Tuesday, April 20, 2010

RANSANGAN NABI S.A.W. SUPAYA BERUBAT



Diceritakan dalam sebuah hadis; "Beberapa orang dari pedalaman datang menemui Nabi s.a.w. dan bertanya kepada baginda; "Ya Rasulullah! Bolehkah kami berubat?. Baginda menjawab; "Ya. Wahai hamba Allah! Berubatlah. Kerana sesungguhnya Allah tidak menjadikan suatu penyakit melainkan menjadikan untuknya penyembuhan atau ubat kecuali satu penyakit sahaja (iaitulah penyakit tua)" (Riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi dari Usamah bin Syarik r.a.).

Di dalam hadis di atas Nabi s.a.w. telah memberi rangsangan dan galakan kepada setiap orang yang terkena penyakit supaya mencari ubat untuk menyembuhkan penyakitnya dan jangan sekali-kali berputus asa kerana setiap penyakit ada ubatnya. Menurut Ibnul Qayyim al-Jauzi dalam kitabnya Zaadul Ma'aad; "Sabda Nabi s.a.w. 'Setiap penyakit itu ada ubatnya' merupakan suatu daya penguat jiwa pesakit dan doktor dan merupakan galakan ke arah mencari ubat tersebut dan membuat kajian untuk tujuan itu. Seseorang pesakit yang merasakan penyakitnya mempunyai ubat akan makin bertambah pergantungan hatinya dengan roh harapan, kehangatan perasaan putus asanya akan sejuk dan akan terbukalah pintu pengharapan…". (Zadul Ma’ad, jil. 4, m/s 69).

Dalam satu hadis yang lain, Nabi s.a.w. bersabda; "Setiap penyakit mempunyai ubat. Apabila terpadan penyakit dengan ubatnya nescaya akan sembuhlah penyakit dengan izin Allah" (Hadis riwayat Imam Muslim dan Ahmad daripada Jabir r.a.).

Setiap penyakit ada ubatnya. Apabila penyakit itu bertemu ubatnya maka sembuhlah dia. Itulah yang disebut sebagai keserasian. Namun, dalam proses mencari ubat, manusia sering menemui jalan buntu apabila usaha-usaha yang dilakukan itu tidak berjaya. Sering kita dengar bahawa seseorang itu kadang-kadang dijangka tidak mempunyai harapan untuk terus hidup. Jika ia hidup usianya mungkin hanya dalam jangka enam bulan atau setahun. Jangkaan seumpama itu biarpun berdasarkan kepada lumrah atau pengalaman, kajian-kajian saintifik atau sebagainya, namun, hal tersebut tidak seharusnya dijadikan satu hukuman untuk tidak memberi harapan hidup biarpun jangkaan seumpama ini mungkin benar-benar terjadi. Hanya Allah yang menentukan kematian seseorang. Biarpun doktor menjangkakan umur seseorang para tarikh-tarikh tertentu, namun selagi jangkaan tarikh tersebut tidak menepati ketentuan Allah, orang yang berkenaan tetap hidup.

USTAZ AHMAD ADNAN FADHIL

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails