Tuesday, April 13, 2010

Baju Merah berarak usung mayat rakan

PENYOKONG Thaksin membawa keranda mangsa keganasan ketika berarak di tengah Bangkok, semalam.
PENYOKONG Thaksin membawa keranda mangsa keganasan ketika berarak di tengah Bangkok, semalam.

Beri amaran tempoh rundingan sudah tamat

BANGKOK: Kumpulan Baju Merah berarak dengan mayat penunjuk perasaan dan keranda kosong di ibu negara Thailand semalam, sambil memberi amaran masa berunding sudah berakhir, selepas pertempuran dengan pasukan keselamatan pada hujung minggu menyaksikan 21 orang terbunuh dan sekurang-kurangnya 874 orang cedera. Sementara itu, Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva yang menjadi sasaran penunjuk perasaan, mendakwa kumpulan ‘pengganas’ menghasut keganasan dengan harapan untuk menyaksikan perubahan di negara berkenaan.

Pikap membawa dua mayat dan 14 keranda diselimuti bendera Thailand mendahului perarakan kereta, trak dan teksi yang dipenuhi anggota Baju Merah, melintasi kawasan tengah Bangkok semalam dengan orang ramai yang berdiri di tepi jalan memberi tepukan tanda sokongan.

“Tidak akan ada rundingan lagi dengan kerajaan. Kami tidak akan berunding dengan pembunuh. Apa lagi yang hendak dibincangkan?” kata pemimpin Baju Merah, Jatuporn Prompan.

Seramai 17 orang awam termasuk seorang jurugambar Jepun dan empat askar, terbunuh Sabtu lalu, selepas tentera mengambil tindakan untuk untuk menyuraikan kumpulan Baju Merah yang juga penyokong bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra yang berhimpun di tengah-tengah Bangkok sejak sebulan lalu bagi mendesak parlimen dibubarkan.

Kumpulan itu dianggotai kebanyakannya oleh penduduk miskin dari luar bandar, bertegas bahawa mereka tidak akan menghentikan kempen sehingga kerajaan mengadakan pilihan raya baru, manakala Abhisit perlu meletak jawatan dan meninggalkan Thailand.
“Kami mahu penduduk Bangkok tahu apa yang sebenarnya terjadi kepada kumpulan Baju Merah kerana kerajaan dan tentera mengawal berita. Baju Merah mahu rakyat mengetahui kebenaran,” kata Chakkricth Kadeeluck, 34, seorang penjual jam dari Chonburi di timur Bangkok.

Bulan lalu, Abhisit menawarkan untuk mengadakan pilihan raya pada akhir 2010, setahun lebih awal daripada yang dijadualkan bagi mengakhiri tunjuk perasaan tetapi ditolak pemimpin kumpulan itu.

Kerajaan juga menafikan laporan media bahawa Abhisit mungkin menawarkan untuk mengadakan pilihan raya pada Oktober.

“Tiada perbincangan untuk mengadakan pilihan raya pada Oktober,” kata jurucakap kerajaan Panitan Wattanayagorn.

Beribu-ribu anggota kumpulan Baju Merah yang mendakwa kerajaan dikuasai golongan elit dan disokong tentera, enggan mengakhiri tunjuk perasaan yang turut menyebabkan sektor pelancongan di negara terbabit terjejas teruk.

Pelancong yang ketakutan dilihat mula mengemas barangan masing-masing dan meninggalkan Bangkok untuk menyelamatkan diri, selepas pertempuran merebak ke Jalan Khaosan yang menjadi tumpuan pelancong dan pengembara. – AP/AFP

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails