Tuesday, March 30, 2010

Arak di Malaysia semudah beli air minuman


KUALA LUMPUR, 30 Mac: Arak di Malaysia boleh diperolehi dengan mudah seumpama membeli air minuman yang lain sama ada di pasar raya, restoran, hotel, kedai runcit mahupun di kedai serbaneka seperti 7 Eleven yang dijual tanpa kawalan ketat.

Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) memandang serius kenyataan Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud yang mendedahkan bahawa Malaysia adalah antara 10 negara tertinggi di dunia dalam pengambilan arak di dunia.

Ketua Penerangannya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata, dalam kenyataan di Parlimen semalam, Dr Mariah juga mendedahkan bahawa rakyat negara ini membelanjakan sebanyak USD500 juta iaitu lebih kurang RM1.75 bilion bagi pembelian minuman keras.

Penjualan arak berkembang di antara 5 hingga 7 peratus setahun melebihi kadar pertumbuhan penduduk iaitu 2.4 peratus, manakala umur purata ketagihan arak ialah 23 tahun.

Mohamad Suhaimi juga merasa terkejut dengan pendedahan AJK PAS Pusat itu bahawa terdapat peningkatan kadar pengambilan alkohol di kalangan remaja khususnya di bawah umur 18 tahun iaitu kira-kira 45 peratus, dan mereka mengambilnya secara berterusan.

“DPPWP juga merasa kesal kerana arak dengan mudah mendapat tempat untuk tajaan dan iklan di mana-mana akhbar media arus perdana mahupun di televisyen,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Kerajaan pula, katanya dengan sengaja memberikan lesen kepada pengusaha kelab-kelab malam dan pusat hiburan untuk beroperasi tanpa kawalan yang sewajarnya.

“Kelab-kelab malam inilah juga penyumbang kepada berleluasanya minuman arak sehingga menyumbang kepada gejala sosial yang lebih parah,” ujarnya lagi.

Soalnya, bagaimanakah penjualan dan pengambilan arak boleh bertambah dalam keadaan negara Malaysia yang sudah diisytiharkan sebagai sebuah negara Islam dan termaktub juga di dalam Perlembagaan bahawa agama rasmi negara ini adalah Islam.

Beliau juga mempersoalkan mengapa tidak ada kawalan keras dari kerajaan sebagaimana kawalan yang sama dilakukan terhadap penyalahgunaan dadah yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

“Dalam Islam, hukuman yang sewajarnya kepada peminum arak adalah disebat dengan 40 hingga 80 kali sebatan. Soalnya, mengapa undang-undang ini tidak terpakai khususnya kepada umat Islam?” soalnya lagi.

Sepatutnya, kata beliau arak perlu diharamkan terus di Malaysia dan alasan bahawa negara ini mempunyai masyarakat majmuk tidak boleh diterima sama sekali kerana kesan arak yang boleh membahayakan kesihatan sama seperti penyalahgunaan dadah dan menghisap rokok.

Tambahnya, arak juga sebagai salah satu penyumbang kepada peningkatan kadar kemalangan jalan raya di Malaysia.

Justeru, beliau menggesa kerajaan mengetatkan kawalan terhadap penjualan arak seperti mengharamkan penjualannya di kedai-kedai runcit dan serbaneka seperti di kedai 7 Eleven di samping premis-premis hiburan pula perlu ditutup kerana ia langsung tidak memberi kebaikan kepada rakyat.

DPPWP juga, katanya meminta kerajaan mengharamkan arak untuk diiklankan di mana-mana media eletronik mahupun cetak agar tidak mendapat publisiti murahan.

“Apakah gunanya hasil cukai yang haram dari arak ini kepada kerajaan sedangkan dalam masa yang sama ribuan umat Islam menderita akibat ketagihan arak dan hidup dalam keadaan berdosa,” ujarnya.

sumber: harakahdaily

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails