Sunday, March 14, 2010

'Anak saya menangis'


SITI NUR ZUBAIDAH seorang kanak-kanak pintar berumur 11 tahun telah dikahwinkan dengan seorang lelaki berusia 41 tahun.


“SAYA rasa menyesal atas apa yang terjadi. Saya tak begitu sedar bagaimana ia berlaku dan hanya menurut seperti dipukau,” sesal Hussin Mat Salleh, 54, bapa kepada seorang kanak-kanak berusia 11 tahun yang telah dikahwinkan dengan seorang lelaki berusia 41 tahun.

Apa pun, nasi sudah menjadi bubur. Mengakui dirinya sendiri yang mewalikan pernikahan anaknya, Siti Nur Zubaidah, 11 dengan lelaki yang dikenali sebagai Shamsudin Ajaib itu, anaknya yang baru darjah lima itu mungkin sudah sah bergelar isteri orang mengikut hukum syarak.

Justeru, Khamis lalu, Hussin dan isterinya, Siti Sarnan Mat Ail, 42, telah tampil ke Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu, Kelantan untuk memfailkan permohonan mufaraqah (berpisah sementara) anaknya dengan Shamsudin.

Madrasah

Selain Siti Nur Zubaidah, terdahulu, seorang kanak-kanak lain berusia 10 tahun dari Pasir Mas dilaporkan dinikahkan dengan seorang lelaki berusia 30-an.

Hussin memberitahu majlis akad nikah anaknya berlaku selepas solat Isyak di sebuah madrasah di Machang pada 20 Februari lalu. Ia turut disaksikan oleh beberapa orang yang rata-rata tidak dikenalinya.

Siti Nur Zubaidah tidak ada dalam majlis itu sebaliknya sedang melaksanakan rutin hidupnya sebagai kanak-kanak biasa di rumah.

Akad nikah itu dikatakan berlaku secara nikah isyarat iaitu nikah tanpa kehadiran pengantin perempuan.

Hussin juga mengakui beliau merupakan seorang pengikut jemaah tabligh, begitu juga Shamsudin.

Hussin dilaporkan telah diperdaya oleh Shamsudin dengan menyifatkan apa yang dilakukan itu mengikut sunah Nabi Muhammad s.a.w.

Kini, bukan sahaja anaknya yang hilang bersama Shamsudin bahkan kereta Proton Iswara milik Husin turut dibawa pergi.

Isteri Hussin, Siti Sarnan benar-benar kecewa dengan apa yang berlaku dan menyifatkannya satu kezaliman dan penganiayaan kepada kanak-kanak.

“Zubaidah menangis semasa dia dibawa pergi. Alasan mereka membawanya adalah untuk mendaftarkan Zubaidah di sebuah sekolah tahfiz.

“Saya lihat anak saya itu masih kebudak-budakan, belum kenal erti malu seperti wanita.

“Dia juga seorang anak yang pintar di sekolah. Selalu dapat nombor 2 dan 3 dalam kelas,” ujarnya kepada Jurnal Khamis lalu.

Biologi

Pakar antropologi perubatan dan sosiologi, Dr. Azlan Mohd. Noor menyifatkan perkahwinan dengan kanak-kanak sesuatu yang lari daripada kebiasaan masyarakat Malaysia hari ini.

“Undang-undang tidak boleh menerima perkahwinan seperti ini. Ia lari daripada norma kehidupan masyarakat yang bertamadun. Kita tidak tahu di mana logiknya seorang budak berusia 10 tahun atau 11 tahun dikahwinkan.

“Kita bukan tinggal di India atau negara-negara bergolak. Di Malaysia, tidak ada masalah peperangan, kemiskinan melampau atau desakan-desakan yang boleh membawa kepada perkahwinan pada usia awal,” ujarnya.

Azlan berpendapat dari sudut biologi, kanak-kanak berusia 10 tahun dan 11 tahun di negara ini lazimnya belum kelihatan matang jika hendak dibandingkan dengan kanak-kanak Arab atau Eropah.

“Mereka masih kelihatan seperti kanak-kanak. Tidak mungkin berlaku kekeliruan.

“Kanak-kanak pada usia ini juga belum mengetahui konsep suami isteri, mengandung dan menjadi ibu,” ujarnya.

Menyentuh tentang sah dari segi hukum syarak tetapi menyalahi undang-undang, Azlan berpandangan itu menandakan telah berlaku konflik antara agama dan undang-undang.

“Ia sah di sisi agama tapi ia suatu yang sukar diterima masyarakat.

“Bila berlaku konflik, walaupun ia isu terpencil, usaha penyelesaian perlu difikirkan bersama terutamanya pihak-pihak yang berkenaan seperti mufti dan penguasa agama,” katanya.


sumber: KOSMO

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails