Wednesday, January 27, 2010

Pilihan raya kampus, sistem e-Undi yang mengecewakan




Proses pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Islam Malaysia bagi sesi 2009/2010 telah pun berakhir diadakan minggu lalu. Berbanding kampus-kampus lain yang ‘panas’ dan menjadi tumpuan pihak luar, proses pemilihan MPP di USIM berjalan dalam keadaan tenang dan tanpa sebarang kekacauan oleh pihak tertentu.

Sejak diperkenalkan beberapa tahun lalu, sistem e-Undi dikatakan memberi banyak kelebihan, antaranya menjimatkan masa para petugas dan pelajar, mudah untuk sesi pengiraan undi, menjimatkan masa pelajar serta petugas, memudahkan pengiraan dan sangat praktikal untuk dilaksanakan.

Benarkah kenyataan tersebut, atau ianya hanya menguntungkan pihak Jawatankuasa pemilihan MPP bagi memudahkan urusan mereka? Ternyata, dalam proses pemilihan MPP pada kali ini sudah dikesan beberapa kelemahan sepanjang proses pemilihan berlangsung:

1. Lanjutan tempoh mengundi. Waktu pemilihan yang sepatutnya sudah berakhir pada jam 4.30petang , telah dilanjutkan setengah jam hingga ke pukul 5.00 petang. Keadaan itu menimbulkan tanda tanya di kalangan para pelajar yang dimaklumkan lebih awal berkenaan tempoh pemilihan. Sepatutnya tempoh pengundi tidak boleh diubah sewenangnya. Menampakkan pihak pentadbiran memanipulasikan PRK.

2. Wujudnya undi rosak. Jika difikirkan secara logik, agak mustahil akan berlaku undi rosak dalam aplikasi IT secanggih sistem e-Undi. Apabila ditanya kepada seorang pensyarah bahagian pengajian teknologi, beliau menyatakan aplikasi e-Undi sudah diguna pakai sejak dulu. Sepatutnya tidak wujud undi rosak kerana sistem tersebut akan sentiasa dinaiktaraf setiap tahun dan diuji beberapa kali dalam siri simulasi sebelum hari pemilihan.

Kami kesal dan kecewa dengan sikap sesetengah pegawai di Hal Ehwal Pelajar (HEP) yang seolah-olah ingin mempermain serta memperkecilkan peranan mahasiswa.

Mungkin kelemahan yang berlaku dipandang kecil saja di peringkat pentadbiran. Hakikatnya ia melambangkan betapa tidak profesionalnya pihak HEP dalam mengendalikan proses pemilihan MPP, serta melunturkan kepercayaan kami kepada pihak HEP yang hanya menganggap pelajar sebagai ‘pak turut’ bagi mereka. Situasi yang berlaku sudah cukup membuktikan bahawa pihak HEP tidak berintergriti dalam proses PRK.

Selaku mahasiswa yang matang, kami cuba bersikap prihatin dengan proses pemilihan kepimpinan pelajar yang sangat penting bagi kami, kerana calon yang dipilih bakal menjadi penghubung dan penyalur suara kami ke pihak atasan.

Kami juga cuba menghormati perjalanan pilihan raya kampus di sini walaupun ‘kemeriahan’ tidak begitu dirasai. Sekiranya perkara sebegini terus terjadi, tidak mustahil selepas ini akan ada mahasiswa yang memboikot pemilihan MPP pada tahun depan dan membantah secara keras penggunaan sistem e-Undi.

Pihak Jawatankuasa Pemilihan MPP sepatutnya tidak memikirkan kepentingan mereka sendiri. Jangan semata-mata untuk menyenangkan urusan mereka, kepentingan dan hak pelajar cuba dihakis dan dipinggirkan.

Siswa Kesal,

Bandar Baru Nilai, N. Sembilan

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails