Wednesday, March 31, 2010

15 mayat bayi di sungai China


SEORANG lelaki mengumpulkan beg plastik berisi mayat bayi dekat jambatan di Jining, wilayah Shandong, pada 28 Mac lalu. - AGENSI


BEIJING 30 Mac - Sebanyak 15 mayat bayi ditemui di sebatang sungai di timur China, disyaki dibuang sebagai sampah oleh sebuah hospital berhampiran.

Usia mayat-mayat bayi yang ditemui di wilayah Shandong itu tidak dapat ditentukan, namun saiznya menunjukkan ia baru dilahirkan dengan satu daripadanya masih berupa janin, demikian menurut Beijing News.

Pihak berkuasa berkata, mayat-mayat yang ditemui itu mungkin perbuatan menggugurkan kandungan atau bayi yang mati selepas jatuh sakit.

Mayat-mayat bayi malang itu ditemui di pinggir bandar Jining.

Pengguguran bayi menjadi perkara biasa di China di mana tidak kurang 13 juta kelahiran bayi mati setiap tahun, berikutan langkah menyekat kelahiran kebangsaan digelar 'polisi satu anak' yang membenarkan setiap pasangan di bandar hanya mempunyai satu waris sahaja.

Polisi itu mendorong pengguguran berleluasa bayi perempuan di China, yang mana masyarakat China secara tradisinya lebih menyukai anak lelaki.

Menurut saksi, sesetengah mayat mempunyai label tarikh lahir dan nama ibu, namun masih belum dipastikan mereka datang dari hospital mana, kata laporan tersebut.

Laporan tidak memberi maklumat terperinci tentang tarikh lahir. Satu daripada mayat-mayat bayi itu dibungkus dalam beg plastik yang tertera tulisan 'sisa hospital'.

Zhong Haitao, pegawai jabatan kesihatan di Jining berpendapat, mayat bayi-bayi itu dibuang ke dalam tong sampah, manakala sebahagiannya jatuh ke dalam sungai berdekatan. Siasatan rapi sedang dijalankan.

Jabatan kesihatan ketika dihubungi enggan memberi komen. - AFP

sumber:utusanmelayu

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails