Wednesday, March 24, 2010

Bukan tugas Speaker pujuk Adun letak jawatan

KUALA LUMPUR, 24 Mac: "Kenapa ada double standard macam ni? Ini bukan tugas Speaker untuk pujuk-pujuk Adun yang hendak letak jawatan. Speaker kena terima dan maklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk adakan pilihan raya kecil. Kenapa Speaker tidak bertindak profesional?" kata Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua (gambar).

Beliau menyatakan sebagai mengulas tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Perlis, Datuk Yazid Mat berhubung Adun Titi Tinggi dari Barisan Nasional, Yip Sun Onn yang menghantar surat peletakan jawatan.

Yip menghantar surat peletakan jawatannya kepada Yazid semalam.

Dalam suratnya itu, Yip berkata peletakannya itu adalah serta merta akibat tidak berpuas hati dengan pucuk pimpinan MCA pusat.

Bagaimanapun, Yazid dilaporkan sebagai berkata, kedudukan Yip masih belum diputuskan lagi dan masih dalam pertimbangan beliau.

Sehubungan itu, Tian Chua mempersoal sikap tidak profesional Yazid yang tidak mahu menerima surat peletakan jawatan dan mengisytiharkan kekosongan kerusi.

Ujarnya, sama ada Yip akan meletakkan jawatan atau tidak, beliau sudah hilang kredibiliti kerana menjadikan kerusi Dun sebagai senjata untuk kepentingan diri sendiri.

"Sama ada Adun Titi Tinggi akhirnya letak jawatan atau tidak, tapi saya anggap Yip sudah hilang kredibilti sebagai wakil rakyat kerana sanggup mempermainkan amanah rakyat sebagai Adun untuk kepentingan parti sendiri," ujarnya.

Namun beliau berkata, sekiranya berlakunya pilihan raya kecil akibat kekosongan kerusi itu, Pakatan Rakyat bersiap sedia untuk menghadapinya dan yakin mempunyai peluang yang cerah untuk menawan kembali Dun tersebut.

"Kita bersiap sedia dan kali ini kami yakin kalau bertanding kita ada peluang cerah untuk menang kerana jelas Adun BN tidak menghormati kerusi dan hanya anggap isu peletakan jawatan sebagai protes terhadap parti," katanya.

Beliau juga yakin dapat menawan undi kaum Cina di kawasan itu.

"Saya percaya kalau bertanding bukan sahaja boleh dapat sokongan majoriti rakyat tapi juga dapat sokongan kaum Cina," katanya.

Mengulas peletakan jawatan itu, Tian berkata Yip Sun Onn mempamerkan sikap wakil rakyat BN yang lebih mementingkan kuasa dalam parti berbanding menunaikan amanah rakyat.

Beliau berkata, perkara itu jelas terbukti apabila Yip sanggup menjadikan kerusinya sebagai pertaruhan semata-mata untuk merebut kuasa dalam parti.

"Ini menujukkan bahawa sebenarnya wakil-wakil BN lebih mementingkan kuasa dalam parti sehingga boleh menggunakan kerusi dalam Dun sebagai pertaruhan untuk merebut kuasa dalam parti.

"Budaya ini sangat tidak sihat dan mencerminkan identiti BN yang kebanyakan wakil rakyatnya mementingkan kedudukan dalam parti lebih daripada amanah yang telah diserahkan kepada mereka," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen petang semalam.

Tian yang juga Ahli Parlimen Batu juga berkata, tindakan Yip yang merupakan Exco tunggal MCA dalam kerajaan negeri ini membuktikan krisis dalaman MCA yang sangat kritikal menjelang pemilihan parti itu pada hujung minggu ini.

"Saya nampak ini mungkin satu permainan untuk menarik perhatian dan peletakan jawatan ini mencerminkan kekecohan di dalam MCA dan kemelut perampasan kuasa dalam MCA.

"Krisis dalaman MCA sangat teruk sehingga sanggup menggunakan kerusi sebagai satu ancaman kepada parti untuk melanlanjutkan agenda perebutan kuasa dalam parti dan menjelang pemilihan MCA hujung minggu ini kita nampak ia makin kritikal," katanya.

Yip memegang portfolio perumahan dan kerajaan tempatan dan satu-satunya Exco yang digugurkan pada 19 Mac lalu.

Tempatnya digantikan oleh Adun Indera Kayangan, Dr Por Choo Cho, yang juga Setiausaha MCA Perlis.

sumber: harakahdaily

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails