Tuesday, March 23, 2010

5 pelumba Terengganu berkuasa


Anuar ketuai pasukan negara ke cabaran ACC di UAE bulan depan

SECARA kebetulan, nama lima pelumba kelahiran Terengganu yang dianggap pelumba terbaik negara masa kini, hampir pasti menghiasi senarai akhir skuad lebuh raya Malaysia ke Kejohanan Berbasikal Asia 2010 (ACC 2010) di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), bulan depan.

Diketuai Raja Pecut Le Tour de Langkawi 2010 (LTdL 2010), Anuar Manan (gambar) mengetuai empat rakan senegeri iaitu pelumba Herbalife Marco Polo Cycling Team, Ahmad Haidar Anuawar, pelumba muda meningkat Drapac Porsche, Muhammad Adiq Hussaine Othman.

Dua pelumba kelahiran Terengganu yang hampir pasti adalah pemenang peringkat terakhir Tour de Taiwan, Nur Rizuan Zainal dan Zamri Salleh. Dua calon lain dari negeri itu ialah Ahmad Fallanie Ali dan Shahrul Mat Amin, serta dua pelumba Kuala Lumpur, Wan Mohamad Najmee Wan Mohd dan Suhardi Hassan.

Anuar yang kini mewakili pasukan profesional benua, Team Geumsan Ginseng Asia berpeluang menebus dua kehampaannya di Nara, Osaka, Jepun pada 2008 dan Banjarmasin, Indonesia tahun lalu yang mengehadkan kayuhannya di laluan beralun dan berbukit.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF), Abu Samah Abd Wahab berkata, kehadiran beberapa pelumba berkemampuan kali ini mampu membuka ruang buat Anuar melakukan sesuatu.

“Dengan adanya pelumba Haidar, Adiq Hussaine dan Nur Rizuan, peluang Anuar untuk menang kali ini lebih cerah kerana tiada laluan berbukit di Dubai,” katanya selepas menyambut kepulangan pasukan Malaysia yang pulang dari Tour de Taiwan 2010, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam. Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LTdL 2010, Mohamed Salleh dan Bendahari MNCF, Amrun Misnoh.

Berdasarkan prestasi semasa daripada dua jelajah terkini iaitu LTdL 2010 dan Tour de Taiwan, Abu Samah berkata, barisan yang dihimpun kali ini dianggap terbaik dan enam pelumba terakhir yang akan dipilih nanti, mampu memikul cabaran di Dubai nanti.

sumber: Beritaharian

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails