parti-parti pemerintah kerana mahir dalam memanfatkan teknologi tinggi.

“Kalau benar, kerajaan serta parti-parti pemerintah boleh dikata hebatlah sebab sudah pakai strategi berkapasiti tinggi yang lazim digunakan oleh negara-negara maju saja.”

“Ini baru kebarangkalian yang dikeluarkan oleh Unit Kajian Strategik (UKS) kita (Pro-M),” jelasnya.

Tambahnya lagi, penggunaan universiti untuk kepentingan parti-parti pemerintah sudah tentu memberi banyak kelebihan, berbanding pembangkang iaitu Pakatan Rakyat.

“Kerajaan dilihat terkehadapan jika benar menggunakan Universiti (sebagai ‘pillot test’), sedangkan parti-parti Pakatan Rakyat masih dilihat bekerja cara lama (iaitu) kenal pasti penyokong parti masing-masing, kemudiannya didaftarkan mereka sebagai pengundi baru untuk persiapan PRU13 kelak,” jelasnya.

Ditanya tentang kaedah membaca trend pengundian pengundi muda menggunakan e-undi, beliau menjelaskan bahawa data-data perolehan boleh disusun secara automatik mengikut demografi tertentu secara strategik.

“Secara relatif, data ini boleh disusun ikut demografi negeri, faham politik, latar belakang pendidikan dan tahap hidup selesa (sama ada) tinggal di kolej atau di luar (kampus).”

“Kalau keputusan e-undi menunjukkan (bahawa) majoriti mahasiswa (pengundi) peranakan atau bemastautin di Kedah umpamanya cenderung pada parti-parti yang memerintah negeri tersebut, maka ianyanya memberi isyarat (kepada kerajaan persekutuan) bahawa pengundi muda dalam PRU13 kelak mungkin lebih cenderung (pada) mengekalkan kerajaan negeri (Pakatan Rakyat) yang sedia ada,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut melahirkan rasa kesal kerana universiti yang sepatutnya bersifat autonomi akhirnya dijadikan perkakas politik oleh pihak-pihak tertentu.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau yang juga Exco Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) turut mempersoal motif di sebalik pertemuan sulit antara ProA dan bekas Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustafa Mohammad yang dijangka akan diadakan pada malam ini.

“Malam ini, saya diberitahu (bahawa) akan ada suatu pertemuan tertutup (yang) melibatkan semua MPP Pro Aspirasi di kediaman peribadi Datuk Mustafa, di ibunegara,” jelasnya.

“TNC HEP (Profesor Madya Datuk Dr. Azarae Idris) dan semua staff universiti yang terbabit menjayakan sistem e-undi ini pun turut dijemput.”

“ Adakah pertemuan tersebut untuk menjelaskan (laporan) trend undi muda di Universiti seperti yang saya perkatakan ini?” soal beliau.

Semalam, keputusan Pilihan Raya Kampus UM menyaksikan Pro-A mendapat 21 kerusi manakala Pro-M mendapat 17 kerusi


Dzulfikar Mashoor - Harakahdaily.



No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails