Thursday, March 25, 2010

Ahli parlimen BN jangan takut kepada Umno

KUALA LUMPUR, 25 Mac: Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah (PAS-Kota Bharu) (gambar) berkata, ahli parlimen Barisan Nasional (BN) tidak perlu takut kepada Umno kerana mereka bukan orang yang berkuasa di Parlimen.

"Saya melihat dalam dewan sekarang ini, ramai ahli dewan yang boleh memimpin suatu aliran baru dalam demokrasi di Malaysia supaya kita tidak semata-mata terikat dengan whip parti.

“Jangan takut sangat kepada Umno. Kita mesti membebaskan diri kita daripada Umno dan mesti memperkatakan kebenaran," katanya.

Sehubungan itu, beliau merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Abdul Ghafur Salleh (BN-Kalabakan) di atas keberaniannya menyatakan pendirian secara terbuka di Dewan Rakyat tanpa mengambil kira 'whip' parti.

Abdul Rahim merakamkan ucapan itu sewaktu membahaskan usul junjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong petang semalam.

"Saya mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Kalabakan kerana melakukan pembaharuan dalam dewan ini.

"Dewan ini telah berusia 12 penggal, lebih daripada 50 tahun bersidang, boleh jadi ini pertama kali seorang ahli daripada pihak kerajaan menyatakan pandangan secara ikhlas dengan tidak mempedulikan whip parti BN. Tahniah kepada Kalabakan," katanya.

Semalam, Abdul Ghafur dalam ucapannya menyelar tindakan Datuk Seri Zahrain yang keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan mendakwa beliau merupakan salah seorang yang akan melompat ke parti itu.

Abdul Rahim berkata, mana-mana ahli parlimen tidak seharusnya terlalu mengikut 'whip' parti masing-masing sehingga tidak berani untuk menyatakan pandangan secara ikhlas dan jujur.

"Mungkin masanya telah sampai untuk Ahli Yang Berhormat membuat peningkatan dalam perbahasan Parlimen di Malaysia di mana kita tidak patut seratus peratus terikat dengan whip parti masing-masing. Kita sebagai orang yang berkemampuan untuk membuat penilaian dan berhak untuk mengemukakan pandangan seperti yang dilakukan oleh Yang Berhormat Gua Musang (Tengku Razaleigh)," katanya.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan kepada Speaker agar meneruskan amalan persidangan Speaker-speaker Malaysia bagi membincangkan segala perkara berhubung pengendalian Dewan Rakyat, Dewan Negara dan Dewan Undangan Negeri (Dun).

"Saya melahirkan rasa duka cita kerana amalan persidangan Speaker-speaker Malaysia sekarang ini tidak lagi berlaku. Persidangan Speaker ini sebagai satu forum untuk membincangkan pengendalian urusan persidangan di peringkat Dewan Rakyat, Dewan Negara dan Dun dikemukakan dan diperbahaskan,” ujarnya.

Menurutnya, beliau pernah mengambil bahagian dalam persidangan tersebut sewaktu Speakernya ialah Allahyarham Tun Dr Mohamed Zahir Ismail.

"Saya masih ingat lagi perkara yang berbangkit di dewan ini dibawa ke persidangan Speaker-speaker Malaysia dan saya di antara orang yang mengemukakan soalan kepada Tun Mohamed Zahir Ismail mengenai amalan suatu usul di parlimen yang secara tradisinya tidak dibahaskan," katanya.

Tun Zahir katanya, menyatakan bahawa apabila ada ahli dewan ingin membahaskan sesuatu usul, maka speaker tidak boleh menyelesaikannya secara amalan biasa sebaliknya mesti diselesaikan melalui perbahasan.

Timbalan Speaker, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam responsnya menerima baik cadangan itu dan akan memanjangkan cadangan itu kepada pihak dewan.


sumber :harakahdaily

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails