Sunday, January 24, 2010

Terengganu lebur rekod tanpa kalah Selangor


KUALA LUMPUR – Terengganu meleburkan rekod tanpa kalah Selangor dalam empat perlawanan, apabila berpesta gol dengan jaringan 4-0, sekali gus merapatkan perbezaan mata dengan juara bertahan Liga Super itu, semalam.

Skuad Penyu memperoleh jaringan menerusi Abdul Manaf Mamat pada minit ke-10, dua sepakan penalti yang disempurnakan oleh Ashaari Shamsuddin (minit ke-33 dan ke-90), serta Joseph Kallang Tie (minit ke-78) pada perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Dua penalti diperoleh tuan rumah setelah penjaga gol Selangor, Hamsani Ahmad menjatuhkan Manaf dalam kotak penalti, disusuli kesilapan Nasriq Baharom yang tertampan bola dengan tangan pada masa kecederaan, babak kedua.

Namun, skuad Merah Kuning yang sebelum ini memenangi empat perlawanan berturut-turut, kekal menerajui liga dengan 12 mata.

Terengganu di tangga kedua dengan 11 mata.

Perlis pula melonjak ke tangga ketiga liga, setelah menumpaskan Pulau Pinang 2-0 di Stadium Utama Negeri, Kangar.

Tiga mata penuh skuad utara tanah air itu dijelmakan menerusi jaringan Wan Mohd. Shukri dan sepakan penalti Ahmad Fakri Saarani, masing-masing pada minit ke-25 dan ke-73.

Kelantan turut memperbaiki kedudukan untuk mengekori rapat skuad Singa Utara, apabila membelasah Johor FC 4-1 di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu.

Skuad B. Sathianathan memperoleh gol menerusi Norshahrul Idlan Talaha, Azizi Mat Rose, Indra Putra Mahayuddin dan Nor Farhan Muhammad.

Johor FC, bagaimanapun sempat menyamakan kedudukan pada minit ke-21 menerusi Riduwan Moin.

Kedah pula seharusnya berterima kasih kepada Baddrol Bakhtiar yang menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-71 perlawanan di Stadium Darul Aman, Alor Setar untuk seri 1-1 dengan Perak.

Pasukan Seladang mendahului pasukan tuan rumah hasil jaringan Razali Umar Kandasamy pada minit ke-45.

Pertemuan pasukan jiran, KL PLUS dengan Kuala Lumpur di Stadium Petaling Jaya, pula menyaksikan perlawanan berkesudahan seri tanpa jaringan.

Sementara itu, dua lagi perlawanan yang sepatutnya berlangsung semalam ditunda, berikutan kemangkatan Sultan Johor, Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail, kelmarin.

Ia melibatkan perlawanan Johor menentang T-Team di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, di Johor Baharu dan Pahang menentang Negeri Sembilan, di Stadium Darul Makmur, Kuantan

Utusan Melayu

Komen : Penyu berenang riang di Laut China Selatan

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails