Wednesday, March 24, 2010

Pelajar cemerlang luar Kelantan juga dapat sumbangan


KOTA BHARU, 24 Mac: Kerajaan Negeri Kelantan hari ini bersetuju untuk meneruskan pemberian sumbangan kecemerlangan pelajar termasuk anak negeri yang belajar di luar negeri ini.

Pelajar-pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), akan diberi sumbangan sebanyak RM500 seorang.

“Pada dua tahun yang lepas kita hanya beri kepada pelajar-pelajar Kelantan yang mengambil periksa di Kelantan dan orang luar yang mengambil periksa di Kelantan.

“Tahun ini kita luaskan sikit. Exco bersetuju, mana-mana pelajar Kelantan belajar luar Kelantan pun layak untuk menerima sumbangan ini,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah selepas mesyuarat Exco pagi tadi.

Mohd Amar berkata, kerajaan negeri dapat banyak rungutan dari rakyat Kelantan yang menetap di luar Kelantan, mereka tidak dapat sumbangan RM500 tersebut.

Pada tahun ini, seramai lebih 900 orang pelajar dari dalam negeri Kelantan dijangka akan menerima sumbangan ini.

“Pihak kerajaan tidak ada lagi angka mereka yang duduk luar Kelantan, tetapi bagi dalam negeri ini seramai lebih 900 orang pelajar akan menerima sumbang ini,” ujarnya.

Kriteria terbaik bagi peperiksaan SPM ialah 9A, STAM (mumtaz) dan STPM (4P).

Bagi mereka yang memohon, pihak Yayasan Islam Kelantan (Yik), telah dilantik sebagai urusetia bagi program sumbangan itu.

Selain itu, borang-borang bagi menerima sumbangan ini juga boleh didapati di pejabat-pejabat Dun masing-masing pada minggu depan.

Sebelum ini kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM500,000 bagi tujuan sumbangan ini.

“Kami jangkaan kami, tambahan sebanyak RM500,000, iaitu RM1 juta akan diberi pada tahun ini bagi program ini,” ujarnya lagi.

sumber; harakahdaily

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails