Friday, April 16, 2010

HENTIKAN SISTEM PILIHANRAYA KECIL

JUMAAT, 16 APRIL 2010 | 1 JAMADILAWWAL 1431H
Sistem pilihanraya di Malaysia memerlukan banyak semakan semula terhadap perjalanan yang menerima pelbagai kecaman dan kritikan. Isu undi pos, sistem kawalan penggunaan jentera kerajaan dalam pilihanraya, isu rasuah dan sogokan, pengisytiharan pelbagai projek setelah pembubaran Dewan Rakyat, dan isu penggunaan media rasmi sebagai media kempen oleh parti pemerintah adalah antara pelbagai isu yang memerlukan kesungguhan dan ketegasan SPR bagi melahirkan keadilan dalam sistem pilihanraya di negara ini. Di samping pelbagai permasalahan tersebut, saya berpendapat sistem pilihanraya kecil juga memerlukan semakan semula.

Bilamana berlaku sebarang kematian kepada wakil rakyat, maka apakah perlu diadakan pilihanraya semula bagi menggantikannya? Saya berpendapat bahawa parti politik yang memenangi pilihanraya umum berhak menamakan terus pengganti, sebagaimana yang dijalankan di negara jiran tanpa memerlukan pilihanraya kecil. Sistem pilihanraya kecil yang diadakan menyebabkan pelbagai masalah berlaku. Wujudnya ketegangan antara para penyokong yang boleh mencetuskan pelbagai kejadian yang tidak diingini seperti kematian dalam tragedi Lubuk Merbau.

Pilihanraya kecil juga menyaksikan pelangaran kepada peraturan pilihanraya, bilamana hampir semua parti yang bertanding menggunakan peruntukan melebihi apa yang dibenarkan oleh undang-undang. Semua parti terpaksa membelanjakan wang ringgit, tenaga dan masa
yang banyak setiap kali pilihanraya kecil diadakan, bahkan terkadang ianya boleh mengganggu perjalanan pentadbiran yang sedang berjalan, bahkan peruntukan beberapa PRK terkadang boleh mengatasi peruntukan PRU.

Apa yang lebih
malang ialah apabila sesebuah kerajaan yang dipilih oleh rakyat dalam PRU boleh tumbang hanya bilamana ada wakil rakyat yang dipilih melompat keluar dari parti yang dimenangi. Tindakan ini tidak sepatutnya berlaku, sehingga hak parti yang dipilih oleh pengundi dalam PRU, seolah-olah tiada apa-apa kuasa dan hak Saya berpendapat sebarang tindakan melompat parti, bermakna wakil tersebut telah hilang kalayakan sebagai wakil rakyat, dan kekosongan kerusi hendaklah diisi oleh parti yang memenanginya dalam PRU. Sistem pilihanraya di Malaysia yang menjadikan asas kepada parti bukan individu mesti diiktiraf dan dilayan secara adil.

PRK juga terdedah kepada meningkatnya amalan rasuah kepada para pengundi. Lihat sahaja bilamana berlaku kekosongan, kita rasa jijik bilamana pelbagai janji ditabur kepada rakyat, jutaan peruntukan diluluskan, rakyat digula-gulakan setiap kali PRK; sehingga ada kata-kata sinis “Kalau inginkan pembangunan segera, doakan kematian wakil rakyat”. Rasuah dan sogokan dalam pilihanraya mendatangkan kesan yang sangat besar, bilamana jalan mendapatkan kemenangan yang
diasas dengan cara yang tidak betul, akan mendedahkan pelbagai gejala negatif dalam kepimpinan selepasnya. Tindakan sogokan, tekanan, ugutan dalam PRK menyebabkan pengundi tidak lagi memilih wakil mereka secara tenang dan jujur, bahkan ianya banyak dipengaruhi oleh suasana pada hari pengundian.

Meneliti pelbagai kesan yang lahir dari PRK, apakah masih wajar kita meneruskan sistem ini atau kita mula memikirkan kaedah baru, dengan memberikan mandat kepada parti yang memenangi dalam PRU bagi mengganti kekosongan tersebut. Ini bermakna PRU merupakan satu-satunya wadah
bagi rakyat menentukan kerajaan yang mereka ingini. Sebarang pembentukan kerajaan hanya berlaku setelah selesai PRU; maka tidak timbul soal ada wakil rakyat yang dibeli, dijual atau dilelong; dan tidak akan berlaku tumbangnya kerajaan yang dipilih oleh rakyat dalam PRU, hanya kerana adanya wakil rakyat yang melompat keluar. Rakyat ingin melihat pemimpin yang jujur, amanah dan setia dalam perjuangan.

USTAZ TITM

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails