Tuesday, March 30, 2010

1Malaysia: Rakyat makin sangsi kedudukan Najib


KUALA LUMPUR, 30 Mac: PAS melihat bahawa rakyat juga semakin sangsi dengan kedudukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dilihat gagal memberikan kefahaman kepada ahli Umno terhadap gagasan 1Malaysia.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, penyertaan ahli-ahli Umno dan sokongan mereka terhadap kumpulan pelampau Melayu, Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) sebagai bukti jelas bahawa Umno tidak serius dalam gagasan 1Malaysia.

“Mungkinkah wujud penentangan terhadap Najib dan gagasannya itu sehingga membuatkan ahli dan pemimpin Umno secara terbuka menyokong Perkasa,” ujarnya.

Sehubungan itu, katanya PAS berharap agar rakyat menyedari perkara itu dan bersatu menolak pelampau perkauman itu.

“PAS menyeru rakyat hidup bersatu padu dengan rasa muhibbah tanpa perlu melakukan apa-apa provokasi melampau,” ujarnya.

Kaum bukan Melayu pula diseru menghormati hak-hak keistimewaan Melayu yang ditetapkan perlembagaan dan kaum Melayu diharapkan tidak mendiskriminasikan kaum bukan Melayu.

Menurutnya, kesefahaman dan tolak ansur menjadi kunci perpaduan rakyat selama ini dan ianya perlulah dikekalkan.

Justeru, katanya gagasan 1Malaysia tidak perlu jika organisasi perkauman atau parti politik perkauman tidak wujud kerana merekalah yang sering menyemarakkan rasa benci, dendam dan amarah antara kaum di negara ini.

Tambahnya, gagasan berkenaan hanyalah gimik politik bagi menarik kembali sokongan kaum-kaum bukan Melayu kepada BN, sedangkan dalam masa yang sama mereka menyertai dan menyokong Perkasa yang menghina kaum-kaum lain atas nama Melayu.

Sebelum ini, katanya kerajaan BN dan Umno berpakat mengharamkan pertubuhan Su Qiu dan Hindraf yang dikatakan pelampau Cina dan India yang menyemarakkan semangat perkauman.

“Tetapi bila Perkasa wujud, mereka membelanya atas nama kebebasan bersuara. Di sini memperlihatkan ketidakadilan Umno dalam memberikan hak kepada semua kaum bagi menubuhkan pertubuhan,” ujarnya.

Malah, katanya Perkasa mendapat keistimewaan khas untuk menerbitkan akhbar mereka sendiri, sedangkan media parti politik seperti Harakah dan Suara Keadilan menunggu bertahun-tahun untuk dapatkan permit.

Tambahnya, walaupun PAS tidak menafikan hak Perkasa untuk berpersatuan atau mewujudkan organisasinya, tetapi pihak kerajaan perlu adil dan Umno seharusnya menyatakan pendirian sebenar mereka dalam gagasan 1Malaysia.

Beliau berkata, pengakuan ketua pemuda Umno sebelum ini bahawa memang ada ahli Umno menyertai Perkasa membuktikan bahawa Umno sendiri merupakan parti perkauman yang ekstrim dan melampau.

Katanya, kehadiran Mukhriz dan Awang Adek dalam mesyuarat Agung Tahunan Perkasa baru-baru ini menunjukkan pemimpin Umno memang tidak ikhlas dalam gagasan 1Malaysia dan menyokong Perkasa untuk menyemarakkan kebencian kepada kaum-kaum lain.

sumber: harakahdaily

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails