Thursday, April 15, 2010

Pro-Mahasiswa Protes UPM Singkir 1,000 Dari Kolej Kediaman


Kumpulan Pro-Mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini membantah tindakan pihak pentadbiran universiti tersebut yang didakwa menyingkirkan 1,000 mahasiswi dari kolej kediaman dengan alasan mahu menstrukturkan semula premis penginapan mereka.

Pengerusinya, Ahmad Faris Rakbi berkata tindakan tersebut akan memberikan kesan kepada mahasiswa kerana ketika ini mereka sedang menghadapi peperiksaan akhir semester.

“Kita terkilan dengan tindakan ini kerana ketika ini mahasiswi sedang menghadapi peperiksaan akhir semester, jadi macam mana mereka mahu mengemas barang-barang milik mereka?

“Masalah ini telah menimbulkan kerisauan kepada mahasiswi terutamanya mereka yang tinggal di luar Kuala Lumpur, mereka perlu ulang kaji pelajaran dan pada masa sama perlu mengemas barang-barang mereka.

“Tindakan ini adalah tidak wajar dan melampau,” katanya.

Beliau berkata, tindakan terburu-buru pihak pentadbiran akan memberikan masalah serta mengancam keselamatan mahasiswi yang terlibat terutamanya mereka yang tidak mempunyai kenderaan sendiri.

“Kita sokong pihak pentadbiran mahu menstruktur semula kolej-kolej ini bagi memberi keselesaan tetapi fikirkan tentang pelajar juga. Mereka memerlukan masa untuk membuat perancangan sebelum berpindah.

“Mahasiswi yang terlibat pasti akan tertekan kerana terpaksa berpindah keluar dan mencari rumah sewa di luar UPM.

“Jadi ia secara tidak langsung akan mengancam keselamatan mereka nanti,” katanya lagi.

The Malaysia Insider

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails