Friday, January 22, 2010
P'raya kampus: Penguasaan Pro-M merosot di UIA
Penguasaan kumpulan Pro-Mahasiswa (Pro-M) di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) merosot apabila hanya berjaya mempertahankan 14 kerusi dalam pilihan raya kampus hari ini, berbanding 20 kerusi yang dimenanginya tahun lalu.
Seorang jurucakap Pro-M memberitahu Malaysiakini, keputusan di kampus Gombak memperlihatkan kumpulannya menang dua kerusi di Fakulti Ekonomi dan Fakulti Kejuruteraan, masing-masing satu kerusi di Fakulti Ilmu Wahyu dan Kemanusiaan dan Fakulti Undang-undang.
Lapan kerusi lagi dimenangi di kampus Kuantan.
Bagaimanapun, sumber itu tidak dapat memberikan keputusan lengkap pengundian di kampus berkenaan "atas sebab-sebab keselamatan".
Sebanyak 29 kerusi dipertandingkan dalam pilihan raya kampus kali ini - 16 di Gombak dan 13 di Kuantan.
Kumpulan Pro-Aspirasi (Pro-A) pula menang empat kerusi - dua di Fakulti Teknologi Maklumat dan Informasi, manakala masing-masing satu kerusi di Fakulti Undang-undang dan Fakulti Ilmu Wahyu dan Kemanusiaan.
Calon bebas pula memenangi enam kerusi di Fakulti Seni Bina dan kerusi antarabangsa.
Ditanya kenapa penguasaan Pro-M merosot berbanding tahun lalu, sumber berkata, terdapat calon yang tidak dapat giat berkempen kerana memberi tumpuan kepada peperiksaan pertengahan semester yang masih berjalan.
Sehubungan itu, sumber menambah, pihaknya akan membuat bedah siasat punca kemerosotan kumpulannya dalam masa terdekat.
malaysiakini
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment