Tuesday, January 19, 2010

Selamatkah Album Foto Internet?




Sejauh manakah selamatnya menyimpan gambar dalam talian pada portal-portal Internet?

Dewasa ini, kamera digital sudah begitu sinonim dengan masyarakat Malaysia yang semakin maju melangkah dalam era digital. Di majlis-majlis perkahwinan dan keraian lain contohnya, telefon berkamera, kamera digital SLR mahupun kompak sudah menenggelami populariti kamera analog yang menggunakan filem.

Selari dengan perkembangan ini, bilangan laman web yang membolehkan perkongsian foto digital secara umum turut meningkat. Laman web atau online album ini menjadi pusat depositori pengguna untuk menyimpan koleksi gambar mereka buat tatapan sahabat taulan serta saudara mara tidak kira di mana mereka berada.

Namun, adakah selamat untuk berkongsi koleksi foto peribadi anda di laman ini? Sama ada sedar atau tidak, foto peribadi mengandungi maklumat berkaitan anda dan keluarga, harta benda milik anda serta aktiviti yang dilakukan bersama keluarga mahupun teman.

Kekhuatiran ini sebenarnya ada asasnya kerana terdapat banyak laporan tentang pelanggaran privasi yang berpunca daripada perkongsian maklumat pada laman web umum menunjukkan laman seperti ini mungkin tidak selamat sekiranya kita tidak berhati-hati.

Laman web yang membenarkan perkongsian gambar seperti Fotopages, Flickr dan PicasaWeb merupakan portal himpunan gambar yang popular hari ini. Laman ini membenarkan ahlinya menyimpan serta mencoretkan nota pada setiap keping gambar yang terpapar.

Secara umumnya laman seperti ini mendapat keuntungan menerusi cetakan gambar, kad serta cenderahati seperti kalendar yang dicetak dengan gambar pilihan kita. Ahli pula boleh berkongsi gambar dengan teman dan keluarga dengan memberikan pautan kepada laman foto mereka.

Sesetengah laman menawarkan ciri keselamatan dengan menghendaki pelawat memasukkan kata nama berserta kata laluan sebelum dibenarkan melihat gambar di dalamnya. Pelawat juga boleh meninggalkan komen pada mana-mana gambar yang mereka rasakan menarik.

Ketika ramai yang ghairah memaparkan gambar mereka secara dalam talian, ada yang mengambil kesempatan untuk mengeksploitasinya. Wujud kes di mana pemilik album gambar ini diekori oleh seseorang yang tidak dikenali - yang berpunca daripada perkongsian gambarnya sendiri.

Lebih mengerikan, terdapat juga kes pembunuhan dan penculikan di Amerika Syarikat yang berpunca daripada perkongsian gambar. Pada Disember tahun 2004, Lisa Montgomery telah ditahan dan dituduh membunuh Bobbie Jo Stinnett yang ketika itu sedang hamil lapan bulan.

Hasil penyiasatan polis dan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) mendapati Montgomery mengetahui Stinnett hamil melalui laman web yang memaparkan gambar Stinnett bersama anjingnya. Kemudian penjenayah kejam ini menghubungi Stinnett kononnya hendak membeli salah seekor daripada anjingnya. Tanpa sebarang syak, ibu malang tersebut memberikan alamat rumahnya. Perjumpaan kemudian diatur dan berakhir dengan tragedi memilukan itu.

Apabila maklumat peribadi dihantar ke internet, pastinya anda melakukannya dengan tujuan tertentu seperti berkongsi gambar dengan teman dan keluarga atau mempromosikan perniagaan dan perkhidmatan anda. Namun, apabila maklumat peribadi didapati secara bebasnya di internet, anda kehilangan kawalan tentang siapa yang akan menggunakan maklumat tersebut dan bagaimana ia akan digunakan.

Terdapat banyak maklumat yang terdapat daripada album foto di internet daripada gambar hinggalah nota-nota ringkas. Seperti slogan Fotopages, 'Kerana sekeping gambar melambangkan ribuan perkataan', gambar peribadi boleh membawa pelbagai maklumat kepada mereka yang rapat dengan anda, tetapi sekiranya tidak dihadkan, ia juga boleh digunakan oleh mereka yang tidak sepatutnya.

www.klikjer.co.cc

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails