Wednesday, March 24, 2010

Kelantan lantik Ku Li sebagai perunding tuntutan royalti


KOTA BARU, 24 Mac — Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri hari ini bersetuju melantik Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah sebagai perunding bagi pihak kerajaan negeri dalam perbincangan dengan Petronas dan Perdana Menteri Datuki Seri Najib Razak berkaitan tuntutan royalti petroleum.

Pelantikan dibuat kira-kira dua bulan selepas beliau mendedahkan Kelantan mempunyai hak untuk mendapatkan royalti.

“Pelantikan itu berkuat kuasa serta-merta dan surat rasmi berhubung perkara itu akan dihantar pada hari ini,” kata Pengerusi Jawatankuasa Petroleum Negeri Kelantan Datuk Husam Musa kepada pemberita di pejabatnya selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri hari ini.

Sehubungan itu kerajaan negeri bersetuju memberi tempoh selama empat bulan kepada Tengku Razaleigh untuk menyelesaikan perkara yang berkaitan.

Menjawab sama ada Tengku Razaleigh bersetuju dengan pelantikan berkenaan Husam mengharapkan persetujuan daripada Tengku Razaleigh.

“Kita berharap Tengku akan bersetuju sebab sebelum ini Tengku ada menawarkan diri sebagai perunding dan orang tengah untuk menyelesaikan tuntutan itu.

“Kita jangka dalam tempoh empat bulan itu Tengku mampu melakukan sesuatu dengan kebijaksanaannya dalam tuntutan ini berdasarkan pengalamannya,” katanya.

Mengulas lanjut kemungkinan pelantikan Tengku Razaleigh akan menggugat kerier politiknya, Husam berkata, “Tengku Razaleigh telah menawarkan diri untuk menjadi orang tengah bagi pihak kerajaan negeri.”

“Saya rasa satu penghormatan kepada beliau sebagai bekas pengerusi Petronas, sebagai perangka akta petroleum tahun 1974 dan Perdana Menteri pun pernah bekerja di Petronas di bawah Tengku Razaleigh.

“Saya kira dengan cara itu penyelesaian dapat dicapai iaitu membayar royalti kepada Kelantan,” jelas Husam sambil menegaskan segala kandungan perundingan berhubung perkara berkaitan kerajaan negeri serahkan kepada kebijaksanaan Tengku Razaleigh.

Tengku Razaleigh, semasa berucap di hadapan 50,000 rakyat Kelantan dalam ceramah perdana tuntutan petroleum di Stadium Sultan Mohamad IV akhir Januari lalu berkata Kelantan berhak kepada bayaran royalti sebanyak lima peratus.

Ceramah yang sama juga turut diadakan di Kuala Terengganu 18 Mac lalu.

sumber: malaysiainsider

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails