Wednesday, March 24, 2010

Mana-mana pembangkang berusaha jatuhkan kerajaan

KUALA LUMPUR, 24 Mac: Zulkifli Noordin (Bebas-Kulim Bandar Baharu) (gambar) bersetuju dengan pelan peralihan kuasa 16 September kerana mana-mana parti pembangkang akan berusaha menjatuhkan kerajaan.

Dalam satu sidang media di lobi Parlimen petang ini, beliau berkata, mana-mana parti semestinya mempunyai hasrat untuk menggulingkan kerajaan pemerintah.

"Rancangan 16 September ini pada saya satu rancangan yang tidak salah. Mana-mana parti pembangkang akan berusaha menjatuhkan kerajaan cuma caranya biar beretika, berakhlak," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjelaskan kenyataan beliau sewaktu membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong pagi tadi.

Dalam ucapannya pagi tadi, beliau turut mendedahkan bahawa pernah ditawarkan habuan yang boleh menggugat iman bagi mendapatkan akuan bersumpah dari pihak ketiga mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri dalam kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Menjelas lanjut, beliau berkata, Allah telah menyelamatkan beliau daripada melakukan perkara tersebut.

Beliau bagaimanapun, enggan mendedahkan dalam sidang media itu individu yang dikatakan menawarkan ganjaran itu dan apakah bentuk ganjaran yang ditawarkan.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai kes qazaf melibatkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mohd Saiful Bukhari Azlan, beliau berkata, Anwar berhak memohon kes itu dibicarakan di Mahkamah Syariah kerana yang menuduh dan dituduh ialah orang Islam.

"Sebagai seorang Islam, Anwar berhak minta dibicarakan di bawah sistem perundangan Islam. Yang kena tuduh orang Islam, yang menuduh orang Islam. Saksi-saksi ramai orang Islam dan kita ada peruntukan syariah Seksyen 25 Akta Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan berkaitan liwat,” katanya.

Beliau sebelum ini merupakan salah seorang peguam yang mewakili Anwar dalam kes berkenaan.

sumber:harakahdaily

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails