Tuesday, March 23, 2010

"Inilah peluang untuk berdakwah" Presiden PAS


Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Pas-Marang) mencadangkan supaya Rukun Negara yang pertama dipinda kepada 'Kepercayaan Kepada Allah' ekoran penerimaan bukan Islam terhadap kalimah Allah.

Beliau berkata, isu kalimah Allah yang tercetus baru-baru ini apabila ada di kalangan bukan Islam mahu menggunakan kalimah itu untuk tuhan mereka perlu diterima secara positif.

''Saya minta kerajaan untuk mengubah Rukun Negara pertama daripada percaya kepada tuhan kepada percaya kepada Allah.

''Kita terima secara positif apa yang ditunjukkan bukan Islam walaupun terdapat kekeliruan terhadap orang bukan Islam. Tanggungjawab kita ialah menerang kekeliruan yang timbul itu," katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di sini hari ini.

Menurut Presiden Pas itu, adalah menjadi tanggungjawab umat Islam bagi memberi penjelasan kepada bukan Islam berhubung makna penggunaan kalimah Allah tanpa perlu memaksa mereka memeluk Islam.

Katanya, di Sarawak misalnya, penganut bukan Islam di sana telah menggunakan kalimah Allah tanpa menimbulkan sebarang masalah kepada penganut Islam.

''Yang penting penjelasan. Kalau dah timbul salah faham maka dialog antara pemimpin agama boleh dibuat... Inilah peluang untuk berdakwah, bukan bergaduh," ujarnya

Dalam ucapannya itu juga, Abdul Hadi melahirkan rasa kesal apabila bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan masih lagi dipinggirkan dalam banyak aspek di negara ini.

Beliau berkata, dalam sektor perniagaan misalnya, boleh dilihat bagaimana banyak syarikat lebih mengutamakan bahasa Inggeris di papan iklan dan papan tanda.

"Tulisan (di papan iklan) dia guna bahasa Inggeris lebih besar, bahasa kebangsaan halus saja.

''Keadaan ini amat berbeza dengan di Thailand. Rakyatnya amat mengutamakan bahasa sendiri dan hanya guna dalam bahasa Inggeris (di papan tanda dan iklan) jika perlu sahaja untuk pelancong," katanya.

Abdul Hadi berkata, orang Melayu tidak boleh menyalahkan kaum lain dalam soal memartabatkan bahasa termasuk tulisan jawi.

"Kita lihat kaum Cina dan India masih memelihara tulisan mereka. Akhbar bahasa Cina, Tamil terus subur berkembang tapi Utusan Melayu (yang menggunakan jawi), hidup segan mati tak mahu," katanya.

sumber:KLPOS


Presiden PAS dan YDP Agung

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails