WASHINGTON 29 Mac - Arkitek Jepun, Kazuyo Sejima dan Ryue Nishizawa diumum sebagai pemenang Hadiah Seni Bina Pritzker, anugerah yang menjadi rebutan dalam industri tersebut. Sejima dan Nishizawa yang merupakan rakan kongsi dalam firma arkitek SANAA menerima annugerah berkenaan bersama hadiah wang tunai berjumlah AS$100,000 (RM340,000).
Ini merupakan kali ketiga anugerah itu diberikan kepada dua arkitek pada tahun yang sama, menurut Pengerusi Yayasan Hyatt, Thomas Pritzker.
Kombinasi pasukan lelaki-wanita itu telah mereka bentuk O-Muzium di Nagano dan Mizium Seni Kontemporari di Kanazawa, Jepun.
Sejima, 53, wanita dalam pasangan berkenaan dan Nishizawa, 44, juga terlibat dalam pembinaan Galeri Serpentine London; Terminal Feri Naoshima di Jepun dan bangunan Christian Dior di Tokyo.
Mereka juga mereka bentuk Pavilion Kaca dan Muzium Seni Toledo di Ohio, Amerika Syarikat.
''Majlis rasmi anugerah tertinggi dalam dunia seni bina itu akan diadakan pada 17 Mei ini di Pulau Ellis di New York,'' kata Yayasan Hyatt ketika mengumumkan pemenang anugerah tersebut yang juga dikenali sebagai 'Hadiah Nobel bagi seni bina.'
Pasangan berkenaan juga mereka bentuk Panggung De Kunstlinie dan Pusat Kebudayaan di Almere, Belanda; Muzium Baru Seni Kontemporasi di New York dan yang terbaru, Pusat Pembelajaran Rolex di Lausanne, Switzerland.
''Bangunan rekaan Sejima and Nishizawa hanya kelihatan ringkas.
''Arkiteknya berpegang kepada visi tentang mereka bentuk sebuah bangunan secara menyeluruh merangkumi pelbagai latar belakang berkaitan manusia, objek, aktiviti dan seni taman,'' kata juri.
Mereka juga telah diminta mereka bentuk cawangan Muzium Louvre di Lens, Perancis.
''Saya amat berbesar hati menerima anugerah ini. Saya sentiasa memikirkan tentang cara untuk menjadikan seni bina yang kelihatan lapang yang pada pendapat saya adalah elemen penting dalam seni bina era baru. Dengan hadiah ini saya akan terus berusaha menghasilkan seni bina yang menarik,'' kata Sejima.
''Saya bangga dan ketika yang sama amat terkejut dengan pengiktirafan ini,'' kata Nishizawa pula. - AFP
No comments:
Post a Comment