Wednesday, January 20, 2010

Murid pintar


Ainan menguji peralatan di salah satu makmal Kolej Universiti HELP di Damansara baru-baru ini.

BARU berusia 10 tahun sudah diterima masuk ke universiti. Itulah kehebatan Ainan Celeste Cawley dari Singapura.

Ketika kanak-kanak seusianya masih terkial-kial menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira, dia sudah lulus O-Level dalam subjek Kimia dan Fizik.

Kejayaannya diiktiraf dunia sebagai kanak-kanak termuda lulus O-Level dalam subjek Kimia ketika berusia tujuh tahun satu bulan dan namanya tercatat dalam Singapore Books of Records.

Anak pintar kacukan Irish-Melayu ini juga telah menamatkan O-Level dalam subjek Fizik serta A-Level dalam subjek Kimia ketika berusia lapan tahun empat bulan.

Kehebatannya turut dijadikan dokumentari televisyen di United Kingdom (UK) dalam Superhuman Genius untuk ITV1 dan The World’s Cleverest Child and Me untuk Channel 4.

Ainan turut muncul dalam Asia’s Wonder Kids untuk Channel News Asia (Singapura) yang ditayangkan di seluruh Asia.


AINAN CALESTE CAWLEY

Dia yang mula mempelajari kursus asas kimia peringkat Ijazah Sarjana Muda di Politeknik Singapura akan menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda di Kolej Universiti HELP, Damansara di Kuala Lumpur.

Menurut bapanya, Valentine Cawley, Ainan akan mengikuti kursus American Degree Program (ADP) dalam bidang Sains Komputer serta turut mengikuti subjek Kimia.

``Ainan juga akan menduduki A-Level dalam subjek Fizik dan Matematik bagi membolehkan pengetahuan serta kemahirannya dalam bidang sains diperluaskan lagi,’’ jelasnya.

Tambahnya lagi, Kolej Universiti HELP mempunyai standard tinggi serta kos berpatutan dan memiliki kakitangan yang memahami keperluan luar biasa akademik Ainan.

``Selain itu, kolej ini juga fleksibel dalam membolehkan Ainan memilih sendiri subjek pilihan yang bersesuaian dengan perkembangan intelektualnya,’’ kata Valentine.

Sementara itu, Pengarah Jabatan A-Level HELP, Jahn Cheah berkata, mereka sangat berbangga dan mengalu-alukan kehadiran Ainan di kolej itu.

``Kami akan memastikan Ainan mendapat sokongan dan bantuan sepatutnya sebagai kanak-kanak pintar,’’ katanya.

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails