Saturday, April 17, 2010

Gambar : Operasi Roboh Kubur, Dua Terbunuh, 25 cedera





















Sebanyak dua orang terbunuh, manakala 25 lagi cedera apabila anggota penguat kuasa Dewan Bandar Raya Jakarta Utara bertempur dengan penduduk di sini hari ini.


Kejadian itu berlaku pada kira-kira pukul 11.30 pagi ketika anggota penguat kuasa berkenaan menggunakan jentera berat bagi merobohkan kubur Mbah Priok atau Habib Hasan Muhammad al Haddad di Koja, utara Jakarta yang dianggap sebagai keramat oleh penduduk setempat.


Mereka yang terbunuh ialah seorang penduduk awam dan seorang anggota penguat kuasa.


Pasukan penguatkuasa menggunakan gas pemedih mata dan meriam air untuk mengusir penduduk bagi membolehkan kerja-kerja merobohkan kubur diteruskan tetapi ditentang oleh penduduk yang bersenjata parang dan batu.


Dua orang wakil rakyat yang cuba menjadi orang tengah bagi meleraikan pergaduhan itu turut cedera ringan terkena batu yang dibaling penduduk.


Seorang penduduk yang dikenali sebagai Salim ketika ditemui berkata, beliau bersama berpuluh-puluh penduduk kebanyakannya remaja melawan pihak penguat kuasa yang mahu merobohkan kubur yang dianggap sebagai keramat oleh penduduk setempat.


“Kami sering beribadat dan mengaji di kubur ini, tiba-tiba ada pihak yang mahu merobohkannya. Tentulah kami marah dan terpaksa mempertahankan diri dengan senjata apa sahaja yang ada,” katanya.


Seorang wakil rakyat, Andika pula berkata, beliau cedera di kepala akibat diserang oleh anggota penguat kuasa.


“Serangan dilakukan secara tiba-tiba ketika perbincangan masih berjalan dengan penduduk,” katanya.


Jurucakap Dewan Bandar Raya Jakarta, Cucu Ahmad Kurnia berkata, seorang anggota penguat kuasa cedera parah di perut akibat ditikam dengan senjata tajam.


Menurut beliau, kejadian itu berpunca daripada salah faham kerana pihak berkuasa tempatan bukan mahu merobohkan kubur berkenaan, sebaliknya mahu memperindahkan kawasan berkenaan.


“Kita sama sekali tidak akan membongkar kubur Mbah Priok, bahkan menyentuh pun tidak. Justeru nanti luasnya akan kita tambah, yang sekarang 20 meter persegi menjadi 100 meter persegi,” katanya.


Cucu berkata, pihaknya sedar makam berkenaan mempunyai nilai sejarah yang sangat besar bagi masyarakat di sekitar Tanjung Priok. – Utusan

pemudabatu6

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails