Sunday, January 24, 2010
Belajar Hikmah Cara Socrates
Saya menerima sebuah email berbunyi:
“Assalamualaikum ustaz. Saya nak minta pandangan ustaz tentang hasrat saya berhenti belajar. Saya sudah hilang minat dengan study saya sekarang. Untuk pengetahuan ustaz, saya sedang menuntut di sebuah IPT di dalam bidang kejuruteraan. Saya mahu belajar agama, supaya saya faham al-Quran dan al-Sunnah. Kalau boleh saya mahu jadi macam ustaz dan rasanya saya cemburu dengan ustaz. Saya bercadang untuk ke Negara Arab dan mohon ustaz tolong saya dapatkan fund untuk saya ke sana.”
Kepada pelajar berkenaan, dan rakan-rakan yang sehasrat dengannya, saya perturunkan kisah di bawah ini sebagai panduan:
Suatu hari, seorang pemuda datang kepada Socrates dan berkata, “saya mahu belajar dan tahu semua yang kamu tahu!”
“Kalau itu yang kamu mahukan, mari ikut aku ke sungai” jawab Socrates.
Dengan perasaan penuh ghairah, pemuda tersebut mengekori Socrates berjalan menuju ke sungai yang dimaksudkan. Apabila tiba di tebing sungai, Socrates memanggil pemuda tersebut, menyuruhnya merenung ke air.
“Tengok betul-betul dalam air tu, apa yang kamu nampak?” katanya.
“Saya tak nampak apa-apa pun”, jawab pemuda tersebut.
“Tengok betul-betul. Dekatkan lagi kepala kamu itu ke air” tegas Socrates.
Apabila pemuda itu meniarap dan mendekatkan mukanya ke air, Socrates segera memegang kepalanya dan membenamkan ia ke dalam air! Pemuda tersebut meronta-ronta dan tangannya terkapai-kapai kelemasan.
Terdesak!
Bila mana pemuda tersebut kelihatan sudah seperti mahu lemas, Socrates menarik keluar kepalanya dan menyandarkan beliau ke tebing.
“Hoi orang tua. Engkau gila ke apa?” tanya lelaki itu sambil terbatuk-batuk mencuba nafas.
“Engkau nak bunuh akukah?” geram benar bunyinya.
“Semasa aku benamkan kepala engkau ke dalam air, apakah benda yang paling engkau hajatkan pada detik itu?” tanya Socrates.
“Aku nak bernafas, aku mahukan udara!” jawabnya tegas.
“Jangan sekali-kali kamu tersilap fikir bahawa HIKMAH itu boleh diperolehi dengan mudah, wahai anak muda” kata Socrates.
“Apabila kamu mahu belajar, seperti kamu mahu dan berhajat kepada udara sebentar tadi, barulah datang kepadaku” tegas Socrates, menyimpulkan pelajaran pertamanya petang itu.
[petikan The 7 Habits of Highly Effective Teens - Sean Covey]
Habiskan dahulu pengajian anda. Jika selepas setahun dan berhasil menggenggam segulung ijazah, anda masih mempunyai semangat yang sama tinggi untuk mengaji agama, maka benarlah anda memang patut mengaji agama dan mengkhususkan diri di bidang tersebut. Jika selepas menggenggam ijazah, semangat anda sudah pudar dan timbul pula hasrat-hasrat yang lain, maka bersyukurlah kerana Allah telah menyelamatkan bidang agama daripada didokong oleh orang yang semangatnya hangat-hangat tahi ayam.
ABU SAIF @www.saifulislam.com
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment