Tuesday, January 19, 2010

UKM wujud semula Sudut Pidato selepas 34 tahun diharamkan



Mohamed Khaled Nordin dan Prof. Shahrifah Hapsah Syed Shahabudin (kiri) beramah mesra dengan beberapa pelajar di Majlis Teres Eko Niaga dan Pelancaran Sistem Penilaian Kompetensi Generik, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, semalam.


BANGI 14 Jan. - Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini menganjurkan Sudut Pidato selepas 34 tahun diharamkan berikutan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1975.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah UKM menganjurkan semula Sudut Pidato itu diyakini mampu melahirkan golongan mahasiswa bertanggungjawab serta mencorak kepimpinan cemerlang di kalangan mereka.

Beliau berkata, pindaan semula AUKU yang diwartakan pada Februari lalu membuktikan kerajaan bersifat terbuka dalam memberi peluang kepada mahasiswa untuk menghidupkan budaya keilmuan dan intelektual di universiti.

"Kita menitikberatkan soal meningkatkan mutu pengucapan awam dan sifat tanggungjawab mahasiswa untuk berhujah dengan isu-isu setempat mahupun antarabangsa.

"Penganjuran Sudut Pidato ini diharap dapat membudayakan golongan mahasiswa cemerlang bukan sahaja daripada segi akademik tetapi turut melihat soal kematangan mahasiswa dalam mengutarakan sesuatu isu,'' tegasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Teres Eko Niaga dan Pelancaran Sistem Penilaian Kompetensi Generik (SPKG) di sini hari ini.

Turut hadir Naib Canselor UKM, Prof. Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Shahabudin.

Teres Eko Niaga bertujuan memberi peluang kepada mahasiswa menceburi bidang keusahawan di kampus sementara sistem SPKG diperkenalkan sebagai penilai kemahiran generik mahasiswa dalam aspek tanggungjawab sosial.

Sudut Pidato itu sebelum ini diharamkan berikutan pindaan AUKU 1975 kerana ia disalahgunakan untuk berpolitik.

Universiti terkemuka dunia yang turut menganjurkan Sudut Pidato dan menjadi acara utama kalendar mereka adalah Universiti Oxford, Universiti Cambridge dan Universiti Harvard.

Menurut Mohamed Khaled, selaras dengan misi nasional bagi mencapai matlamat pembangunan berasaskan ilmu pengetahuan dan inovasi, Sudut Pidato memberi lebih kebebasan bersuara kepada mahasiswa.

Bagaimanapun katanya, Sudut Pidato di kampus perlu mengikut peraturan dan berbeza daripada amalan pada 1960-an dan 1970-an.

"Panduan dan peraturan untuk mengadakan Sudut Pidato menekankan aspek modal insan, berhemah, berasaskan fakta, bertanggungjawab dan hormat-menghormati.

"Saya yakin mahasiswa yang bertanggungjawab tidak akan menyalahgunakan peluang yang diberikan ini.

"Saya harap institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) lain di negara ini turut menganjurkan Sudut Pidato di universiti masing-masing," katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, golongan mahasiswa di universiti juga perlu didedahkan dengan peluang keusahawanan sebagai kerjaya pilihan utama.

"Malaysia bakal mengalami transformasi ekonomi kepada ekonomi pendapatan tinggi menjelang 2020 dan kerana itu, rakyat negara ini termasuk mahasiswa perlu merebut peluang menjadi usahawan berjaya,'' katanya.


Komen: sabitlah mahasiswa tak matang selama ni,depa duk haramkan pidato...lepas ni bila mahasiswa dah dapat pentas pidato dengan depa-depa kena sapu...tunggu-tunggu.Jangan lepas dah bagi pentas pidato duk letak syarat-syarat pulok,jangan buat mahasiswa macam budak tadika kemas deh...deh...

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails