Monday, March 29, 2010

Ketua baru NU berekad teruskan pendirian moderat

Said Aqil Siradj dan isterinya Nur Hayati Abdul Qodir. — Foto www.jakartaglobe

JAKARTA, 29 Mac — Pemilihan Said Aqil Siradj sebagai pengerusi baru Nahdlatul Ulama (NU) diyakini akan mempertahankan pendirian moderat yang secara tradisi diwarisi pertubuhan umat Islam terbesar di Indonesia itu, kata para penganalisis.

Ikrar Nusa Bakti dari Institut Sains Indonesia mengalu-alukan kejayaan Said Aqil kerana perkembangan itu disaksikan ketika pertubuhan tersebut secara aktif terlibat dalam politik sejak kebelakangan ini.

“NU dikenali sebagai pelindung pegangan umat Islam moderat di negara ini,” kata Ikrar.

Bagaimanapun ia telah terlalu fokus dalam politik di bawah bekas pengerusi Hasyim Muzadi, tambah beliau.

Airlangga Pribadi, pakar politik dari Universiti Airlangga pula memberitahu sejak kebelakangan ini NU telah menyimpang daripada tanggungjawab dan pengikut-pengikutnya.

“NU perlu menangani banyak isu dan memperkukuhkan nilai-nialinya disebabkan kesan keganasan dan ketiadaan pembangunan dengan sendirinya adalah bukti kepada keadaan sekarang,” kata beliau.

Dalam pada itu, M. Shofan dari Universiti Paramadina melihat kewujudan pemisahan NU daripada politik di bawah kepimpinan Said Aqil.

Justeru Shofan melihat Said Aqil sebagai “sarjana yang sebenar” selain menyifatkan kepimpinannya sebagai perjalanan meninggalkan pendekatan Hasyim.

Semalam, Said Aqil bertekad untuk membangunkan sekolah berasrama dan memberi jaminan beliau tidak akan bertolak ansur dengan soal keganasan.

Katanya, NU akan menghormati semangat pluralisme ketika mempertahakan ideologi asasnya.

“Kami mahu menyebarluaskan nilai-nilai sekolah berasrama iaitu egalitarian, toleransi dan moderat kepada semua umat Islam di negara kita,” katanya lagi.

“Di sebalik pertembungan perbezaan pandangan di kalangan mereka yang tidak mahu bertolak ansur, radikal, pengganas, pemisah radikal, golongan sekular dan liberal... peranan sangat penting sekolah-sekolah berasrama ialah mengekalkan nilai-nilai Islam yang sebenar,” katanya.

Said Aqil, 56, memenangi jawatan itu dengan memperoleh 294 daripada 496 undi dalam pertembungan dengan bekas wakil perundangan dari Parti Golkar, Slamet Effendy Jusuf yang dianggap sebagai kuda hitam.

Bagaimanapun pemimpin kanan NU, Salahuddin Wahid yang diramalkan akan memberikan cabaran sengit kepada Said Agil gagal memperoleh 99 undi pencalonan.

Sahal Mahfud yang dipilih semula sebagai pengerusi lembaga penasihat perundangan NU pula memberitahu, terdapat banyak isu yang perlu ditangani oleh pertubuhan tersebut selain membebaskan dirinya daripada persekitaran politik.

Beliau mengekalkan jawatannya selepas pencabar terdekat beliau Hasyim menarik diri daripada bertanding.

“Yang lebih penting NU perlu kembali kepada objektif teras kerana itu yang kita tidak lakukan sepanjang beberapa tahun lalu ini.

“Saya mahukan kepimpinan (yang baru) memberi keutamaan dalam soal ini,” kata Sahal.

Objektif teras NU ialah menyediakan panduan spiritual, pendidikan dan sosial kepada umat Islam di seluruh negara.

“Ia bersangkut dengan memenuhi objektif-objektif ini,” kata Sahal.

NU yang ditubuhkan pada 1926 mendakwa mempunyai 40 pengikutnya.

Sejak bekas presiden Indonesia Abdurrahman “Gus Dur” Wahid mengambil alih kepimpinan NU ia dikatakan mempertahankan elemen pluralisme.

Selepas Gus Dur meninggal dunia akhir tahun lalu NU dikatakan mengambil langkah untuk memisahkan daripada penglibatan dalam politik.

Ia mengadakan pemilihan semalam.

Baru-baru ini Marwan Ja’far, Pengerusi Parti Kebangkitan Kebangsaan (PKB) berkata, NU berada di persimpangan yang kritikal dan perlu memilih seorang pemimpin yang bukan sahaja menerajui NU tetapi juga keluar dari arus politik. PKB merupakan sayap politik NU.

“Kami harus kembali kepada objektif teras NU. Ia harus diketuai oleh seorang ulama dan bukannya seorang ahli politik,” kata Marwan.

“Jika kami sekali lagi membenarkan NU diketuai oleh ahli-ahli politik, kemusnahan NU kini dalam perhitungan. Ia tidak akan dihormati,” katanya.

Gus Dur merupakan presiden keempat Indonesia bermula 1999 selepas menubuhkan PKB, sayap aspirasi politik NU. Beliau juga merupakan pemimpin paling lama menerajui NU.

sumber: malaysiainsider

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails