CUACA yang begitu baik pada suatu pagi Julai tahun lalu membuatkan Adrin dan lima orang lagi penyelam membuat keputusan untuk menyelam di Pulau Tenggol, Terengganu.
Khabarnya, ada beberapa ekor ikan yu paus (whale shark) singgah di perairan pantai timur itu membuatkan mereka tidak sabar untuk menyelam.
Memang sudah rezeki mereka untuk bertembung spesies ikan terbesar dunia itu kerana selepas berenang beberapa minit, seekor anak yu paus berukuran kira-kira tiga meter memintas kumpulan mereka dan berenang melawan arus.
Disebabkan perasaan teruja, Adrin dan seorang temannya berusaha melawan arus untuk melihat anak yu paus itu pada jarak dekat.
"Kalau ikut perancangan saya dan ahli kumpulan lain akan menyelam mengikut arus air laut. Tetapi, selepas melihat paus itu memintas, saya dan seorang penyelam membuat keputusan berpisah dengan ahli kumpulan dan menjejaki yu paus itu.
"Selepas berada dalam jarak dekat, yu paus itu tiba-tiba berpusing dan menghadap kami. Jarak pandangan ketika itu pula begitu baik iaitu antara 15 hingga 20 meter," jelas Pengarah Operasi Seamonkey Dive & Travel Sdn. Bhd. itu.
Selepas mengambil beberapa keping gambar, Adrin dan temannya yang kepenatan melawan arus terpaksa berpatah balik dan mencari semula ahli kumpulan lain yang ditinggalkan tetapi mereka tidak kelihatan.
"Selepas beberapa ketika, saya terdengar bunyi ketukan silinder udara daripada ahli kumpulan yang terpisah. Saya berasa pelik apabila salah seorang penyelam membuat isyarat tangan supaya melihat ke atas.
"Rupa-rupanya anak yu paus tadi mengekori kami sepanjang kami berpatah balik. Buih-buih udara yang kami lepaskan menarik perhatian yu paus itu," katanya yang mempunyai pengalaman menyelam selama sedekad.
Adrin dan kumpulannya kemudian berkumpul dan naik ke paras cetek serta mengekalkan apungan neutral. Kepulan buih-buih udara yang terkumpul dengan banyak membuatkan yu paus itu leka bermain dengan buih-buih itu dalam keadaan berdiri.
"Kami semua berpeluang menyelam bersama yu paus itu kira-kira 30 minit. Ia adalah tempoh masa paling panjang dan pengalaman menyelam bersama yu paus paling menarik berbanding pengalaman-pengalaman sebelum ini.
"Petang itu kami menyelam sekali lagi dan bertembung dengan yu paus yang lebih besar tetapi keadaan air laut agak keruh dan mengehadkan pandangan. Yu paus itu juga hanya dapat dilihat sekejap sahaja," katanya.
Tidak bahaya
Dalam pada itu, tidak semua penyelam berpeluang berenang bersama yu paus. Seorang penyelam, Fina Arif, 28, berkata, dia masih belum berpeluang merasai pengalaman itu biarpun sudah empat tahun mempunyai lesen menyelam.
"Walaupun tidak pernah menyelam bersama paus, tetapi pengalaman menyelam bersama yu sirip hitam dan putih di Pulau Sipadan, Sabah begitu bermakna kerana di situ yu paus mudah ditemui.
"Saya pernah ke Pulau Sipadan dua kali dan setiap kali menyelam saya akan bertembung dengan yu paus. Saya harap dapat merasai pengalaman menyelam bersama mamalia marin gergasi itu selepas ini," katanya.
Rhincodon typus tidak berbahaya kepada manusia kerana makanannya ialah plankton dan udang geragau.
Ancaman yu paus
"Kelibatnya banyak kelihatan pada bulan Mac dan April di perairan Malaysia ketika musim udang geragau membiak di Terengganu dan berpindah ke perairan Sabah dan Sarawak antara bulan Mac hingga April sehingga musim udang geragau berakhir.
"Yu paus ini juga pernah dilihat beberapa kali di sekitar perairan Pulau Payar, Langkawi sehingga bulan Julai dan di perairan Johor, Kedah, Pulau Pinang dan Australia" katanya mengenai satu-satunya spesies seumpamanya yang wujud di Malaysia.
Menurut Razak, ancaman bagi spesies yu paus ialah aktiviti penangkapan ikan nelayan yang tidak sengaja menyebabkan yu paus terperangkap di dalam pukat hanyut.
"Pada waktu siang spesies ini menghabiskan masa dengan mencari makanan berhampiran permukaan laut tetapi pada waktu malam atau ketika migrasi, mereka berenang di laut dalam sehingga mencapai kedalaman 700 meter.
"Bagaimanapun, rekod rasmi mengenai bilangan spesies ini masih belum diketahui dan rekod migrasinya masih dalam proses kajian," katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Taman Laut (JTL), Kamarruddin Ibrahim berkata, kajian mengenai migrasi yu paus tidak dapat dijalankan secara serius kerana kesukaran mengesan spesies itu di perairan negara.
"Kajian mengenai yu paus dijalankan secara minimum kerana kekurangan maklumat dan hanya dilakukan apabila berlakunya kejadian yu paus tersadai di pantai atau terperangkap dalam pukat nelayan secara tidak sengaja.
"Kebanyakan kajian yang dilakukan pula adalah mengenai saiz, berat dan punca kematian yu paus, bukan kajian migrasinya kerana spesies ini sukar dikesan berbanding penyu yang singgah di pantai untuk bertelur," katanya.
Jelas Kamarrudin, JTL tidak bertanggungjawab ke atas aktiviti manusia terutama nelayan terhadap yu paus di luar kawasan taman-taman laut kerana ia adalah di bawah tanggungjawab Jabatan Perikanan.
"JTL dipisahkan dengan Jabatan Perikanan sejak 2004 dan diletakkan di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar bagi menguruskan Taman-taman Laut Malaysia.
"Sebarang aktiviti atau kempen kesedaran di kalangan nelayan menjadi tanggungjawab Jabatan Perikanan terutama apabila ia berlaku di luar kawasan Taman-taman Laut Malaysia," katanya.
sumber:KOSMO
No comments:
Post a Comment