Abdul Malek Hussin, bekas tahanan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri), tidak akan dapat melupakan buat selama-lamanya peristiwa buruk yang telah berlaku ke atas dirinya sembilan tahun yang lalu.
Abdul Malek, 51, telah menang dalam samannya terhadap kerajaan kerana menangkap dan menyeksanya pada tahun 1998. Mahkamah juga menganugerahkan gantirugi RM2.5 juta kepadanya. Beliau memfailkan saman tersebut pada Mac 1999, terhadap anggota cawangan khas, Borhan Daud; Ketua Polis ketika itu, Tan Sri Abdul Rahim Noor dan kerajaan Malaysia.
Abdul Malek yang juga pengerusi badan pemantau Pilihanraya Bebas dan Adil Malaysia (Mafrel) ditahan di bawah ISA sembilan tahun yang lalu. Beliau menceritakan kepada Malaysiakini setiap saat pahit yang dilaluinya sewatku menjadi tahanan ISA.
Berikut adalah petikan temubual beliau dengan Malaysiakini:
Sudah sembilan tahun berlalu, bolehkah anda menceritakan apa yang berlaku, apakah yang telah mereka lakukan terhadap anda, dan perasaan anda ketika itu?
Saya terbabit dalam gerakan reformasi sejak hari pertamanya lagi pada 4 September 1998. Selepas penangkapan Anwar, saya telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan satu perhimpunan besar-besaran untuk menuntut pembebasan Anwar dan peletakan jawatan Dr Mahathir dan Ketua Polis Negara ketika itu, Abdul Rahim Noor. Saya kemudiannya mengetuai perhimpunan di Masjid Negara pada 25 September, lima hari selepas Anwar ditangkap.
Saya ditangkap di rumah saya di Ampang pada kira-kira jam 10-11 malam. Saya pulang (ke rumah) dengan menaiki kereta yang dipandu oleh seorang rakan. Dia menurunkan saya kira-kira 200 meter dari rumah saya dan polis menangkap saya ketika saya berada di pintu pagar. Saya digari dan dipaksa membuka pintu pagar rumah saya oleh pasukan polis yang diketuai oleh ASP Borhan Daud.
Mula-mula dia memaksa saya membuka (pintu rumah) dan tentunya saya bertanya, "Mengapa saya digari?" dan dia berkata, saya ditahan di bawah ISA. Saya kemudiannya bertanya, "Mengapa anda perlu menggari tangan saya?" dan saya bertanya kepadanya "Apakah sebab saya ditahan", (dan dia berkata) "ISA" dan dia menjawab seperti robot, semuanya adalah (di bawah) ISA. Dia kemudiannya berkata, dia mahu menggeledah rumah saya, dan saya bertanya mana warannya. Malah, saya bertanya waran untuk menangkap saya di bawah ISA. Dia berkata, ianya tidak perlu dan saya bertanya kepadanya mengapa, dan dia berkata, ISA, dan dia berkata, saya sepatutnya tahu.
Dia mahu menggeledah rumah saya dan saya bertanya di mana warannya, dan sekali lagi, dia berkata, ianya tidak perlu dan saya bertanya kepadanya mengapa dan dia berkata ISA. Saya memanggil anak-anak saya dan keluarga saya membuka pintu dan anggota polis masuk dengan memakai kasut, terus ke tingkat bawah dan tingkat atas rumah saya. Mereka kemudiannya masuk ke bilik mentelaah saya, serta menggeledah dan memeriksa semua dokumen saya. Mereka kemudian masuk ke bilik tidur saya di mana isteri dan anak-anak saya sedang tidur. Isteri saya terkejut dan bertanya kepada saya apa yang berlaku dan saya menunjukkan kepadanya (tangan yang bergari) dan apabila dia bertanya mengapa, saya menjawab "ISA".
Kemudian, mereka merampas beberapa dokumen dan mereka juga merakamkan dokumen-dokumen tersebut. Selepas 40 minit berada di dalam rumah saya, mereka mengarah saya mengikut mereka. Mereka kemudiannya bertanya di mana kereta saya. Borhan memaksa saya menunjukkan kepadanya di mana kereta saya dan saya berkata, saya dihantar pulang oleh seorang rakan dan saya turun kira-kira 200 meter (dari rumah). Saya menunjukkan kepada Borhan tempat saya turun dari kereta. Rakan saya sudah beredar dari situ. (Borhan) naik marah dengan jawapan saya sehingga dia bertindak menampar saya di situ juga dan sakitnya dapat dirasai hingga ke hari ini. Saya rasa saya telah kehilangan lebih 40-50 peratus deria pendengaran di telinga kiri saya. Apabila mahkamah diberitahu mengenai perkara itu, Borhan menafikannya.
Selepas itu, dia memaksa saya masuk ke dalam kereta, bukan kereta polis, ia kereta biasa. Saya diarah memakai (kacamata) tertentu bervisi kelabu, tetapi kemudiannya saya menyedari bingkai di sini (sebelah kiri) telah patah dan saya memberitahu mereka yang ianya telah patah dan mereka mengarahkan saya (menanggalkan) kacamata saya dan salah seorang pegawai (membuka) baju-t hitam yang dipakainya dan menyerkupnya menutup kepala saya. Anda bayangkanlah bau baju t-shirt itu yang agaknya telah dipakainya sejak pagi hingga tengah malam. Ia amat busuk dan mereka memaksa saya masuk ke dalam kereta. Saya melutut dan diarah supaya tidak melihat ke mana-mana kerana mereka tidak mahu saya tahu ke mana mereka membawa saya.
Kemudiannya mereka membawa saya pergi dari situ dan kira-kira beberapa minit kemudiannya, kereta tersebut berhenti. Saya tidak tahu di mana. Mereka kemudiannya membawa saya naik anak tangga sebuah bangunan yang kemudiannya saya mendapat tahu (Ibupejabat Kontinjen Polis Kuala Lumpur). Mereka membawa saya ke sebuah bilik dan saya diarah menandatangani (sekeping) kertas yang disediakan oleh Borhan yang menyatakan bahawa saya ditahan di bawah ISA, jadi Borhan adalah pegawai yang melakukan tangkapan.
Selepas itu mereka mengarahkan saya menanggalkan pakaian - menanggalkan baju dan seluar saya. Saya ingat ok kerana saya tahu tahanan ISA akan diberi pakaian tahanan khas (iaitu) berwarna biru. Jadi saya ingat saya akan diberi pakaian tersebut. (Selepas) saya menanggalkan kesemua pakaian, tiba-tiba seorang pegawai menggari tangan saya dari belakang dengan kuat sekali, dan di situ terdapat enam hingga lapan orang pegawai di depan saya dalam sebuah bilik kecil di tingkat satu. Saya digari dan mereka menutup mata saya dengan dua (keping) kain hitam dan saya bingung sepenuhnya. Saya tidak tahu siapakah mereka, jadi saya mengagak mereka semua adalah pegawai yang melakukan tangkapan yang diketuai oleh Borhan.
Kemudian Borhan menendang dan menumbuk saya dan saya boleh dengar suaranya betul-betul di depan saya kerana dia yang menangkap saya dan saya boleh kenal suaranya. Seorang pegawai akan mengambil satu objek keras dan memukul kaki kanan saya, seorang pegawai lagi akan memukul kaki kiri saya dan mereka kemudiannya menumbuk muka saya. Saya kemudiannya kena 'flying kick', 'side kick' dan mereka kemudiannya memaksa saya berdiri.
Sejurus kemudian saya terjatuh dan tidak sedarkan diri untuk pertama kali dan mereka menuangkan air dan memaksa saya berdiri lagi dan saya jatuh pengsan sekali lagi - semuanya sebanyak lima kali. Dan saya juga mengira dengan jari saya berapa kali saya dipukul [...] semuanya 63 kali. Selepas itu saya tidak tahan lagi dan tidak sedarkan diri. Itulah yang dapat saya ingat ketika masih sedar...
Apabila saya sedar semula, waktunya masih belum jam 4 pagi. Mereka mengarah saya pergi ke bilik lain yang hawa dingin dibuka dengan kuat. Saya masih bertelanjang dan badan saya sakit akibat dipukul. Penghawa dingin itu terletak di tengah-tengah bilik dan setiap beberapa minit mereka mencurah air sejuk ke kepala saya. Dalam keadaan anda telah diseksa dan cedera, dicurahkan pula dengan air sejuk dan saya menggeletar kesejukan. Mereka bertanya sama ada saya sejuk dan saya menjawab iya dan mereka akan mencurah lebih banyak lagi air sehingga kira-kira jam 4.30 pagi. Mereka kemudian berhenti dan tidak lagi bertanya sebarang soalan.
Semasa diseksa mereka, Borhan bertanya kepada saya sama ada saya dahaga dan saya menjawab "tentulah dahaga". Kemudian secara tiba-tiba seseorang memegang saya dari belakang dan seorang lagi menggunakan jarinya untuk membuka mulut saya seluas-luasnya. Mereka kemudiannya menuang cecair yang rasanya hanyir dan kotor, ke dalam mulut saya. Ia adalah air kencing dan mereka memberitahu saya ia adalah air kencing. Air kencing mereka, bukan air kencing saya. Mereka bergilir-gilir kencing dan secara paksa menuang kira-kira dua tin air kencing mereka.
Bila mereka bertanya sama ada saya lapar atau tidak, saya jawab "Tentulah saya lapar". Borhan meminta pegawainya menyediakan tahi anjing untuk saya. Ia dekat dengan mulut saya, saya dapat menghidu baunya. Dan dia mengugut saya yang dia akan menggunakan penyuntik yang mengandungi virus HIV dan menyuntiknya ke badan saya kerana saya telah berkata kepadanya "Lebih baik awak bunuh saya. Apa gunanya? Apa yang awak cuba buktikan? Apa yang awak buat di sini? Mengapa awak begitu kejam," saya bertanya kepada mereka
(Dia berkata) "Oh awak mahu mati, oh jadi kita akan bunuh awak secara perlahan-lahan, kita akan masukkan virus HIV ke badan awak". Tentulah mereka tidak melakukannya.
Dan kemudiannya selepas kira-kira jam 5 pagi, mereka berhenti membelasah saya. Saya rasa mereka juga keletihan dan pulang ke rumah.
Pada 26 September, pada waktu tengahari, saya dibawa ke Bukit Aman dan dimasukkan ke tempat kurungan dan hanya dapat melihat matahari pada hari ke-28 penahanan saya. Maka, jika anda bertanyakan perasaan saya mengenainya, (ia) sangat kejam dan tidak berperi kemanusiaan. (Polis) bukan manusia. Saya rasa binatang ada rasa belas kasihan. Malah anjing pun kenal tuannya dan tidak menggigit orang lain. Mereka lebih terusk daripada anjing. Jika orang kata mereka adalah anjing kerajaan, saya rasa pada m masa itu, mereka lebih teruk daripada anjing.
Bagaimanakah anda dilayan di sana (di Bukit Aman)?
Saya tidak dibenarkan menghubungi sesiapa. Beberapa hari kemudiannya sebelum hari ke-28 (dalam tahanan) , mereka bertanya sama ada saya mahu berjumpa dengan keluarga saya. Sudah tentulah, sebelum berjumpa dengan keluarga, mereka akan mengatur satu sesi khas supaya saya tidak menceritakan apa-apa tentang apa yang terjadi pada diri saya, supaya tidak membayangkan yang saya telah diseksa dan supaya menunjukkan kepada keluarga saya yang semuanya ok dan supaya meyakinkan keluarga saya supaya (tidak memfailkan) permohonan habeas corpus atau saya tidak akan dibebaskan.
Dan saya memberitahu pegawai penyiasat saya di Bukit Aman bahawa saya telah diseksa di IPK dan saya mahu membuat laporan polis terhadap Borhan, mereka berkata, "Tidak, kamu tidak perlu berbuat demikian - kami telah mengambil tindakan terhadap Borhan". Sedangkan ianya tidak benar. Saya tidak diberi peluang untuk membuat laporan, tidak diberi peluang untuk bertemu peguam saya, tidak dapat hubungi keluarga dan saya hanya diberi rawatan perubatan beberapa hari kemudiannya di Bukit Aman.
Saya memberitahu doktor dan beliau memeriksa saya dan ia disahkan dalam laporan perubatan mengenai lebam-lebam di kaki kiri, kaki kanan, di bahagian perut dan terdapat kecederaan. Saya mengadu kepada Dr Vasantha Ponniah mengenai apa yang berlaku terhadap diri saya dan beliau telah memberi keterangan di mahkamah mengenai keadaan saya berdasarkan kepada kecederaan pada diri saya.
Metodologi cawangan khas ialah memberi layanan paling keras pada hari pertama sebagai satu ingatan kepada tahanan bahawa mereka akan berdepan dengan keadaan yang lebih teruk lagi sekiranya gagal memberi kerjasama. Ia lebih berbentuk psikologi. Dan sudah tentulah di Bukit Aman, ia telahpun diinstitusi dari segi bagaimana mereka mengendalikan tahanan. Saya dimasukkan ke dalam bilik kurungan seorang diri, tiada cahaya matahari, saya tidak tahu sama ada ianya pagi, saya tidak tahu langsung. Pada hari ke-28, ketika dikunjungi keluarga semasa saya dibawa dari Bukit Aman ke IPM, saya begitu menghargai cahaya matahari, ianya amat indah sekali. Cukup indah.
Bagaimanakan anda disoalsiasat?
Saya disoalsiasat selama 17 hari di tingkat tiga bangunan tersebut. Mereka bertanya soalan dari pagi, tengahari, petang, sehingga malam, dan kadang-kadang hingga lewat malam. Pada satu ketika apabila mereka tidak puas hati dengan apa yang berlaku di luar di mana orang ramai masih berkumpul di Jalan Tuanku Abdul Rahman (dan) di Kampung Baru, mereka tidak senang lalu, memanggil saya lewat malam untuk disoalsiasat hingga awal pagi.
Sewaktu disoalsiasat oleh pegawai Bukit Aman, soalan-soalan yang mereka tanya setiap hari, soalan mengenai gerakan reformasi, mengenai Anwar Ibrahim, hubungannya dengan orang ini dan orang itu. Kemudian Nurul Izzah menemui (Presiden Filipina ketika itu, Joseph) Estrada di Filipina dan (bekas Setiausaha Negara Amerika) Madeline Albright. Saya berada di dalam dan semua itu berlaku di luar sana, dan mereka bertanya mengenai Gerak yang ditubuhkan, dan mengenai pembaharuan politik, mengenai PAS, mengenai sama ada ISA patut dimansuhkan atau tidak.
Saya rasa tidak perlu anda menangkap saya di bawah ISA untuk bertanya soalan-soalan tersebut.
Mereka menafikan saya peralatan yang ada sekiranya mereka dapati saya tidak bekerjasama sepenuhnya. (Mereka akan) mengambil balik tilam atau bantal. Selepas dikunjungi keluarga, mereka bagi tahu saya yang saya hanya akan ditahan selama sebulan dan mereka akan membebaskan saya. (Mereka kata) jika saya tidak diberi perakuan untuk dibebaskan, maka mereka akan melanjutkan tahanan dan ianya berterusan sehingga hari ke-57.
Ada juga hari-hari di mana mereka tidak berbuat apa-apa. Mereka akan menghantar makanan dan pada masa itu, saya mendapat makanan, ia seperti nasi bungkus bersama ikan yang berulat. Itu bermakna, ianya dilakukan dengan sengaja. Maksud saya kami adalah tahanan dan makanan ini sepatutnya disediakan oleh kerajaan dan ini bermakna negara menyediakan makanan busuk kepada saya.
Apa yang berlaku selepas anda dibebaskan?
Saya dibebaskan pada 21 November dan tertakluk kepada pengawasan cawangan khas yang memantau aktiviti-aktiviti saya. Saya perlu melaporkan kepada mereka dan malah mereka mengugut bahawa saya boleh ditangkap semula, saya mesti bekerjasama dengan mereka dan psikologinya ialah mereka mempunyai kuasa untuk menangkap saya semula. Jadi, wujud rasa takut yang saya akan ditangkap semula. Saya mengambil masa yang lama untuk mengembalikan kekuatan dan keberanian untuk membuat laporan polis dan saya membuat keputusan tersebut pada bulan Mac (1999).
Sejak dari itu, semasa saya disoalbalas di mahkamah, mereka bertanya kepada saya mengapa saya mengambil masa yang begitu lama. Ini bukanlah satu kemalangan jalanraya. Ini adalah sesuatu di mana anda telah diseksa. Anda perlu untuk membina semula keberanian.
Adakah anda takut? Adakah anda pernah berasa seperti telah putus asa?
Saya cuba supaya tidak kelihatan takut walaupun (sebenarnya) saya amat takut sekali. Saya rasa (anggota) cawangan khas berada di mana-mana sahaja. (Saya rasa) terancam tetapi untuk pulih semula, anda perlu berjumpa dengan orang, anda perlu bercakap dengan orang. Lama kelamaan, saya mula menceritakan kepada orang apa yang berlaku ketika dalam tahanan. Mereka amat terkejut. Kemudian rakan-rakan telah meyakinkan saya untuk bercakap mengenainya dan pada bulan Februari saya menceritakan pengalaman tersebut dalam satu majlis anjuran Gerak (Gerakan Rakyat Malaysia untuk Keadilan) oleh (bekas Presiden PAS) Datuk Fadzil Noor di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor pada Februari 1999. Saya memperolehi semula keberanian saya. Dan anda perlu faham bahawa anda boleh dituduh membuat laporan palsu. Saya terpaksa menyediakan laporan polis yang panjang dan begitu terperinci serta satu afidavit untuk memfail saman sivil.
Bagaimanapun perasaan keluarga anda mengenai semua itu?
Mereka sudah biasa yang apa saya lakukan. Mereka menyokong aktiviti-aktiviti saya. Malah, isteri dan anak-anak saya sudah tahu mengenai keazaman saya untuk melaporkan aktiviti-aktiviti demi hak rakyat, aktiviti politik dan aktiviti sosial. Berita asal
No comments:
Post a Comment