KUALA LUMPUR, 23 Mac (Bernama) -- Industri marin Malaysia disasar terus mencatatkan pertumbuhan kukuh dalam tahun-tahun mendatang, meskipun dengan persekitaran pasaran yang mencabar ekoran kemunculan pesaing-pesaing baharu di rantau ini dan juga global.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir berkata bagi mengharungi cabaran ini, kesemua pihak perlu bekerjasama untuk pembangunan dan penambahbaikannya.
"Adalah penting untuk syarikat-syarikat Malaysia menyedari sepenuhnya akan cabaran ini dan memaksimumkan peluang, kemudahan kewangan dan insentif yang ditawarkan oleh kerajaan.
"Mereka juga perlu lebih agresif dan proaktif bagi memastikan daya saing," tambah Mukhriz.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Forum Industri Marin Kebangsaan 2010 di sini Selasa.
Mukhriz berkata peserta industri juga perlu peka dengan perkembangan global yang digerakkan oleh penggunaan pakai amalan terbaik dalam pembuatan dan kecanggihan teknologi.
Pada persidangan akhbar yang diadakan kemudian, beliau berkata sektor swasta seharusnya memainkan peranan penting dalam pembangunan industri dengan memberi fokus kepada beberapa pasaran khusus yang mereka boleh berjaya di dalamnya.
"Ia adalah satu industri berat dan amat luas. Kita sebenarnya boleh memilih beberapa pasaran khusus untuk diberi tumpuan kerana keluasannya cukup untuk dikongsi oleh semua orang.
"Mungkin, kita boleh melakukannya dengan meninjau ke dalam pasaran-pasaran khusus tertentu dan bukannya bersaing dengan negara-negara lain yang telahpun kukuh dalam bidang masing-masing," jelas beliau.
Dengan 10 pelabuhan utama diwujudkan di dalam negara, Mukhriz berkata masih terdapat ruang untuk peserta industri berkembang dengan mengoptimumkan penggunaan.
Dalam tahun 2008, beliau berkata trafik kontena di pelabuhan-pelabuhan utama ini mencatatkan 15.17 juta unit bersamaan 20 kaki (TEU).
"Berdasarkan kepada kapasiti pelabuhan, kita masih mempunyai ruang yang tidak dimanfaatkan. Itu bagus kerana adanya lagi ruang untuk kita mengembangkan industri ini," kata beliau.
Industri itu juga perlu menangangi isu-isu modal insan dengan menyediakan lebih ramai graduan yang berkelayakan dan berkemahiran dalam bidang kepakaran masing-masing.
"Selain daripada masalah teknologi, kita juga mempunyai masalah dengan buruh berkemahiran termasuk kekurangan jurutera. Banyak lagi bidang yang perlu diteliti dalam lingkungan industri dan forum ini diadakan untuk memantau semula di mana kita berada," kata beliau.
Forum sehari itu dianjurkan bersama oleh Kumpulan Industri Kerajaan Malaysia bagi teknologi Tinggi (MIGHT), Persatuan Industri Marin Malaysia, Institut Maritim Malaysia, Malaysian Joint Branch of the Royal Institution of Naval Architects dan Institut Kejuruteraan, Sains dan Teknologi untuk membincangkan isu dan cabaran yang dihadapi oleh industri.
Ia berjaya menarik lebih daripada 200 peserta asing dan tempatan yang telah sama-sama memberikan pendapat dan maklumat dalam menggerakkan industri itu.
Malaysia pada masa ini berada di tempat ke-18 di kalangan 35 negara dan wilayah maritim paling penting.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment