SETIU, 29 Mac: Program ziarah bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Jabi dengan pihak Unit Peti Undi (UPU) Kerandang sebagai tuan rumah yang diadakan bermula petang Khamis lalu dan berakhir menjelang tengah malam Jumaat memberi manfaat kepada penduduk setempat.
Ketua Penerangan PAS kawasan, Dr Azman Ibrahim berkata, program tersebut dalam rangka mendekati masyarakat setempat di samping mengadakan aktiviti yang melibatkan semua golongan yang akan diteruskan dari satu UPU ke UPU yang lain pula.
(Gambar kanan: Ismail dan Azman menziarahi warga emas yang uzur)
Program telah diisi dengan pelbagai aktiviti yang menarik dan bermakna bermula dengan kuliah Maghrib, ceramah, qiyamullail, tazkirah dinihari, kuliah subuh, ziarah penduduk, bancian daftar pemilih, gotong royong, ziarah ore mude geng kite, BBQ pemuda dan tayangan LCD.
Katanya, rombongan yang diketuai Pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) Jabi, Haji Ismail Awang Teh itu turut menziarah ke teratak sembilan anak yatim piatu di Kampung Jebak Puyoh yang mana telah ada sedikit perubahan dengan serambi dan dapur dibina baru.
“Disebabkan ketiadaan bekalan air bersih, program gotong royong pada pagi telah berjaya menggali dan menyiapkan sebuah perigi untuk kegunaan mereka. Pemasangan motor dan paip air yang perlu disiapkan di mana pihak Unit Peti Undi Kerandang akan mengambil tindakan susulan,” ujarnya yang juga Timbalan Pengarah MTD Jabi.
Abang sulung bekerja sebagai penoreh getah sementara anak yang kedua sebagai buruh binaan untuk menyara tujuh lagi adik-adik yang masih bersekolah.
Kelihatan mereka adik beradik begitu tabah untuk cuba bangkit daripada kesedihan dan membina kehidupan baru di samping penduduk perlu memberi sokongan untuk menjadikan mereka lebih kuat dan bersemangat.
Mohd Roslan, 7, anak bongsu daripada sembilan beradik yatim piatu di Kampung Jebak Puyoh bersekolah di tahun satu Sekolah Kebangsaan Bukit Tempurong.
Jelas kelihatan riak wajah yang ketandusan kasih sayang setelah kehilangan ibu bapa.
“Walaupun saya cuba menceriakannya, tetapi hakikatnya air mata saya sendiri yang mengalir tanpa dibendung,” kata Dr Azman.
(Gambar kiri: Azman bersama anak yatim, Mohd Roslan)
Siri lawatan sebelum itu melibatkan UPU Renek yang menjadi tuan rumah dengan tenaga-tenaga petugas dari seluruh UPU.
Program yang bermatlamatkan ke arah mencapai kemenangan dalam pilihan raya umum akan datang juga diisi dengan pelbagai aktiviti merangkumi kuliah Maghrib, ceramah motivasi petugas, gotong royong, bacaan Yaasin muslimat, qiyamullail dan yang pastinya program ziarah ke serata ceruk UPU Renek.
Pada kesempatan program dari pagi hingga petang keesokan hati, anggota rombongan bertemu dengan segenap lapisan penduduk yang mendedahkan pelbagai realiti kehidupan masyarakat yang menyentuh hati pimpinan PAS.
sumber: harakahdaily
No comments:
Post a Comment