Wednesday, March 24, 2010

SPR: Kerusi DUN Titi Tinggi Perlis tidak kosong


PUTRAJAYA, 24 Mac — Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Titi Tinggi, Perlis tidak kosong dan penyandangnya, Yip Sun Onn masih Anggota DUN yang sah, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof hari ini.

Abdul Aziz berkata setakat ini SPR belum lagi menerima sebarang surat rasmi mengenai peletakan jawatan Yip daripada Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis, Datuk Yazid Mat.

“Walaupun Speaker sudah sahkan terima surat itu tetapi selagi SPR tidak menerima sebarang surat rasmi kerusi DUN itu tidak kosong dan hanya SPR sahaja yang boleh memaklumkan mengenai sebarang kekosongan,” katanya kepada pemberita.

Ditanya berapa lama Speaker boleh memegang surat peletakan jawatan itu, Abdul Aziz berkata tempoh masa bagi Speaker boleh memegang surat itu tiada dalam undang-undang.

“Itu semua terpulang kepada urusan Speaker dan anak buahnya,” katanya.

Semalam, Speaker DUN negeri itu, mengesahkan menerima surat peletakan jawatan daripada Yip yang juga Naib Ketua MCA bahagian Padang Besar pukul 3 petang dua hari lepas dan menasihatkannya supaya mempertimbangkan keputusan itu.

Yip, 52, dikatakan kecewa kerana tidak dilantik semula sebagai anggota Exco kerajaan negeri yang disandangnya sejak dua tahun lalu apabila namanya tidak disenaraikan dalam majlis mengangkat sumpah di Istana Arau, Jumaat lalu.

Sebaliknya ADUN kawasan Indera Kayangan, Dr Por Choo Chor dilantik ke jawatan itu dan mengangkat sumpah di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail. — Bernama

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails