Tuesday, March 30, 2010

Lagi bayi ditemui di tempat buang sampah

gambar hiasan untuk renungan

IPOH, 30 Mac — Bayi baru lahir yang dijumpai berhampiran tempat pembuangan sampah sebuah pusat membeli belah di sini pada 20 Mac lepas akan ditempatkan sementara di sebuah rumah perlindungan kanak-kanak.

Jabatan Kebajikan Masyarakat hari ini mendapat perintah Mahkamah Majistret untuk menempatkan bayi berkenaan di rumah perlindungan itu.

Exco Kanan Kerajaan Negeri Perak, Datuk Hamidah Osman berkata bayi yang dinamakan sebagai Masya Qurniea Abdullah akan ditempatkan selama satu bulan untuk menanti tuntutan waris.

Hamidah, yang sebelum ini menyatakan hasrat untuk mengambil bayi itu sebagai anak angkat, berkata penempatan Masya di rumah perlindungan itu adalah mengikut peraturan sedia ada dan permohonan pengambilan anak angkat hanya boleh dibuat selepas tiada waris membuat tuntutan.

Beliau berkata demikian selepas mengiringi isteri Menteri Besar Perak Datin Seri Saripah Zulkifli melawat Masya Qurniea di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

Bayi yang hanya berbalut kain ditemui berhampiran tempat pembuangan sampah oleh orang awam sebelum dimasukkan ke HRPB.

Dalam pada itu, janin sebesar dua jari dijumpai dalam balang plastik bertutup di hadapan pintu pagar, Tokong Foo Yan dekat Jinjang Utara, Jinjang, Kuala Lumpur malam tadi.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan berkata janin yang dipercayai lelaki itu dijumpai seorang lelaki yang merupakan penjaga di tokong itu kira-kira pukul 11.30 malam ketika dia meronda di tokong itu.

“Janin yang masih bertali pusat dengan panjang kira-kira 10 sentimeter itu dianggar empat bulan dan cukup sifat,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian.

Janin itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur.

sumber: malaysiainsider

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails